Wednesday 25 March 2015

KARANGAN : PANDUAN MENULIS PENDAHULUAN




Pendahuluan perlu ditulis mengikut jenis karangan. Pendahuluan haruslah menarik dan boleh menggambarkan kandungan keseluruhan karangan. Ada beberapa jenis menulis pendahuluan karangan yang mampu menajadikan karangan anda menarik dan bermutu. Antara jenis-jenis pendahuluan karangan yang boleh dicuba dan dipraktikkan oleh pelajar adalah seperti berikut:

Pendahuluan jenis peribahasa
Pendahuluan jenis suasana
Pendahuluan jenis definisi
Pendahuluan jenis sejarah
Pendahuluan jenis persoalan
Pendahuluan jenis pendapat
Pendahuluan jenis puisi

Contoh Soalan

Tsunami yang pernah melanda persisiran pantai Asia pada 26 Disember 2004 merupakan detik hitam yang paling diingati oleh masyarakat dunia. (Aceh paling teruk merasai kesannya)

Pendahuluan jenis peribahasa

        “Malang tidak berbau”, itulah kata bidalan yang paling tepat untuk mengungkapkan kejadian ombak besar tsunami yang melanda persisiran pantai berdekatan dengan Lautan Hindi.  Tiada sesiapa menjangka bahawa gegaran yang dirasai di negeri-negeri pantai Barat negara membawa bersama-sama ombak setinggi sepuluh meter yang lajunya antara 700 hingga 800 kilometer sejam.  Kelajuan ombak ini mencecah kelajuan kereta Formula Satu sehingga menjadikan Banda Aceh seperti padang jarak padang tekukur. Aceh yang berdekatan dengan pusat gegaran di Lautan Hindi itu menerima kesan yang lebih parah ibarat dilanggar geroda telah mengejutkan manusia sedunia yang fana ini.

Pendahuluan jenis suasana

          Mayat-mayat bergelimpangan. Bau busuk di merata-rata tempat.  Sisa-sisa bangunan bersepahan dan anak-anak kecil berwajah sayu merupakan antara fenomena terbaru yang melanda utara Aceh.  Suasana itu amat berbeza sekali berbanding dengan keadaan sebelum tsunami melanda. Banda Aceh yang sebelum ini rancak dengan aktiviti harian, tetapi kini Banda Aceh seperti sudah berkubur dengan lumpur yang hitam pekat. Kehadiran tentera-tentera luar Indonesia bukan sesuatu yang pelik di Aceh tatkala ini.  Bantuan trus datang mencurah-curah untuk Aceh, tanda keprihatinan masyarakat dunia terhadap kesengsaraan Aceh.

Pendahuluan jenis definisi

          Baru-baru ini dunia digemparkan dengan kejadian ombak tsunami yang melanda kebanyakan negara Asia.  Tsunami berasal daripada bahasa Jepun yang membawa erti ombak pelabuhan.  Nama ini diberi rentetan ombak besar yang sering melanda pelabuhan Jepun akibat gempa di dasar bumi.  Gempa itu berlaku rentetan pergerakan plat tektonik bumi sehingga menghasilkan ombak besar di kawasan persisiran pantai. Kedatangan tsunami membawa bersama-sama seribu kekalutan, manakala pemergiannya meninggalkan seribu kesayuan dan kepedihan buat mereka yang dilanda ujian itu.

Pendahuluan jenis sejarah

          Tanggal 26 Disember 2004, satu tragedi baru telah tercatat dalam sejarah dunia dan kotak memori kebanyakan manusia.  Tsunami melanda Asia kembali pada abad kini setelah bumi digegarkan dengan ombak ini pada tahun 1946.  Kedatangan tiga ombak besar yang dipanggil ombak tiga beradik tersebut telah membawa pelbagai impak kepada kebanyakan negara dunia.

Pendahuluan jenis persoalan

          Apakah itu tsunami yang telah kita dengar sejak kebelakangan ini?  Bagaimanakah tsunami terjadi? Adakah tsunami membawa ombak dahsyat itu akan berulang kembali?  Inilah antara persoalan yang melanda kotak fikiran kebanyakan penduduk di negara kita yang nyata masih jahil dalam mengenali dan mendalami fenomena tsunami itu sendiri sekali gus jauh ketinggalan daripada penduduk Barat dan Asia Timur.

Pendahuluan jenis pendapat

          Tsunami yang melanda perairan pantai kebanyakan negara Asia baru-baru ini dikatakan bencana yang paling buruk pernah melanda kawasan-kawasan tertentu tidak lama dahulu.  Aceh merupakan kawasan yang paling teruk terjejas akibat dilanda tsunami.  Rata-rata masyarakat duni berpendapat bahawa bencana alam yang melanda Aceh baru-baru ini adalah untuk melenyapkan sebahagian besar penduduk yang menderita di sana selama ini.  Seluruh kerajaan duni turut menyatakan bahawa Aceh memerlukan beberapa dekad untuk pulih dan membangun daripada kelukaan lama, yang juga diakui oleh pemimpin Indonesia sendiri.

Pendahuluan jenis puisi

                                      Tikar pandan tikar mengkuang,
                                           Alas nikah raja Melayu;
                                      Tsunami menggunung insan terbuang,
                                           Nyawa dilambung terkujur layu.

Pantun ini menerangkan kepada kita betapa kerdilnya manusia di sisi Tuhan.  Nyawa manusia pula dijelaskan sebagai begitu rapuh.  Dalam sekelip mata sahaja, beratus ribu manusia terkorban akibat dihempas badai.

Pendahuluan jenis gabungan

          Tsunami telah menggegarkan penduduk persisiran pantai Asia.  Tanggal 26 Disember 2004 merupakan detik hitam yang paling diingati oleh masyarakat dunia lantaran kesedihan dan raungan yang melanda negara-negara terbabit termasuklah Indonesia, Malaysia, Thailand, Sri Langka, dan India.  Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Secara keseluruhannya, Indonesia merupakan negara yang paling teruk terjejas akibat dilanda bencana alam tsunami.  Rata-rata ramai yang berpendapat bahawa kedatangan tsunami adalah untuk menghilangkan penderitaan kebanyakan penduduk tersebut, lebih-lebih lagi penduduk Aceh di Indonesia.

SEMOGA BERMANFAAT...

1 comment: