Wednesday 27 May 2015

CARA MUDAH MENULIS KARANGAN SPM BAHAGIAN A

Salam sejahtera kepada pengujung blog ini..

Aspek penulisan karangan merupakan kemahiran yang perlu diasuh. Tanpa latihan yang kerap, mutu karangan yang dihasilkan mungkin tidak mencapai standard yang diharapkan.

Setiap pelajar berbeza penguasaaan dalam menulis karangan. Ada yang pintar sehingga karangan yang dihasilkan memukau pembacanya. Tetapi jangan lupa, ada juga sebilangan pelajar yang lemah untuk menulis karangan. Jika hal ini dibiarkan, dikhuatiri akan menjejaskan peluang mereka untuk meraih markah yang tinggi dalam matapelajaran Bahasa Melayu.

Berikut saya paparkan TIGA contoh karangan bagi membantu pelajar yang lemah dalam menulis karangan.  Ketiga-tiga karangan tersebut diolah mengikut Modul PERHALUS. Apa yang saya perhatikan, dengan mengikuti modul ini, para pelajar yang lemah menulis karangan dapat membaiki tahap penulisan karangan mereka. Sekurang-kurangnya, mereka dapat juga menulis walaupun tidak secekap rakan-rakan mereka yang pintar.

Selamat mencuba..

Tajuk 1 : Kebaikan Amalan Bergotong-royong

Pada hari ini, isu amalan gotong-royong selalu diperkatakan. Umumnya mengetahui bahawa isu ini semakin hari semakin serius dibincangkan. Persoalannya mengapakah hal sedemikian berlaku? Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama mencari kebaikan amalan bergotong-royong

Sesungguhnya, kebaikan amalan gotong-royong dapat mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Contohnya, mereka dapat berbincang dan bertukar-tukar pandangan. Sekiranya hal ini dilakukan pasti akan dapat melahirkan keadaan yang aman. Benarlah amalan gotong-royong boleh mengeratkan perpaduan ahli masyarakat

Selain itu, kebaikan amalan gotong-royong dapat mempercepat dan memudahkan sesuatu kerja. Hal ini demikian kerana kerja dapat dilakukan bersama-sama. Misalnya, masyarakat setempat bergotong-royong menjayakan majlis perkahwinan. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan meringankan sesuatu kerja. Tepatlah bahawa amalan gotong-royong membawa banyak kebaikan

Di samping itu, kebaikan amalan bergotong-royong adalah untuk memperkukuh semangat kejiranan. Hal ini demikian kerana masyarakat dapat mengambil berat hal-hal kejiranan. Tamsilnya, kita boleh menolong jiran yang menghadapi kesusahan.Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan mengukuhkan hubungan antara jiran. Betullah bahawa amalan gotong-royong memberikan banyak kebaikan

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama dalam menggalakkan amalan gotong-royong ini. Jika tidak, kita tidak akan berjaya. Semoga akan lahir masyarakat yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Namun begitu, ingatlah peribahasa tepuk dada tanya selera.

(203 patah perkataan)


Tajuk 2: Sebab Pelajar Tidak Mematuhi Disiplin.

Pada hari ini, isu disiplin pelajar selalu diperkatakan. Umumnya mengetahui bahawa isu ini semakin hari semakin serius dibincangkan. Persoalannya mengapakah hal ini berlaku? Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama mencarisebab-sebab pelajar tidak mematuhi disiplin.

Sesungguhnya, sebab pelajar tidak mematuhi disiplin ialah masalah keluarga. Hal ini demikian kerana ibu bapa tidak memberi perhatian kepada anak-anak. Contohnya, ialah ibu bapa yang terlalu sibuk dengan pekerjaan mereka. Sekiranya hal ini berlaku pastilah anak-anak akan terbiar. Benarlah keluarga penting untuk membentuk disiplin pelajar.

Selain itu, sebab pelajar tidak mematuhi disiplin ialah mereka terpengaruh dengan rakan. Hal ini demikian kerana mereka mudah terikut-ikut dengan kelakuan rakan sebaya. Misalnya, pelajar akan mengikut rakan mereka ponteng sekolah. Sekiranya hal ini berlaku pastilah akan merosakkan masa depan pelajar. Tepatlah bahawa rakan merupakan sebab yang boleh mempengaruhi pelajar.

Di samping itu, sebab pelajar tidak mematuhi disiplin ialah pengaruh media. Hal ini demikian kerana media sering menyiarkan contoh kelakuan yang tidak baik. Tamsilnya, perlakuan remaja menghisap rokok. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan merosakkan disiplin pelajar. Betullah bahawa media boleh mempengaruhi disiplin pelajar.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama dalam menangani isu disiplin pelajar ini. Jika tidak, kita tidak akan berjaya menanganinya. Semoga akan lahir pelajar yang cemerlang, gemilang, dan terbilang pada masa akan datang. Namun begitu ingatlah peribahasa tepuk dada tanya selera.

(213 patah perkataan)


Tajuk 3: Usaha-usaha untuk Memperkukuh Perpaduan Kaum.

Dewasa ini, isu perpaduan kaum selalu dibincangkan. Umumnya mengetahui bahawa isu ini semakin hari semakin serius dibincangkan. Persoalannya mengapakah hal ini berlaku? Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama untuk mencari usaha-usaha untuk memperkukuh perpaduan kaum.

Sesungguhnya, usaha untuk memperkukuh perpaduan kaum adalah dengan mengadakan sambutan rumah terbuka. Hal ini demikian kerana sambutan ini dapat diraikan oleh semua kaum. Contohnya, dalam sambutan rumah terbuka Hari Raya, kaum Cina dan India boleh meraikannya bersama. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan mewujudkan perpaduan kaum. Benarlah sambutan rumah terbuka dapat memperkukuh perpaduan kaum

Selain itu, usaha untuk memperkukuh perpaduan kaum adalah mewujudkan sekolah untuk semua kaum. Hal ini demikian kerana pelbagai kaum boleh belajar dalam satu sekolah yang sama. Contohnya, Sekolah Wawasan telah ditubuhkan oleh kerajaan. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan memperkukuh perpaduan antara kaum. Tepatlah bahawa sekolah pelbagai kaum dapat mengukuhkan perpaduan kaum.

Di samping itu, usaha untuk memperkukuh perpaduan kaum adalah mewujudkan persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Hal ini demikian kerana persefahaman penting untuk menjadi negara kita aman dan damai. Contohnya, setiap kaum perlu mengamalkan prinsip-prinsip gagasan 1 Malaysia. Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan menyatukan semua kaum. Betullah bahawa persefahaman rakyat berbilang kaum amat penting.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama dalam menangani isu perpaduan kaum ini. Jika tidak, kita tidak akan berjaya. Semoga akan lahir masyarakat yang bersatu padu di negara kita. Ingatlah peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

(233 patah perkataan)

Sumber:

http://cikguatom.blogspot.com/2013/11/sumbermodul-latihan-terancang-program.html

Thursday 30 April 2015

KOMSAS TINGKATAN 4 : DRAMA

Tajuk : BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Buku Komsas Tingkatan 4


SINOPSIS

Drama ini mengisahkan Aiman, seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Oleh sebab berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa hidup dalam kemewahan, Aiman beranggapan bahawa PLKN mungkin akan menggugat zon keselesaannya.

Walaupun ibu Aiman, Masnah memihak kepada Aiman agar tidak menyertai PLKN, namun ayahnya Khir Ghazali memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada Aiman untuk menyertainya. Selain Khir Ghazali, watak posmen, Nora, Sundarani, Ah Tiau, Syuhada dan Cikgu Dahari turut memberikan dorongan kepada Aiman untuk menyertai Khidmat Negara.

Akhirnya, setelah melayari laman sesawang yang memaparkan kejayaan pelajar senior yang menyertai dan menerima anugerah PLKN, hati Aiman terbuka untuk menyertai PLKN dan dia bertekad untuk membuktikan sikap berdikari dan semangat cinta akan tanah air.

TEMA

Sikap remaja yang mempunyai tanggapan negeatif tentang PLKN.
Contohnya; Aiman berusaha untuk menggelakkan diri daripada menyertai PLKN.

PERSOALAN 
  • Sikap positif golongan remaja yang berminat untuk menyertai PLKN dan memberikan sumbangan kepada negara. Contoh: Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada berasa seronok apabila mereka terpilih sebagai peserta PLKN dan nama mereka terpamp[ang di papan kenyataan sekolah.
  • Kesibukan dalam kalangan ahli keluarga yang merenggangkan hubungan kekeluargaan. Contoh:  Aiman sentiasa berasa kesunyian kerana ayahnya sibuk bekerja manakala ibunya Datin Masnah sibuk dengan urusan di luar dan kakaknya Dapnia sibuk dengan tugasnnya di universiti.
  • Sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak. Contoh: Datin Masnah menyokong hasrat Aiman yang ingin mengecualikan diri daripada menyertai PLKN. Sebagai seorang ibu dan juga isteri kepada seseorang yang terpengaruh, beliau sepatutnya mendorong dan memberi motivasi kepada anaknya untuk berkhidmat kepada negara.
  • Peranan seorang guru dalam memberikan kesedaran dan mewujudkan semangat patriotrisme dalam kalangan pelajar. Contoh: Cikgu Dahari memberikan penerangan yang jelas kepada murid-muridnya agar mereka faham akan objektif dan pelaksanaan PLKN.


WATAK DAN PERWATAKAN

Watak utama

Aiman

  • Seorang remaja berusia kira-kira 16 tahun
  • Berasal daripada keluarga yang berada
  • Seorang yang agresif. Contoh: bersifat kasar terhadap pembantu rumah yang melayannya dengan baik dan mesra
  • Seorang yang pemalas. Contoh: segala kerjanya di rumah dibantu oleh orang gaji dan apabila berdepan dengan sesuatu masalah , dia akan tidur.
  • Seorang yang mengagungkan nilai-nilai barat. Contoh: ketika bermimpi tentang PLKN, Aiman meluahkan keinginannya untuk menikmati masakan Barat. Dia juga tahu lokasi Jempol dengan alasan selalu bercuti di luar negara.


Watak sampingan

Khir Ghazali 
  • Ayah kepada Aiman
  • Seorang yang bertanggungjawab. Contoh: walaupun sibuk bekerja beliau mengambil berat terhadap Aiman. Apabila Aiman berdepan dengan masalah beliau mendengarnya dengan sabar dan cuba menyelesaikannya.
  • Seorang yang tegas. Contoh: Apabila Aiman meminta Khir Ghazali membantunya mendapatkan pengecualian daripada PLKN, beliau bertegas untuk tidak membantunya. Hal ini adalah kerana beliau tahu bahawa PLKN akan banyak memanfaatkan Aiman.
  • Seorang yang sensitif. Contoh: apabila isterinya bertegang leher dengannya ubntuk tidak menghantar Aiman ke PLKN, beliau berasa tersinggung lalu beredar meninggalkan tempat perbincangan mereka.


Masnah 
  • Ibu kepada Aiman
  • Berpangkat datin.
  • Seorang yang suka berfikiran negatif. Contoh: Beranggapan bahawa PLKN membahayakan nyawa anaknya dan turut menyokong hasrat anaknya untuk menghadiri PLKN.
  • Seorang yang sanggup menyalahgunakan pengaruh untuk kepentingan sendiri. Contoh: Datin Masnah meminta suaminya menggunakan kedududkan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian untuk anaknya daripada menghadiri PLKN.


Cikgu Dahari
 
  • Seorang guru
  • Terlibat dengan PLKN dalam penghasilan modul program Penghayaran Sastera dan budaya.
  • Seorang yang berfikiran positif. Contoh apabila Aiman menyatakan bahawa keselamatan peserta di dalam kem latihan tidak terjamin dan sastera dan budaya tidak penting dalam kehidupan zaman moden, Cikgu Dahari menafikan pendapat tersebut dengan menerangkan bahawa keselamatan peserta sentiasa terjamin. Beliau juga menerangkan peranan sastera dan budaya dalam kalangan masyarakat.
  • Seorang yang sentiasa memberi galakan kepada anak murid. Contoh: Apabila Nora memberitahu bahawa ramai pelajar terpilih sebagai peserta PLKN, Cikgu Dahari berasa teruja dan menyatakan bahawa Malaysia bertuah kerana mendapat remaja mereka yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara.


Posmen 
  • Seorang yang berfikiran positif. Contoh: Apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat Jabatan Latihan Khidmat Negara, posmen telah memberi nasihat kepada Aiman agar fikir tentang kemahiran dan pengalaman yang bakal diperoleh oleh Aiman melalui PLKN.
  • Seorang yang amanah. Contoh: selepas memberi kata-kata perangsang kepada Aiman tentang kebaikan PLKN. Posmen meminta diri untuk meneruskan tugasnya menghantar surat kerana dia menganggap surat-surat tersebut adalah amanah yang diberikan kepadanya.


PLOT

Permulaan
Aiman menerima sepucuk surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara. Posmen yang menyampaikannya cuba member penenrangan kepada Aiman tentang manfaat PLKN apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat tersebut. Aiman berkelakuan biadap terhadap pembantu rumahnya, Nek Sinah yang melayannya seperti anak sendiri. Nek Sinah tersinggung dan kesal akan sikap Aiman dan layanan keluarganya yang mementingkan wang ringgit sahaja

Perkembangan
Perbualan antara Aiman dan rakan-rakannya di sekolah tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan sekolah. Cikgu Dahari memberi penerangan yang jelas tentang PLKN kepada anak-anak muridnya. Beliau menjelaskan setiap pertanyaan murid dengan memberikan jawapan yang positrif agar mereka berasa seronok untuk menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara

Perumitan
Konflik antara ahli keluarga berlaku apabila Aiman dan Datin Masnah menyuruh Khir Ghazali menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian agar Aiman tidak menyertai PLKN. Khir Ghazali berasa marah dan kesal dengamn sikap isteri dan anaknya yang mempunyai tanggapan dan negative tentang PLKN

Peleraian
Aiman melayari internet di biliknya dan ketika melayari beberapa sesawang, dia terbaca berita mengenai kejayaan pelajar-pelajar seniornya di PLKN. Syufia yang dikenali sebagai kera sumbang di sekolah berjaya memperoleh anugerah pelatih terbaik WIRAWATI untuk Kem Gerakkas di Desaru Johor. Manakala Ziman yang kuat makan dan tidur juga berjaya menyertai PLKN. Aiman sedar akan PLKN dan bertekad untuk menyertainya.

TEKNIK PLOT
  • Monolog Dalaman.  Aiman : Patutkah aku simpan surat ini atau aku buang saja? Hmm, kalau aku buang, nanti ada orang lain jumpa pula. Hah, baik aku bakar!. Tak ada kesannya nanti. Baik aku simpan dulu, cukup masa kalau aku tak berminat, baru aku bakar.
  • Pemerian.  Pada permula cerita pengarang menggambarkan keadaan keluarga Aiman yang hidup mewah dan kemewahan tersebut yang telah mengubah dirinya menjadi seorang remaja yang manja dan malas.
  • Imbas Muka. Aiman bermimpi menyertai PLKN. Dalam program tersebut Aiman mendapati keadaan kem yang panas, makanan yang tidak menyelerakan, mandi air kolam sejuk dan membotakkan kepala. Hanya perkara yang negatif yang terlintas dalam fikirannya ketika bermimpi.

LATAR
  • Latar masa.
  • Alaf baru (Program PLKN – bermula tahun 2004).
  • Waktu tengah hari. Contoh: Nek Sinah menjemput Aiman menikmati makan tengah hari.
  • Waktu pagi. Contoh: Aiman berdialog bersama-sama rakan-rakan di sekolah tentang PLKN yang bakal dihadiri mereka.
  • Waktu petang. Contoh: Selepas balik dari sekolah Aiman berbual bersama-sama dengan ayah dan ibunya di rumah.


Latar tempat
  • Rumah Aiman. Contoh: Peristiwa Aiman menerima surat daripada Jabatan latihan Khidmat Negara.
  • Sekolah Menengah. Contoh: dialog antara Aiman, Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan..

Latar masyarakat
  • Masyarakat bandar yang sibuk bekerja . contoh: Khir Ghazali iaitu ayah Aiman digambarkan sebagai hartawan yang sibuk bekerja. Ibunya, Datin Masnah juga selalu tidak berada di rumah manakala kakaknya, Dapnia sibuk dengan tugasan di universiti.
  • Masyarakat yang penyayang. Contoh: Walaupun Nek Sinah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Khir Ghazali namun dia amat menyayangi Aiman dan memasak makanan kegemarannya serta melayannya seperti cucu sendiri.
  • Masyarakat yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab. Contoh: Posmen dalam drama ini mengedarkan surat kepada penerima dengan penuh tanggungjawab kerana dia berpendapat bahawa surat itu adalah amanah masyarakat terhadapnya.
  • Masyarakat yang sombong dan mementingkan kekayaan. Contoh: Aiman berkelakuan biadap terhadap pembantu rumahnya yang sentiasa bersikap lemah lembut. Nek Sinah berasa kesal dengan tingkah laku Aiman dan ahli keluarganya yang hanya mementingkan wang ringgit.
  • Masyarakat yang berfikiran positif. Contoh: Walaupun Khir Johari mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk membantu Aiman mengecualikan diri daripada menyertai PLKN, namun Khir Ghazali mahu anaknya menyertai program tersebut kerana beliau tahu bahawa anaknya akan memperoleh banyak manfaat daripada PLKN. Selain itu, Cikgu Dahari menerangkan tentang kebaikan PLKN kepada pelajar-pelajarnya agar dapat mengikiskan tanggapan negative mereka terhadap program tersebut dan memberikan sumbangan mereka kepada negara.


GAYA BAHASA 
  • Sinkope. Contoh: kata singkatan ‘tak’ dalam ayat. Saya tak berminat langsung (m.s 3)
  • Inversi. Contoh: amanah orang semua surat ini (m.s 4).
  • Peribahasa. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. (m.s 7).
  • Bahasa asing. Contoh: penggunaan perkataan bahasa Inggeris daddy, mummy (m.s 14).
  • Simile. Contoh: perkataan ‘macam’ dalam ayat, Nak angan-angan macam Mat Jenin


NILAI
  • Nilai amanah. Contoh: Posmen amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya menghantar surat.
  • Nilai kasih sayang. Contoh: Nek Sinah melayan Aiman seperti cucunya sendiri dan masak makanan kegemarannya.
  • Nilai bertanggungjawab. Contoh: walaupun sibuk bekerja, Khir Ghazali meluangkan masa mendengar masalah Aiman.
  • Nilai cinta akan tanah air. Contoh: apabila Aiman menyatakan bahawa dia tidak tahu di mana terletaknya Jempol kerana selalu bercuti di luar negara, kawannya Sundarani menegurnya bahawa kita perlu menghargai tanah air kita


PENGAJARAN
  • Kita haruslah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Contoh: Aiman biadap terhadap pembantu rumahnya yang menganggapnya sebagai cucu sendiri.
  • Kita mestilah bersikap amanah dalam menjalankan tugas. Contoh: Posmen menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang posmen dengan penuh amanah.
  • Kita perlulah memberi sokongan kepada program kerajaan. Contoh: Masnah tidak memberi galakan kepada anaknya untuk menyertai PLKN malah memberitahu suaminya bahawa program tersebut mungkin membahayakan nyawa anaknya. Contoh: Cikgu Dahari memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada anak-anak muridnya agar menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara.

Wednesday 29 April 2015

Komsas Tingkatan 4 : Prosa Tradisional

Tajuk : Kepimpinan Melalui Teladan


Buku Komsas Tingkatan 4

SINOPSIS

Kisah bermula apabila Seri Betara Majapahit berbincang dengan Patih Gajah Mada untuk menewaskan Melaka setelah kematian penjurit tujuh bersaudara. Ketujuh-tujuh penjurit dibunuh oleh laksamana di Bukit Cina. Justeru, Patih Gajah Mada merancang untuk mengarahkan Kertala Sari membunuh Sultan Melaka dan laksamananya. Kertala Sari bersetuju dengan permintaan Patih Gajah kerana ingin membalas dendam atas kematian ayahnya yang dibunuh oleh laksamana Melaka.
  
Patih Gajah membawa Kertala Sari mengadap Seri Betara dan menerangkan bahawa Kertala Sari merupakan penjurit yang sangat handal. Kehebatan Kertala Sari mengalahkan negeri Daha seorang diri menyebabkan Seri Betara menitahkan Kertala Sari segera ke Melaka untuk membunuh Sultan Melaka dan laksamana Melaka dan menjanjikan jawatan penggawa agung kepadanya.

Ketika berada di Melaka Kertala Sari menyamar sebagai pengikut Patih Kerma Wijaya. Di Melaka, Kertala Sari mencuri harta saudagar-saudagar dan orang-orang kaya serta mencabuli isteri-isteri mereka. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada Sultan Melaka dan menitahkan agar Temenggung serta orangnya menjaga keselamatan dan mengawal keadaan negeri Melaka dari kejadian kecurian. Namun kecurian masih tetap berlaku sehingga melibatkan rumah Bendahara. Hal ini kerana Kertala Sari menggunakan ilmu kesaktian untuk menggelakkan diri daripada ditangkap. Melihat pada keadaan tersebut laksamana menawarkan diri kepada Sultan untuk mengawal istana kerana mengikut firasatnya penjurit akan masuk ke istana pula.

Dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta ilmu yang dimiliki oleh laksamana berjaya mengagalkan rancangan Kertala Sari untuk mencuri harta raja, membakar dan mengamuk serta mengambil isteri-isteri sultan. Kertala Sari berjaya dibunuh oleh laksamana di tengah pasar, manakala kemaluan Kertala Sari dipotong sebagai bukti laksamana membunuhnya. Mayat Kertala Sari telah dikerat-kerat anggota badanya oleh penduduk yang menjumpai mayat tersebut untuk dibuktikan kepada sultan bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari. Namun laksamana telah menunjukkan bukti yang lebih kukuh kepada sultan bahawa beliaulah yang telah berjaya membunuh Kertala Sari. Baginda sultan telah memberi anugerah kepada laksamana atas kejayaan membunuh Kertala Sari

Segala hasil curian yang telah disimpan oleh Kertala Sari di Bukit Cina berjaya ditemui dan Sultan telah mengarahkan semua empunya barang untuk menuntut barang-barang tersebut. Baginda sultan telah meminta supaya empunya barang-barang tersebut memberikan dua pertiga bahagian dari barang-barang tersebut kepada laksamana. Namun laksamana hanya bersetuju untuk mengambil satu bahagian sahaja dan barang-barang tersebut kesemuanya telah diagihkan oleh laksamana kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun dari harta tersebut. Akhirnya berita kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh laksamana telah sampai ke pengetahuan Patih Gajah Mada di Majapahit. Patih Gajah Mada tidak putus asa terus mencari orang yang dapat membunuh Sultan dan Laksamana Melaka.

TEMA

Kepahlawanan seorang laksamana mempertahankan negara.
Keberanian dan kegagahanan Laksamana mempertahankan negeri Melaka dari ancaman penjurit tujuh bersaudara serta Kertala Sari dari Majapahit yang membuat hura hara.

PERSOALAN
  • Persoalan keberanian dalam menegakkan keadilan.
  • Persoalan pemimpin mestilah seorang yang bijaksana.
  • Persoalan pemimpin yang mengambil berat kesusahan rakyat.
  • Persoalan penggunaan ilmu kesaktian dalam kehidupan seseorang.
  • Persoalan perasaan dendam membawa akibat buruk.


WATAK DAN PERWATAKAN   

Laksamana
  • Seorang yang berani
  • Seorang yang pemurah
  • Seorang yang bijaksana
  • Cinta akan keamanan negara
  • Taat setia kepada pemerintah
  • Pandai dalam ilmu kesaktian
  • Memiliki sifat kepahlawanan

Kertala Sari
  • Anak kepada Petala Bumi
  • Berasal dari Majapahit
  • Seorang pencuri yang handal
  • Seorang yang tamak dan angkuh
  • Seorang pendendam
  • Pandai dalam ilmu kesaktian
  • Suka membuat huru hara
  • Taat kepada pemerintah

Sultan Melaka
  • Seorang yang prihatin
  • Seorang pemimpin yang adil
  • Seorang yang mengenang budi

Patih Gajah Mada
  • Berasal dari Majapahit
  • Seorang pendendam

  
LATAR

Latar Masa 
  • Malam : Contoh: Kertala Sari masuk mencuri ke rumah saudagar dan orang-orang kaya pada sebelah malam.
  • Siang. Contoh: Bendahara melaporkan kepada Sultan bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri dan habis segala harta-hartanya.


Latar Tempat 
  • Negeri Melaka. Contoh: Kartala Sari membuat huru hara dengan mencuri harta sudagar dan orang-orang kaya di Melaka.
  • Majapahit. Contoh: Patih Gajah Mada dan Seri Bentara merancang untuk membalas dendam atas kematian penjurit tujuh bersaudara di Bukit Cina.
  • Di tengah pasar. Contoh : Tempat Kertala Sari mati dibunuh oleh Laksamana.

Latar Masyarakat 
  • Masyarakat feudal. Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
  • Masyarakat yang bertanggungjawab. Contoh: Laksamana menawarkan diri untuk menangkap penjurit yang menyebabkan masalah kecurian di negeri Melaka.
  • Masyarakat yang mengenang budi. Contoh : Saudagar dan orang-orang kaya yang kehilangan hartanya akibat dicuri oleh Kertala Sari telah memberikan sebahagian harta mereka kepada Laksamana dengan ikhlas serta harta mereka ditemui.
  • Masyarakat yang taat pada pemerintah. Contoh : Ketaatan Laksamana terhadap Sultan dan negerinya.


GAYA BAHASA 
  • Bahasa istana. Contoh: sultan, patik, tuanku,
  • Bahasa pinjaman bahasa Jawa. Contoh: manira,kula,pakanira
  • Kata ganda. Contoh: kaya-kaya, sekuasa-kuasa, menampar-nampar,tikam-menikam,radak-meradak


NILAI
  • Nilai keberanian. Contoh:Laksamana berani untuk menentang dan membunuh Kertala Sari.
  • Nilai tolong-menolong. Contoh: Laksamana menawarkan diri untuk mengawal keselamatan negeri Melaka.
  • Nilai kebijaksanaan. Contoh: Laksamana menggunakan tipu helah untuk mengalahkan Kertala Sari degan berpura-pura tidur di tengah-tengah pasar pada waktu malam.
  • Nilai pemurah. Contoh: Laksamana membahagi-bahagikan harta yang dihadiahkan oleh saudagar dan orang-orang kaya kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun harta itu.

PENGAJARAN
  • Kita hendaklah berani menghadapi musuh supaya keselamatan negara akan terjamin.
  • Kita hendaklah rasional membuat keputusan agar tidak menyesal pada masa akan datang.
  • Janganlah kita mempunyai perasaan dendam supaya hidup kita sentiasa bahagia. 
  • Kita hendalah mengamalkan sikap pemurah agar kehidupan kata sentiasa dirahmati tuhan

Friday 24 April 2015

Komsas Tingkatan 4 : Cerpen

Tajuk : Munsyi  (Husna Nazri)


Buku KOMSAS Tingkatan 4

Sinopsis
            Cerpen ini mengisahkan hasrat ‘saya’, seorang anak muda, untuk berhijrah ke kota dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar.  Pada bondanya, ‘saya’ masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya.  Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.  Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum.  Oleh itu, bonda menasihatkan ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.  Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik, bonda memiliki banyak buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.  Buku-buku tersebut selalu ‘saya’ baca. Menurut bonda, asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu dan kesetiaan pada pemerintah yang adil.
            Setelah ‘saya’ berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.  Namun bonda berpesan agar menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.  Bonda juga mengirimkan sejumlah buku untuk kawan lamanya yang bernama Munsyi melalui ‘saya’.  Apabila tiba di bandar, ‘saya’ menyerahkan buku-buku tersebut pada kawannya itu yang pada pengamatan ‘saya, Munsyi’ merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.  Dia tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan tradisi di pinggir bandar.  Di bandar, ‘saya’ melihat kaum mudanya telah hilang identiti dan jati diri.  Akibat sibuk bekerja, ‘saya’ tidak bertemu Munsyi.  Suatu hari, ‘saya’ mendapat khabar bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel.  Apabila ‘saya’ mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  ‘Saya’ sedih melihat buku-buku lama yang telah ‘saya’ bawa, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.

Za'ba antara tokoh pejuang bahasa Melayu
Tema
Semangat cinta akan bahasa, agama, bangsa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warga negara. 
Contohnya, ibu kerap menasihati ‘saya’ agar memelihara dan cinta akan agama, budaya dan bahasa agar dihormati oleh orang.

Persoalan
Keinginan anak muda berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan
Contohnya, ‘saya’ memohon keizinan ibunya untuk berhijrah ke bandar bagi membina kehidupannya seperti kebanyakan remaja yang lain.

Peranan penjajah dalam usaha memecahbelahkan rakyat sesebuah negara.
Contohnya,  pihak penjajah telah menjalankan sistem pecah dan perintah agar agihan kekayaan negara tidak berlaku secara adil hingga menimbulkan
rusuhan kaum akibat rasa tidak puas hati rakyat.

Kegigihan anak muda mempelajari segala ilmu untuk meneruskan kehidupannya.
Contohnya, ‘Saya’ tekun belajar pelbagai ilmu yang berkaitan dengan kehidupan sebelum berhijrah ke bandar.
Ketaatan seorang anak terhadap nasihat ibunya.
‘Saya’ mentaati nasihat ibunya yang tidak membenarkannya berhijrah ke bandar kerana pada pendapat ibunya ‘saya’ masih belum cukup kuat jati diri untuk tinggal di bandar.

Kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya.
Contohnya, ibu keberatan untuk melepaskan ‘saya’ ke bandar kerana bimbang ‘saya’ terpengaruh akan budaya negatif yang terdapat pada remaja di bandar.

Plot

Permulaan
Cerpen dimulakan dengan kisah ‘saya’ tidak diizinkan oleh bondanya berhijrah ke kota kerana bimbang anaknya itu akan hanyut oleh arus hedonism dan modenisme yang melanda anak-anak muda di kota.

Perkembangan
Bonda pernah bercerita pada ‘saya tentang system pemerintahan penjajah yang memecah-belahkan perpaduan rakyat negara ini.
Setelah Negara merdeka, perpecahan tersebut mencetuskan huru-hara kepada negara ini.
Ibu menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa , bangsa dan Negara ini.  ‘Saya’ juga membaca membaca pelbagai buku simpanan bonda untuk memantapkan jati diri dan bahasa ‘saya’
Setelah bonda yakin dengan kemantapan diri ‘saya’ baharulah ‘saya’ dibenarkan berhijrah ke kota untuk membaiki taraf hidup saya.  ‘Saya ‘ dikirimkan buku-buku lama untuk disampaikan kepada sahabat lama bonda iaitu Munsyi.
Di Bandar ,’saya’ dapati anak-anak muda telah hanyut oleh keseronokan hidup dan melupakan nilai-nilai murni dan batas kehidupan.
‘Saya’ mendengar berita kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi akan didirikan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.

Klimaks
Aku sampai di perkampungan tradisi itu dan mendapati jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  Buku-buku pemberian bonda juga turut musnah dalam peristiwa itu tetapi Munsyi tidak ada di situ.

Peleraian
Berhari-hari aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.

Teknik Penceritaan
Dialog
“Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya.”

Imbas kembali
Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam empat dekad lampau.
Imbas muka.
Di kota nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi.

Pemerian.
Salam saya akhirnya dijawab oleh seorang lelaki di usia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka yang putih bersih.  Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan melayu.  Di jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik. 

Kejutan.
Saya mendengar khabar bahawa syarikat perumahan akan mengambil alih kampung tradiri yang didiami oleh Munsyi dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.

Saspens.
Aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.

Watak dan Perwatakan

Watak utama:
 ‘Saya’

  •  Seorang yang taat 
  • ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar. 
  • Seorang yang amanah: ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang sepatutnya diserahkan kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar. 
  • Seorang yang gemar membaca : ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya. 
  • Seorang yang tidak mudah putus asa : ‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.


Watak sampingan:

Bonda ‘saya’

  • Seorang yang berpengetahuan luas. 
  • Bonda bercerita kepada ‘saya’ tentang sejarah pahit tanah air. 
  • Seorang yang bersifat patriotik. 
  • Bonda menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa ibunda dan negara. 
  • Seorang yang amat memahami 
  • Bonda mengizinkan ‘saya’ berhijrah apabila didapati anaknya itu sudah mantap ilmu dan jati dirinya.

 Munsyi

  • Kawan lama bonda. 
  • Seorang yang cinta akan budaya Melayu 
  • Munsyi berpakaian tradisi Melayu yang lengkap dengan keris ketika menyambut kedatangan ‘saya’. 
  • Seorang yang mengalu-alukan tetamu : Munsyi tersenyum dan menjemput ‘saya’ masuk ke rumahnya.

Latar
Latar masa

  • Zaman pemerintahan penjajah 
  • Penjajah telah memerintah negara menggunakan system pecah dan perintah. 
  • Zaman selepas merdeka : Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas dijajah.

Latar tempat

  • Di kampung 
  • Pada mulanya, bonda tidak membenarkan ‘saya’ meninggalkan kampung untuk berhijrah ke kota 
  • Di kota    ‘Saya’ berhijrah ke kota untuk membina kehidupan yang lebih sempurna. 
  • Di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota : Munsyi tinggal di sebuah rumah yang terletak di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota.

Latar masyarakat

  • Masyarakat kampung. : ‘Saya’ dan bonda tinggal di kampung. 
  • Masyarakat remaja yang tinggal di bandar : ‘Saya’ dapati masyarakat remaja yang tinggal di bandar kebanyakannya telah hanyut oleh keseronokan hidup. 
  • Masyarakat yang mengamalkan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan: Penduduk kampung tradisi mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap pencerobohan tanah milik mereka oleh pihak berkuasa. 
  • Masyarakat yang cekal dan berani: Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.

Gaya bahasa

  • Kata ganda :Zaman- berzaman 
  • Metafora : Pagar-pagar perkauman, pohon kebenaran, racun perkauman 
  • Peribahasa : Bahasa jiwa bangsa
  • Simile :Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu. 
  • Hiperbola : Namun kerana hasad dengki, khianat, kronisme serta rasuah yang bermaharajalela, kegemilangan yang dibina musnah sekelip mata.
Nilai
  1. Patriotik :Bonda menasihati ‘saya’ agar sentiasa memelihara bahasa ibunda dan agama. 
  2. Ketaatan : ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar. 
  3. Kegigihan : Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal. 
  4. Amanah : ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu menyerahkan buku-buku kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.
 Pengajaran.
  1. Kita hendaklah taat pada perintah dan larangan ayah dan ibu. Contohnya: ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar 
  2. Kita hendaklah gigih apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Contohnya : Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal. 
  3. Kita hendaklah rajin membaca untuk meningkatkan pengetahuan. Contohnya : ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya. 
  4. Kita tidak boleh mudah putus asa apabila menemui kegagalan. Contohnya: ‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.