Monday 2 March 2015

PERIBAHASA MELAYU



Mukadimah

Menurut Zaaba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Manakala peribahasa tradisi pula merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan seharian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Menurut Zaaba lagi, peribahasa diertikan sebagai segala susunan cakap yang pendek dan yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak turun temurun kerana sedap didengar dan perkataannya bijak,ringkas,luas dan mempunyai maksud yang mendalam, dipakai akan jadi sebutan-sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Oleh sebab itu,apa yang dikatakan mengandungi segala sifat-sifat peribahasa yang telah disebutkan. Walhal kesemua itu ialah cakap-cakap bijaksana yang ringkas yang telah terbeku dari beberapa zaman dan telah masyhur terpakai pada mulut orang ramai, dan kadangkala diumumkan namanya "perkataan orang tua-tua" sahaja.

Peribahasa juga digunapakai untuk membuat dan menghiasai karangan atau percakapan dan menguatkan tujuan karangan atau sesuatu percakapan. Di samping itu, peribahasa juga boleh dijadikan pedoman hidup kerana maksud dan isinya yang benar dan luas. Peribahasa, seperti yang sudah diketahui umum, merupakan satu daripada cabang sastera lama, bukan sahaja bagi bangsa Melayu tetapi juga bagi hampir semua bangsa di dunia. Sebelum ada undang-undang yang mengawal perilaku hidup manusia bermasyarakat, orang bijak pandai dalam sesuatu bangsa pada zaman itu telah mencipta beberapa petua, nasihat atau petunjuk sebagai peraturan tatatertib pergaulan dan hubungan sesama manusia. Petua, nasihat dan petunjuk itu diambil daripada alam sekeliling, contohnya perangai dan sifat manusia itu sendiri, juga daripada sifat dan tabiat binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.


Salah satu ungkapan peribahasa

Tepatlah dikatakan bahawa peribahasa Melayu mencerminkan ketajaman , ketelitian dan ketinggian masyarakat silam. Justeru, kita perlu berbangga dengan  koleksi peribahasa Melayu.  Dr Awang Sariyan  , Ketua pengarah DBP melalui buku Tikaman Bahasa menyeru kita agar berbangga dengan peribahasa kita sendiri.  Menurut beliau, jika tamadun bangsa China berbangga dengan koleksi kata-kata hikmah Kung Fu Tze, Tamadun Yunani memiliki ungkapan Falsafah Socrates, Plato dan Aristotles, bangsa Melayu tidak  kurang hebatnya dengan ungkapan  falsafah  dan kata hikmah yang terdapat  dalam peribahasa. Menurut  beliau lagi peribahasa sangat istimewa kerana bukan sekadar memperkaya khazanah bahasa bahkan memancarkan pandangan hidup, nilai, sikap, cara berfikir dan kepekaan akal budi masyarakat  pengguna bahasa itu.
    
Jenis-jenis Peribahasa

1.     Simpulan Bahasa

Simpulan bahasa merupakan ungkapan yang telah mantap dan mempunyai maksud yang khusus. Simpulan bahasa adalah kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi, bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan.

Simpulan bahasa mempunyai maksud yang berbeza daripada makna harfiah kata-kata dalam ungkapan.

Ciri-ciri Simpulan Bahasa:
Terbentuk daripada penggunaan kata nama am:
anak buah, anak emas, buah tangan, lipas kudung.

Terbentuk daripada penggunaan kata kerja:
ajak-ajak ayam, buat bodoh, pasang telinga,cakar ayam

Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif:
besar kepala, bodoh sepat,kecil hati, berat hati

Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas:
Abu Jahal,Mat Jenin,Pak Kaduk

Terbentuk daripada nilai kepercayaan:
air pinang, batu buyung, makan bulan

Menurut Za'aba, terhasilnya simpulan bahasa adalah dengan berdasarkan empat perkara iaitu:

Daripada perbandingan atau kiasan dengan cerita yang masyhur.
Contoh: Abu Jahal, Mat Jenin, Lebai Malang dan sebagainya.

Daripada benda atau kejadian yang berlaku di sekelilingnya
Contoh: mandi kerbau, mata duitan, kutu embun dan sebagainya.

Daripada kepercayaan orang ramai
Contoh: harimau berantai, buruk siku, dimakan bulan dan sebagainya.

Daripada kebiasaan atau resaman bahasa.
Contoh: ada hati, gila bahasa, beri muka dan sebagainya.

2.     Perumpamaan

Perumpaan tergolong dalam peribahasa berlapis, iaitu mengandungi makna tersurat dan tersirat.

Terdapat DUA bentuk perumpamaan, iaitu: 
a) Menyatakan perbandingan secara terang-terangan 
b) Tidak menyatakan perbandingan secara terang-terangan.

Perumpamaan yang menyatakan perbandingan secara terang-teranan didahului dengan kata-kata perbandingan seperti, umpama, bagai, laksana, ibarat dan baik; manakala perumpamaan yang tidak disebutkan perbandingan tidak didahului kata-kata perbandingan tersebut.

Contoh perumpaan yang disebut perbandingan
Seperti katak di bawah tempurung
Umpama kaca dengan permata
Bagai pungguk rindukan bulan
Ibarat air di daun keladi
Laksana katak diharung ular.

Contoh perumpamaan yang tidak disebut perbandingan
Genggam bara api biar sampai jadi arang
Diberi betis hendak peha
Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

3.     Bidalan

Bidalan ialah peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat. Bidalan mempunyai dua lapis maksud. Bagaimanapun bidalan tidak didahului oleh kata sendi nama seperti, bagai, laksana dan umpama.

Perbezaan antara bidalan dengan pepatah ialah bidalan lebih kerap digunakan, mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran sedangkan pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak mempunyai pengajaran.

Contoh bidalan:
Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan
Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Hujan emas di negeri orang,hujan batu di negeri sendiri, baik juga negeri sendiri.
Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.

4.     Pepatah atau Perbilangan

Pepatah atau perbilangan mempunyai struktur yang hampir sama dengan bidalan. Namun, perbilangan disusun berangkap-rangkap seperti ikatan puisi.

Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan disebut satu demi satu seolah-olah orang sedang membuat perbilangan atau perkataan.

Pepatah atau Perbilangan berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat.

Contoh: 
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Hati manusia sama dicecah, hati gajah sama dilapah.
Cubit paha iri, paha kanan sakit juga.
Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal dan berkembang di daerah Minangkabau dan Palembang yang dikenali sebagai 'Adat Minangkabau'.

Di Malaysia, perbilangan adat ini banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu digunakan dalam Adat Pepatih. Perbilangan adat ini diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi.Perbilangan adat ini mengalami perubahan dan kesesuaian mengikut keadaan dan zaman, seperti pada kedatangan Islam, perbilangan adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang dibuktikan oleh perbilangan ini :

 Adat bersendi hukum
 Hukum bersendi Kitabullah
 Kuat adat, tak gaduhkan hukum
 Kuat hukum, tak gaduhkan adat
 Ikut hukum, muafakat
 Ikut adat muafakat

5.     Kata-kata Hikmat
    
Kata-kata hikmat merujuk kepada kata-kata pujangga, ulama atau orang bijak pandai. Kata-kata hikmat dijadikan pedoman hidup dan percakapan umum. Bentuknya ringkas tetapi mempunyai maksud yang benar dan dalam. Mengikut Kamus Dewan, kata hikmat atau kata pujangga ialah perkataan orang bijak pandai yang mempunyai pengertian yang tinggi. Ini bermaksid ungkapan yang berupa nasihat, panduan dan peringatan serta dijadikan pedoman hidup, contohnya "bahasa menunjukkan bangsa", "bersatu teguh bercerai roboh", "maju bangsa maju negara" dan sebagainya. Zaaba juga menyebut tentang kategori yang sama sebagai lidah pendeta yang didefinisikan sebagai perkataan yang bijak, pendek, sedap, benar dan berisi. 


Sumber:

No comments:

Post a Comment