Tuesday, 3 March 2015

PERIBAHASA DALAM PENDIDIKAN



Kepentingan Menghayati Peribahasa

Dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran(P&P) subjek bahasa Melayu khasnya di sekolah, peribahasa mempunyai kedudukan yang sama penting dalam aspek lain. Hal ini kerana peribahasa berupaya untuk berkembang dan relevan dengan bahasa tersebut secara keseluruhannya. Pembelajaran dan penghayatan peribahasa bertujuan meningkatkan keupayaan berbahasa dalam kalangan murid. Kemahiran berbahasa ini pula akan diteliti dalam konteks kebolehan murid menggunakan peribahasa dalam aktiviti seharian dan penulisan. Hasil penulisan tentunya akan menjadi lebih indah dan bermutu sekiranya dimuatkan dengan peribahasa yang tepat dan sesuai.


Contoh Peribahasa Melayu
 Sehubungan itu, murid perlu diajar  mengenai ciri dan penggunaan peribahasa secara mudah dan tepat. Namun begitu, murid tidak seharusnya digalakkan menghafal sesuatu peribahasa  sebaliknya mereka harus diransang agar menggunakan peribahasa dalam pelbagai situasi. Bagi mencapai tujuan ini, beberapa halangan perlu dihadapi semasa proses P&P berlangsung. Antaranya ialah kesukaran murid untuk mengingat sesuatu peribahasa ekoran sifat yang mempunyai pelbagai makna. Selain jumlah dan jenisnya yang banyak, sifat peribahasa yang hanya sesuai untuk keadaan tertentu menyebabkan minat dan kecenderungan untuk mempelajarinya menurun.
           
Selain itu, pengajaran berpusatkan guru turut menyebabkan pengajaran peribahasa tidak begitu berkesan. Guru memberikan penjelasan mengenai maksud peribahasa, manakala murid akan berusaha menghafal peribahasa yang diberikan dan tidak menghayatinya sehingga mereka menganggap peribahasa adalah sesuatu yang sukar untuk dipelajari. Sebagai jalan penyelesaian, adalah dicadangkan agar pengajaran peribahasa di dalam bilik darjah menggunakan pendekatan konstektual , iaitu guru bertindak sebagai fasilitator. Menerusi pendekatan ini, pengamatan perlu dilakukan mengenai hubungan antara perkara yang dibandingkan, diikuti dengan menyimpul makna yang simbolik dan terakhir membuat penilaian terhadap ketepatan peribahasa berdasarkan konteks dan situasinya. Dengan cara ini, murid diajar menghayati peribahasa berdasarkan konteks dan situasi.
           
Penggunaan peribahasa dalam karangan bertujuan untuk memperindah bahasa dan untuk menimbulkan daya tarikan atau kesan-kesan lain. Karangan dan pertuturan akan lebih menarik jika peribahasa adalah unsur gaya dalam pertuturan dan penulisan. Untuk menggunakan peribahasa dengan baik, seseorang hendaklah betul-betul memahami peribahasa itu dan mengetahui tempat dan ketikanya peribahasa itu diperlukan.

Memandangkan peri pentingnya peribahasa  sebagai salah satu bayangan falsafah dan pemikiran bangsa, peribahasa  turut diajarkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid-murid semenjak di sekolah rendah lagi. Pelajar juga digalakkan menggunakan peribahasa yang dianggap ungkapan menarik dalam penulisan karangan.  Bagi pelajar-pelajar di tingkatan 4 dan 5, penguasaan peribahasa yang luas dapat membantu melonjakkan nilai bahasa itu sendiri. Justeru, para pelajar dinasihatkan agar sentiasa menggunakan peribahasa bagi setiap situasi yang difikirkan perlu.

Berikut disenaraikan peribahasa yang terkandung di dalam Buku Teks Tingkatan 4 dan 5.

Senarai Peribahasa dalam Buku Teks Tingkatan 4:

TEMA : KEMASYARAKATAN
1. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat
2. Tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan atau orang harapan
3. Duduk sama rendah berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang yang sama darjatnya dalam adat
4. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : Segala yang dikehendaki sudah diperoleh

TEMA : KEKELUARGAAN
1. Darah Daging
Maksud : Anak atau saudara-nara daripada keturunan sendiri
2. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Maksud : Mendidik anak biarlah semasa mereka kecil lagi

TEMA : KEMANUSIAAN
1. Meninggi diri
Maksud : sombong
2. Bermuka dua
Maksud : Tidak jujur
3. Baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang
4. Murah hati
Maksud : Pemurah
5. Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu mengikut kemahuan orang lain

TEMA : KEGIGIHAN
1. Bara yang digenggam perlu jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang suikar hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaan

TEMA : EMOSI
1. Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Hati yang sangat pedih
2. Tangan kosong
Maksud : Hampa

TEMA : MENGHARGAI WARISAN BANGSA
1. Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas
Maksud : Adat atau sesuatu yang tidak berubah tetapi tetap utuh.

TEMA : TOLONG-MENOLONG
1. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.
Maksud : Mengalami susah senang bersama-sama.

TEMA : PENDIDIKAN
1. Terang hati
Maksud : Lekas pandai

Senarai Peribahasa dalam Buku Teks Tingkatan 5:

TEMA : KEMASYARAKATAN
1. Anak dagang
Maksud : Orang yang berhijrah ke tempat lain
2. Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walaubagaimana kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.
3. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut menanggung kesusahan, janganlah melakukan kerja yang susah.
4. Indah khabar dari rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan
5. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.
6. Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : Orang kuat berpegang pada adat
7. Tuan rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara
8. Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.
9. Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan.
Maksud : Orang lelaki yang merisik bakal isterinya. (Dalam Adat Pepatih)
10. Batu Penghalang
Maksud : Rintangan atau halangan
11. Di mana bumi dipijak di situ langit di junjung
Maksud : Kita seharusnya mengikut adat dan peraturan di tempat kita tinggal.

TEMA : KEMANUSIAAN
1. Lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan terlalu tinggi.
2. Kacang lupakan kulit
Maksud : Lupa akan asal usul
3. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.
Maksud : Kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang
menerima akibatnya.
4. Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperolehi maksud kedua, tetapi yang sudah
di tangan hilang pula.

TEMA : TOLONG MENOLONG
1. Bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara satu sama lain.
2. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : Mengalami susah dan senang bersama-sama
3. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Sama-sama bersusah dan bersenang

TEMA : KEGIGIHAN
1. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Maksud : Jika kita mendapat sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh, sudah
pasti kita tidak akan mendapat hasilnya.
2. Berakit-rakit dahulu berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Maksud : Bersusah payah terlebih dahuluuntuk mendapatkan kesenangan pada kemudian
hari.
3. Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Mendapat keuntungan daripada berbagai-bagai punca.
4. Mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara
5. Genggam bara api biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaan.

TEMA : PEMBANGUNAN
1. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Maksud : Pengagihan yang sama banyak
2. Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa

TEMA : NASIHAT
1. Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Beringat-ingat sebelum mendapat kesusahan

TEMA : EMOSI
1. Berbesar hati
Maksud : Gembira

TEMA : PENDIDIKAN
1. Memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersunguh-sungguh

Rujukan

2 comments: