Showing posts with label TATABAHASA MELAYU. Show all posts
Showing posts with label TATABAHASA MELAYU. Show all posts

Saturday, 21 March 2020

TATABAHASA : KATA SENDI NAMA


Kata Sendi Nama ialah kata yang digunakan untuk menyambung frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dan ayat. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 252), kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. 

Kata sendi nama terletak di hadapan kata nama, frasa nama atau kata ganti nama dan dipisahkan daripada perkataan yang mengikutnya. Kata sendi nama ialah perkataan yang digunakan untuk merangkaikan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa yang lain.



CONTOH:

KATA SENDI NAMA
FUNGSI
AYAT CONTOH
Di
Menunjukkan tempat
Tidak boleh digunakan untuk menunjukkan masa
Ahmad tinggal di Perak
Ke
Menunjukkan tempat arah dan masa
Dia hendak pergi ke Kedah pada bulan hadapan.
Ekspo Kerjaya ini dibuka dari pukul 10.00 pagi hingg ke pukul 5.00 petang.
Dari
Menunjukkan
arah,tempat dan masa(ATM)
1.Bas itu dari selatan
2.Daud berasal dari Pulau Pinang
3.Ahmad menunggu kawannya dari pukul tiga petang tadi.
Hingga
Maksud had masa
Amin bekerja dari pagi hingga petang.
Dengan
Maksud bersama-sama
Ayah pergi ke pasar dengan adik
Daripada
(K)keanggotaan,
(A)abstrak,
(B)bandingan/benda, (O)orang/organisasi,
(S)sumber.
1.Pasukan itu terdiri daripada lima orang pemain yang berpengalaman.(K)
2.Kejayaannya bermula daripada kesusahan yang dialami.(A)
3.Bangunan Maybank lebih tinggi daripada bangunan itu.(B)
4.Chandran menerima surat itu daripada abangnya.(O)
5.Maklumat itu diperoleh daripada Dewan Siswa.(S)
Pada
Menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja.
Keterangan waktu.
Lukisan itu digantung pada dinding.
Hujan turun dengan lebat pada pagi semalam.
Kepada
Menunjukkan arah, tempat orang yang ditujui.
Surat jemputan itu ditujukan kepada pengerusi persatuan.
Bagi / Untuk
Menunjukkan tujuan sesuatu itu dilakukan
Hari Kantin diadakan bagi / untuk mengisi tabung kewangan sekolah.
Sejak / Sementara
Menunjukkan waktu / masa
Sejak pagi tadi, Munira asyik termenung saja.
Terhadap
Merujuk kepada unsur yang melibatkan penyambut yang tertentu.
Setiap pemuda mestilah menanam rasa hormat terhadap orang yang lebih tua.
Antara
Digunakan di depan kata nama yang membawa maksud
Antara makanan yang dihidangkan ialah sate.
Dalam
Sendi nama "di" atau "ke", "dalam" berfungsi untuk menunjukkan arah / tempat.
Seok Hwa berada di dalam bilik bacaan.
Daniel masuk ke dalam rumahnya.
Demi
Menunjukkan maksud tujuan
Kita mesti sanggup berkorban demi negara yang kita cintai.
Tentang
Maksud perkara atau hal yang dilakukan
Encik Ahmad memberitahu pelajarnya tentang latihan bola sepak yang akan diadakan pada hari Selasa.
Oleh
Maksud sebab
Murid-murid yang ponteng sekolah itu berjaya ditangkap oleh guru disiplin.
Akan
Menunjukkan maksud "kepada" atau "terhadap"
Amidi rindu akan keluarganya di Sabah.



Thursday, 2 April 2015

SINTAKSIS : CAKAP AJUK DAN CAKAP PINDAH



Tajuk : Menukarkan Cakap Ajuk atau Dialog kepada Cakap Pindah

Kaedah Menukarkan Cakap Ajuk atau Dialog kepada Cakap Pindah

Menurut pendapat Mohd Azam Bin Ahmad (Guru Cemerlang Bahasa Melayu) mengatakan bahawa “selalunya murid didapati berusaha menukarkan cakap ajuk atau dialog kepada cakap pindah secara wewenang atau "trial and error". Mereka tidak mempunyai suatu kaedah yang kukuh untuk menukarkan cakap ajuk atau dialog kepada cakap pindah. Oleh hal demikian, murid berasa sukar untuk melakukan usaha tersebut. Sehubungan dengan ini, saya ingin mengemukakan satu kaedah yang telah saya bentangkan untuk kali pertama di Kursus Profesionalisme Guru-Guru Bahasa Melayu Negeri Melaka di GoldCoast, Klang pada tahun 2007 lalu”.

Perhatikan cakap ajuk di bawah :

"Kamu makanlah segera. Kamu jangan lupa basuh pinggan," pesan ibu kepada Aini.

Untuk menukarkan cakap ajuk atau dialog di atas kepada cakap pindah, murid hendaklah berpegang pada tiga elemen komunikasi, iaitu :
a. Kenali Topik Perbincangan
b. Kenali Persona
c. Kenali Konteks Komunikasi

Berdasarkan tiga elemen dalam komunikasi itu, murid akan mendapati:

a. Kenali Topik Perbincangan :
     makanlah segera.
     jangan lupa basuh pinggan.

b. Kenali persona :
     Ibu
     Aini

c. Kenali Konteks :
     pesan

Berdasarkan unsur dalam elemen komunikasi itu, murid boleh membina ayat sendiri dalam ragam cakap pindah. Misalnya,

i. Ibu berpesan kepada Aini supaya makanlah segera tetapi jangan lupa membasuh pinggan.
ii.Ibu memberikan pesanan kepada Aini supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.
iii. Ibu berpesan supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.

Berdasarkan tiga ayat di atas, semua unsur dalam elemen komunikasi dalam cakap ajuk atau dialog itu tidak tertinggal dalam proses menukarkannya kepada cakap pindah. Oleh hal demikian, wacana dalam cakap ajuk atau dialog itu tetap terpelihara dalam cakap pindah.

Kaedah ini juga membolehkan murid menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk atau dialog. Apabila murid mengenali unsur dalam elemen komunikasi tersebut, murid hanya perlu menggunakan unsur tersebut dalam membina cakap ajuk atau dialog sendiri. Proses membina cakap ajuk atau dialog ini adalah lebih mudah.

Cakap Ajuk dikenali juga sebagai dialog

Latihan Intensif:

Tukarkan ayat cakap ajuk di bawah ini kepada ayat cakap pindah.

  1. “Semasa berjoging petang tadi saya terserempak dengan seorang gelandangan yang sedang tidur di tengah jalan,” kata Yusri kepada Salleh. 
  2. Kata Normah kepada Sarah, ”Jangan makan makanan yang banyak lemak nanti awak akan mendapat sakit.” 
  3. “Saya tidak dapat sampai tepat pada masanya kerana jalan raya ditenggelami air, “kata Erra. 
  4. Kata Azan, “Pokok kelapa di belakang rumah Aliff tumbang dan menimpa rumahnya.” 
  5. “Saya berjanji tidak akan buat jahat lagi,” kata Muiz. “Saya akan mematuhi semua peraturan projek ini, “sambungnya lagi. 
  6. “Ular! Ular!” Mak Minah menjerit. “Ada ular dekat pasu bunga besar itu,”katanya lagi. 
  7. Kata Julia, “Kami akan bertolak ke Kuala Lumpur sebentar lagi.” 
  8. “Kalau tak tahu jangan buat,” kata Cikgu Siti. “Biar orang yang tahu saja yang membuatnya,”sambungnya lagi. 
  9. Kata Erik, “Rumah yang cantik memang menjadi idaman semua orang.” 
  10. “Jangan lupa membeli tepung apabila awak ke kedai nanti,” kata emak Rosyam. “Emak hendak buat karipap,” sambungnya lagi. 
  11. Kata Farid, “Banjir teruk di Filipina mengakibatkan lima belas orang mati lemas.” 
  12. Kata Perdana Menteri, “Semua kemudahan yang disediakan adalah untuk kegunaan semua orang.

 Jawab latihan dahulu kemudian barulah rujuk jawaban anda.....



Jawapan:

  1. Yusri memberitahu Salleh bahawa ketika dia sedang berjoging, dia terserempak dengan seorang gelandangan yang sedang tidur di tengah jalan. 
  2. Normah menasihati Sarah supaya jangan makan makanan yang mengandungi banyak lemak untuk mengelakkan penyakit. 
  3. Erra mengatakan bahawa dia tidak sempat sampai pada waktunya keranan jalan raya ditengelami air. 
  4. Azan memberitahu bahawa pokok kelapa di belakang rumah Alif telah tumbang dan menimpa rumahnya. 
  5. Muis memberitahu bahawa dia berjanji tidak akan berbuat jahat  dan akan mematuhi peraturan projek tersebut. 
  6. Mak Minah menjerit-jerit apabila melihat ular sambil memberitahu bahawa terdapat ular berhampiran pasu bunga yang besar itu. 
  7. Julia mengatakan bahawa dia akan bertolak ke Kuala Lumpur selepas itu. 
  8. Cikgu Siti mengatakan bahawa jangan melakukan perkara yang tidak diketahui tetapi mintalah orang yang tahu sahaja melakukannya. 
  9. Erik mengatakan bahawa rumah yang cantik menjadi idaman semua orang. 
  10. Emak Rosyam mengingatkan Rosyam supaya membeli tepung apabila dia ke kedai kerana emaknya hendak membuat kuih karipap. 
  11. Farid melaporkan bahawa banjir besar di Filipina mengakibatkan lima belas orang mati lemas. 
  12. Perdana Menteri menerangkan bahawa kemudahan yang disediakan adalah untuk kegunaan semua orang.


Rujukan:
Mohd Dahalan Mohd Ramli dan rakan-rakan, 2005, Siri Referens Bahasa Melayu SPM, Pearson Longman.

Sunday, 29 March 2015

SINTAKSIS : AYAT AKTIF DAN AYAT PASIF



Tajuk : Menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif

LATIHAN SPM 1
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Puan Azizah telah memarahi Azmi kerana memecahkan pasu bunga.
2. Ibu bapa harus mengawasi tingkah laku anak-anak supaya mereka tidak tersalah langkah.
3. Puan Sarah menghadiahi Atiqah sebuah kereta Kancil setelah lulus dalam ujian memandu.
4. Ayah saya menyambut kedatangan birasnya yang baru tiba dari Sabah.
5. Dia mendayung sampan itu dengan laju dengan harapan untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

LATIHAN SPM 2
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Saya membeli rumah mewah di atas bukit itu dengan duit titik peluh saya sendiri.
2. Ibu Anita membuat kuih bahulu yang sedap itu sempena hari lahir Kalsom.
3. Mereka menyusun kerusi-kerusi itu di padang sebelum acara sukan bermula.
4. Semua pelajar sudah membaca buku cerita yang terdapat di perpustakaan.
5. Saya selalu memasang lampu di hadapan rumah sebelum tidur.

LATIHAN SPM 3
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Kamu perlu membereskan kerja yang diberikan oleh guru sebelum pulang nanti.
2. Ali telah mengambil buku itu semalam.
3. Saya sudah menyelesaikan tugasan itu semalam.
4. Ayah memarahi Kamal kerana pulang jauh malam.
5. Kakak mencuci pakaian kotor di bilik air.

LATIHAN SPM 4
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Saya telah mengirimi adik wang saku untuk keperluannya belajar di luar negara.
2. Ayah menghadiahi emak seutas rantai emas sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
3. Anda patut menyelesaikan tugas itu sekarang juga.
4. Beliau menyandang jawatan yang sangat penting dalam organisasi tersebut.
5. Kakak memasukkan sedikit garam ke dalam gulai yang sangat saya gemari.

LATIHAN SPM 5
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Pengetua mengarahkan guru-guru memantau aktiviti pelajar pada waktu petang.
2. Saya mengangkat beg besar itu masuk ke bilik hotel dengan segera.
3. Anda mesti menghadiri kursus itu untuk meningkatkan kemahiran anda.
4. Ali menemui buku itu di dalam beg pakaian.
5. Anda perlu mengelakkan perbuatan mencuri kerana perbuatan itu berdosa.

LATIHAN SPM 6
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Kebanyakan negara hari ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi.
2. Pasukan petugas Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan bagi Pembangunan Struktur Informasi menggariskan beberapa langkah untuk membangunkan komputer peribadi buatan Malaysia sepenuhnya.
3. Ayah telah berjaya menangkap seekor rusa jantan sewaktu memburu di hutan.
4. Adlin telah memetik buah rambutan di belakang rumah untuk diberi kepada Siva.
5. Adik terpaksa menyapu halaman rumah kami setiap hari kerana banyak daun yang gugur.

LATIHAN SPM 7
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Menteri Pelajaran telah mengingatkan pelajar agar tidak bergantung pada kerajaan untuk menyediakan segala kemudahan.
2. Semua orang menentang kadar baru tol kerana membebankan orang ramai.
3. Jabatan Perkhidmatan Awam tidak akan menuntut bayaran balik pinjaman daripada pelajar yang cemerlang.
4. Awak telah menjalankan eksperimen itu dengan baik.
5. Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormat dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

LATIHAN SPM 8
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Guru disiplin menahan pelajar itu selepas pehimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.
2. Ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni kepada anak sejak kecil lagi.
3. Guru Bahasa Melayu menghadiahi pelajar itu sebatang pen setelah berjaya memperoleh A dalam peperiksaan percubaan SPM.
4. Polis telah menangkap penculik kanak-kanak itu pada pagi tadi.
5. Kamu mestilah mematuhi undang-undang negara agar hidup kita aman.

LATIHAN SPM 9
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Mereka ke sekolah dengan menaiki bas.
2. Pihak berkuasa telah berjaya membanteras aktiviti pembalakan haram itu.
3. Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membantu pengusaha industri kecil itu.
4. Ketua kampung menegur sikap Karim dan Derus yang suka menghabiskan masa di warung.
5. Penduduk setempat mempertikaikan keputusan untuk membina tapak pelupusan sampah.

LATIHAN SPM 10
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Ahmad menendang bola itu ke pintu gol.
2. Hanis membaca buku cerita kanak-kanak itu di kantin.
3. Saya melukis gambar itu kelmarin setelah diminta oleh Farah.
4. Kamu perlu menyiapkan tugasan yang diberi pada hari ini juga.
5. Tuan hamba perlu menemui Panglima Garang segera.


Jawapan

LATIHAN SPM 1
1. Azmi telah dimarahi oleh Puan Azizah kerana memecahkan pasu bunga.
2. Tingkah laku anak-anak harus diawasi oleh ibu bapa supaya mereka tidak tersalah langkah.
3. Setelah lulus dalam ujian memandu, Atiqah dihadiahi oleh Puan Sarah sebuah kereta Kancil. Atau Atiqah dihadiahi oleh Puan Sarah sebuah kereta Kancil setelah lulus dalam ujian memandu.
4. Kedatangan biras ayah saya yang baru tiba dari Sabah disambut oleh ayah.
5. Sampan itu didayung olehnya dengan laju dengan harapan untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

LATIHAN SPM 2
1. Rumah mewah di atas bukit itu saya beli dengan duit titik peluh saya sendiri.
2. Kuih bahulu yang sedap itu dibuat oleh ibu Anita sempena hari hari lahir Kalsom.
3. Kerusi-kerusi di padang itu disusun oleh mereka sebelum acara sukan bermula. Atau Kerusi-kerusi itu disusun oleh mereka di padang sebelum acara sukan bermula.
4. Buku cerita yang terdapat di perpustakaan sudah dibaca oleh semua pelajar.
5. Lampu di hadapan rumah selalu saya pasang sebelum tidur.

LATIHAN SPM 3
1. Kerja yang diberikan oleh guru perlu kamu bereskan sebelum pulang nanti.
2. Buku itu telah diambil oleh Ali semalam.
3. Tugasan itu sudah saya selesaikan semalam.
4. Kamal dimarahi oleh ayah kerana pulang jauh malam.
5. Pakaian kotor dicuci oleh kakak di bilik air.

LATIHAN SPM 4
1. Wang saku adik telah saya kirim untuk keperluannya belajar di luar negara. Atau Adik telah saya kirimi wang saku untuk keperluannya belajar di luar negara.
2. Emak dihadiahi oleh ayah seutas rantai emas sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
3. Tugas itu patut anda selesaikan sekarang juga.
4. Jawatan yang sangat penting dalam organisasi tersebut disandang oleh beliau. Atau Jawatan yang sangat penting disandang oleh beliau dalam organisasi tersebut
5. Sedikit garam dimasukkan oleh kakak ke dalam gulai yang sangat saya gemari.

LATIHAN SPM 5
1. Guru-guru diarahkan oleh pengetua memantau aktiviti pelajar pada waktu petang.
2. Beg besar itu saya angkat masuk ke bilik hotel dengan segera.
3. Kursus itu mesti anda hadiri untuk meningkatkan kemahiran anda.
4. Buku itu ditemui oleh Ali di dalam beg pakaian.
5. Perbuatan mencuri perlu anda elakkan kerana perbuatan itu berdosa.

LATIHAN SPM 6
1. Sistem pemerintahan demokrasi diamalkan oleh kebanyakan negara hari ini.
2. Beberapa langkah digariskan oleh pasukan petugas Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan bagi Pembangunan Struktur Informasi untuk membangunkan komputer peribadi buatan Malaysia sepenuhnya.
3. Seekor rusa jantan telah berjaya ditangkap oleh ayah sewaktu memburu di hutan.
4. Buah rambutan di belakang rumah telah dipetik oleh Adlin untuk diberikan kepada Siva.
5. Halaman rumah kami terpaksa disapu setiap hari oleh adik kerana banyak daun yang gugur. Atau Halaman rumah kami terpaksa disapu oleh adik setiap hari kerana banyak daun yang gugur.

LATIHAN SPM 7
1. Pelajar telah diingatkan oleh Menteri Pelajaran agar tidak bergantung pada kerajaan untuk menyediakan segala kemudahan.
2. Kadar baru tol ditentang oleh semua orang kerana membebankan orang ramai.
3. Bayaran balik pinjaman tidak akan dituntut oleh Jabatan Perkhidmataaan Awam daripada pelajar yang cemerlang.
4. Eksperimen itu telah awak jalankan dengan baik.
5. Pahlawan itu dianugerahi oleh baginda bintang kehormat dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

LATIHAN SPM 8
1. Pelajar itu ditahan oleh guru disiplin selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.
2. Nilai-nilai murni perlu diterapkan oleh ibu bapa kepada anak sejak kecil lagi.
3. Pelajar itu dihadiahi oleh guru Bahasa Melayu sebatang pen setelah berjaya memperoleh A dalam peperiksaan percubaan SPM.
4. Pendulik kanak-kanak itu telah ditangkap oleh polis pada pagi tadi.
5. Undang-undang negara mestilah kamu patuhi agar hidup kita aman.

LATIHAN SPM 9
1. Bas dinaiki oleh mereka ke sekolah.
2. Aktiviti pembalakan haram itu telah berjaya dibanteras oleh pihak berkuasa.
3. Beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan untuk membantu pengusaha industri kecil itu.
4. Sikap Karim dan Derus ditegur oleh ketua kampung yang suka menghabiskan masa di warung. Atau Sikap Karim dan Derus yang suka menghabiskan masa di warung ditegur oleh ketua kampung.
5. Keputusan untuk membina tapak pelupusan sampah dipertikaikan oleh penduduk setempat.

LATIHAN SPM 10
1. Bola itu ditendang oleh Ahmad ke pintu gol.
2. Buku cerita kanak-kanak itu dibaca oleh Hanis di kantin.
3. Gambar itu saya lukis kelmarin setelah diminta oleh Farah.
4. Tugasan yang diberi perlu kamu siapkan pada hari ini juga.
5. Panglima Garang perlu tuan hamba temui segera.

Kredit kepada: http://cikgurazak.blogspot.com