Wednesday 23 January 2019

TEKNIK PENDAHULUAN KARANGAN




CARA MENULIS PENDAHULUAN

Ayat untuk Pendahuluan perlu ada :
AK       = AYAT KETERANGAN
AH       = AYAT HURAIAN
AA       = AYAT ARAH

Pendahuluan boleh ditulis mengikut cita rasa pelajar dan boleh dipelbagaikan supaya segar dan menarik. Terdapat pelbagai bentuk pendahuluan yang boleh diaplikasikan dalam penulisan karangan seperti yang berikut:

Bentuk Pendapat / Pandangan Tokoh

Contoh soalan:
Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak belakangan ini.
Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab untuk menangani masalah ini?

      Kita semakin kerap didedahkan dengan kejadian jenayah yang membabitkan golongan remaja pada masa ini (AK).  Demikian dinyatakan oleh Ketua Polis Negara dalam satu sidang akhbar di ibu kota baru-baru ini (AH). Beliau berpendapat bahawa perkara ini perlu diberikan perhatian oleh semua pihak sebelum perkara ini menjadi lebih serius (AH). Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian pembunuhan kejam yang dilakukan oleh seorang remaja terhadap seorang kanak-kanak baru-baru ini (AH). Bagi menangani masalah ini daripada berterusan, pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif bagi mencegahnya sebelum perkara ini bertambah rumit atau menjadi masalah yang sukar diselesaikan (AA).

Bentuk Persoalan

Contoh soalan:

Sejak beberapan tahun kebelakangan ini, pencapaian ahli sukan negara kita seolah-olah mengundur. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara terbaik untuk meningkatkan mutu sukan negara kita supaya bertaraf dunia?

            Kita tidak dapat menafikan bahawa pencapaian ahli sukan kita semakin merosot sejak kebelakangan ini walhal negara lain telah maju selangkah di hadapan kita (AK). Mengapakah hal ini terus berlaku walaupun pelbagai cara telah dilakukan untuk meningkatkan pencapaiannya? (AH) Di manakah silapnya, sehingga pencapaian ahli sukan kita terus merosot? (AH) Siapakah yang harus disalahkan dan boleh dipertanggungjawabkan dalam hal ini? (AH) Kesemua persoalan ini tidak akan terjawab selagi prestasi ahli sukan kita terus menjunam setiap kali menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa (AH). Persoalannya kini ialah apakah cara terbaik bagi meningkatkan prestasi ahli sukan negara kita supaya bertaraf dunia? (AA)

Bentuk Isu Semasa
Contoh Soalan:

Ketika kemelesetan ekonomi melanda negara kita, kerajaan menggalakkan rakyat berjimat cermat dalam perbelanjaan.

Berikan pendapat anda tentang kepentingan berjimat cermat dalam kalangan penduduk negara ini.

       Tidak lama dahulu negara kita digegarkan dengan kemelesetan ekonomi yang turut melanda seluruh dunia akibat kejatuhan nilai mata wang beberapa buah negara maju (AK). Perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi negara kita walaupun negara kita bukanlah sebuah negara maju yang menentukan aliran ekonomi dunia (AH). Keadaaan ini menuntut kerajaan melaksanakan langkah-langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan untuk mengawal aliran wang negara dan mengawal inflasi (AH). Sejajar dengan langkah kerajaan itu, rakyat turut tidak terkecuali daripada mengamalkan sekap sedemikian dalam perbelanjaan seharian (AH).  Hal ini disebabkan sikap berjimat cermat mempunyai pelbagai kepentingan kepada setiap penduduk di negara ini seperti yang terungkap dalam pepatah “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” (AA).

Bentuk Puisi Tradisional 
Contoh Soalan:

Gejala lari dari rumah dalam kalangan remaja kerap diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?

                                                       Nasi lemak buah bidara,
                                                       Sayang selasih hamba lurutkan;
                                                       Buang emak buang saudara,
                                                       Kerana kasih hamba turutkan.

         Pantun bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat Melayu yang menggunakannya untuk menggambarkan sesuatu peristiwa ataupun sesuatu perkara dalam kehidupan masyarakat (AK).  Pantun di atas menggambarkan seseorang sanggup meninggalkan keluarga dan sanak saudara kerana kekasih (AH).  Kejadian seumpama ini kerap berlaku dalam kalangan remaja yang masih mentah pemikiran dan kerap bertindak tanpa menggunakan pemikiran yang waras (AH).  Perkara ini dikenal pasti sebagai satu daripada sebab-sebab utama gejala lari dari rumah yang berlaku dalam kalangan remaja (AH). Namun demikian,  terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan gejala ini berlaku (AA).

Bentuk Berita

Contoh Soalan:
Saban hari boleh dikatakan bahawa ada-ada sahaja kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita walaupun pelbagai kempen mencegahnya dilakukan oleh kerajaan.
Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini terus berlaku?

Nahas van – lori : 5 maut”
“Sekeluarga maut dalam nahas ngeri”
“Penunggang dan pembonceng motosikal maut di simpang tiga”

         Berita-berita seumpama ini yang merupakan suatu tragedi bukanlah sesuatu yang mengejutkan kepada kita kerana kekerapannya tersiar di dada-dada akhbar (AK). Hampir saban hari kita membaca berita tentang kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita (AH). Kadangkala berita ini menjadi tajuk utama akhbar tempatan terutamanya apabila membabitkan kemalangan maut yang meragut nyawa pengguna jalan raya dalam jumlah yang banyak (AH).  Walaupun pelbagai usaha dan kempen dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengurangkannya, namun tragedi ini tetap berlaku (AH).  Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini terus meningat (AA).

Bentuk Perbandingan

Contoh Soalan:
Kebanyakkan pendatang asing menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk memulakan kehidupan baru mereka.
Bincangkan kesan-kesan yang wujud sebagai hasil daripada kedatangan pendatang asing ke negara ini.

Sebenarnya sejak sebelum merdeka lagi, Malaysia telah menjadi tumpuan  pendatang asing untuk memulakan kehidupan baru mereka (AK).  Dahulu, kehadiran mereka hanya tertumpu dalam bidang  perladangan dan perlombongan (AH).  Walaupun pada asalnya mereka dibawa oleh penjajah dan tidak berniat untuk menjadikan negara ini sebagai tempat bermastautin, namun peredaran masa menyebabkan mereka terus beranak-pinak dan menetap di negara ini (AH). Bezanya kini, mereka datang secara haram ataupun sebaliknya dan memenuhi pelbagai sektor pekerjaan di negara kita seperti perkhidmatan, perkilangan, dan pembinaan (AH).  Kebanjiran pendatang asing yang datang dari pelbagai negara ke negara kita telah meninggalkan pelbagai kesan positif dan negatif terhadap negara kita (AA).

Bentuk Fakta Sejarah

Contoh Soalan:
Kebanyakkan pendatang asing menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk memulakan kehidupan baru mereka.
Huraikan punca-punca yang menyebabkan keadaan ini berlaku.

Sejarah telah membuktikan bahawa kedatangan pendatang asing ke negara ini sebenarnya bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi (AK).  Pada masa itu, kebanyakkan pendatang asing yang berasal daripada Benua India, Benua China, Kepulauan Melayu dan Tanah Arab datang ke Tanah Melayu untuk berniaga (AH).  Sehingga ke hari ini, negara kita terus dibanjiri oleh pendatang asing yang berhijrah untuk mencari kehidupan baru (AH).  Pepatah Melayu mengatakan bahawa di mana ada gula, di situ ada semut (AH).  Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kemasukan mereka ke negara ini secara berterusan (AA).

Bentuk Peribahasa

Contoh Soalan:
Semangat bergotong-royong dalam kalangan anggota masyarakat pada hari ini semakin pudar.
Jelaskan kepentingan semangat bergotong-royong dalam kalangan penduduk yang hidup dalam masyarakat berblang kaum.

Terdapat pelbagai peribahasa Melayu yang boleh dikaitkkan dengan semangat bergotong-royong dalam kehidupan bermasyarakat (AK). Antara peribahasa tersebut termasuklah ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat’, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, dan ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’(AH).  Kesemua peribahasa tersebut bermaksud bekerjasama dan bersatu padu dalam melaksanakan setiap pekerjaan (AH).  Tambahan pula amalan mulia ini sangat dituntut dalam agama (AH). Semangat bergotong-royong seumpama ini amat penting dalam kehidupan bermasyarakat yang berbilang kaum seperti di negara Malaysia (AA).

Bentuk Definisi

Contoh Soalan
Budaya lepak seolah-olah sudah menjadi budaya dalam kalangan remaja. Pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif untuk mengatasi gejala yang merugikan ini.
Bincangkan cara-cara yang berkesan bagi mengatasi gejala ini daripada berterusan.

‘Lepak’ dapat ditakrifkan sebagai duduk-duduk ataupun berpeleseran tanpa sebarang tujuan (AK).  Gejala ini dikatakan semakin membudaya dalam kalangan remaja pada masa kini (AH).  Gejala ini berlaku  di mana-mana sahaja  tanpa mengira remaja lelaki ataupun perempuan (AH).  Kebanyakkannya menjadikan pusat beli belah ataupun kaki-kaki lima jalan sebagai tempat mereka melepak (AH). Langkah-langkah yang drastik perlu perlu dilakukan sebelum gejala ini bertambah parah dan merosakkan generasi muda kita (AA).

Bentuk Gabungan Idea

Contoh Soalan
Masyarakat Melayu dikatakan terkenal sebagai masyarakat yang suka mengamalkan gotong-royong dalam pelbagai perkara.  Namun demikian, sejak belakangan ini nilai berkenaan semakin luntur.
Bincangkan pernyataan di atas.

Amalan bergotong-royong sememangnya sudah sinonim dan sebati dengan jiwa masyarakat Melayu (AK). Amalan ini telah dijadikan pusaka turun-temurun sejak dahulu (AH). Namun, akhir-akhir ini amalan yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ itu sedemikian seolah-olah kian terhakis dan dilupakan (AH).  Walaupun banyak pihak cuba menghidupkan amalan ini kembali, percubaan ini terus dipandang sepi (AH).  Hal ini berpunca daripada beberapa perkara dan masyarakat perlu sentiasa diingatkan tentang kepentingan nilai murni yang terdapat dalam amalan ini (AA).


No comments:

Post a Comment