Thursday 24 January 2019

Novel Chot : Sinopsis dan Tema & Persoalan



Novel Chot ; Oleh Azizi bin Haji Abdullah
SINOPSIS

Alias, murid tahun lima yang meniti arus kehidupan bersama ibunya yang lumpuh. Alias bergantung hidup dengan mengambil upah memetik buah kelapa melalui Chot, beruk peninggalan arwah bapanya yang meninggal dunia kerana terjatuh daripada pokok kelapa lima tahun yang lepas. Apabila Chot hilang pada suatu pagi, Alias telah terlewat hadir ke sekolah. Alias berdegil untuk mencari Chot walaupun berkali-kali ibunya dan sahabat baiknya, Som memujuknya agar mencari Chot selepas waktu persekolahan. Apabila usahanya mencari Chot gagal, Alias mengambil keputusan untuk ke sekolah walaupun dia sudah terlewat dan bakal dimarahi oleh Cikgu Sunan.

Chot ditemuinya ketika perjalanan pulang dari sekolah. Chot bersembunyi di pokok cenerai. Alias berasa gembira dengan penemuan tersebut kerana itulah satu-satunya aset yang dimiliki untuk mencari duit bagi menampung yuran persekolahan dan perbelanjaan harian dia dan ibunya yang lumpuh. Alias dimarahi oleh Cikgu Sunan. Cikgu Sunan menengkingnya sehingga dia terkejut lalu terjatuh. Telinga Alias terkena meja murid. Ekoran peristiwa itu, Alias tidak ke sekolah lebih daripada seminggu. Sepanjang tempoh tersebut, Alias memetik kelapa dengan Chot. Alias memberi alasan kepada ibunya bahawa dia perlu memetik kelapa kerana beras sudah habis. Mak Leha tidak berkata apa-apa walaupun pada mulanya dia curiga.

Alias tidak mahu ke sekolah kerana malu sekiranya kawan-kawan mengejeknya berbau busuk. Namun, Alias akur apabila ibunya mengetahui telinganya bernanah. Setelah seminggu lebih tidak ke sekolah, Cikgu Sunan bertanya kepada Som sebab Alias tidak hadir ke sekolah. Barulah dia tahu, Alias tidak datang ke sekolah kerana sakit telinga. Akhirnya, Cikgu Sunan mengambil keputusan pergi ke rumah Alias dengan bantuan Som. Tambahan lagi, Guru Besar juga menyarankan kepadanya perkara yang sama supaya menyiasat perihal Alias.

Kedatangan Cikgu Sunan disambut baik oleh ibu Alias. Alias juga tidak berdendam dengannya malahan ramah walaupun pada mulanya kelihatan takut-takut. Namun, kedatangan Cikgu Sunan  tidak disenangi oleh Chot. Beruk itu sangat marah akan Cikgu Sunan.

Ketika Cikgu Sunan memeriksa telinga Alias yang bernanah, Chot melompat dan melonjat kuat sehingga rantai di lehernya terputus. Chot menerkam Cikgu Sunan dan menokak lengan guru itu. Chot tidak mahu melepaskan gigitannya walaupun Cikgu Sunan memukul-mukulnya.

Keadaan menjadi kelam-kabut. Alias tidak tahu tindakan yang perlu diambil kerana Chot itu beruk kesayangannya. Ibunya pula menyuruh menolong Cikgu Sunan. Akhirnya, Alias mengambil lembing berkarat yang berada di bawah rumah lalu merodok mata lembing itu ke perut Chot. Chot mati di tangan Alias. Cikgu Sunan berasa salah dengan Alias. Cikgu Sunan berjanji akan membiayai pendidikan Alias sehingga ke universiti.



TEMA
Kasih sayang sesama makhluk ciptaan Tuhan

PERSOALAN
-Hubungan manusia dengan makhluk Tuhan.
-Kasih sayang antara manusia dan haiwan.
-Kesempitan hidup masyarakat luar bandar.
-Kemiskinan menjadi penghalang dalam mengejar impian.
-Kepentingan pendidikan dalam hidup.
-Sikap anggota masyarakat yang bertindak melulu.

2 comments: