Thursday 2 April 2015

SINTAKSIS : CAKAP AJUK DAN CAKAP PINDAH



Tajuk : Menukarkan Cakap Ajuk atau Dialog kepada Cakap Pindah

Kaedah Menukarkan Cakap Ajuk atau Dialog kepada Cakap Pindah

Menurut pendapat Mohd Azam Bin Ahmad (Guru Cemerlang Bahasa Melayu) mengatakan bahawa “selalunya murid didapati berusaha menukarkan cakap ajuk atau dialog kepada cakap pindah secara wewenang atau "trial and error". Mereka tidak mempunyai suatu kaedah yang kukuh untuk menukarkan cakap ajuk atau dialog kepada cakap pindah. Oleh hal demikian, murid berasa sukar untuk melakukan usaha tersebut. Sehubungan dengan ini, saya ingin mengemukakan satu kaedah yang telah saya bentangkan untuk kali pertama di Kursus Profesionalisme Guru-Guru Bahasa Melayu Negeri Melaka di GoldCoast, Klang pada tahun 2007 lalu”.

Perhatikan cakap ajuk di bawah :

"Kamu makanlah segera. Kamu jangan lupa basuh pinggan," pesan ibu kepada Aini.

Untuk menukarkan cakap ajuk atau dialog di atas kepada cakap pindah, murid hendaklah berpegang pada tiga elemen komunikasi, iaitu :
a. Kenali Topik Perbincangan
b. Kenali Persona
c. Kenali Konteks Komunikasi

Berdasarkan tiga elemen dalam komunikasi itu, murid akan mendapati:

a. Kenali Topik Perbincangan :
     makanlah segera.
     jangan lupa basuh pinggan.

b. Kenali persona :
     Ibu
     Aini

c. Kenali Konteks :
     pesan

Berdasarkan unsur dalam elemen komunikasi itu, murid boleh membina ayat sendiri dalam ragam cakap pindah. Misalnya,

i. Ibu berpesan kepada Aini supaya makanlah segera tetapi jangan lupa membasuh pinggan.
ii.Ibu memberikan pesanan kepada Aini supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.
iii. Ibu berpesan supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.

Berdasarkan tiga ayat di atas, semua unsur dalam elemen komunikasi dalam cakap ajuk atau dialog itu tidak tertinggal dalam proses menukarkannya kepada cakap pindah. Oleh hal demikian, wacana dalam cakap ajuk atau dialog itu tetap terpelihara dalam cakap pindah.

Kaedah ini juga membolehkan murid menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk atau dialog. Apabila murid mengenali unsur dalam elemen komunikasi tersebut, murid hanya perlu menggunakan unsur tersebut dalam membina cakap ajuk atau dialog sendiri. Proses membina cakap ajuk atau dialog ini adalah lebih mudah.

Cakap Ajuk dikenali juga sebagai dialog

Latihan Intensif:

Tukarkan ayat cakap ajuk di bawah ini kepada ayat cakap pindah.

  1. “Semasa berjoging petang tadi saya terserempak dengan seorang gelandangan yang sedang tidur di tengah jalan,” kata Yusri kepada Salleh. 
  2. Kata Normah kepada Sarah, ”Jangan makan makanan yang banyak lemak nanti awak akan mendapat sakit.” 
  3. “Saya tidak dapat sampai tepat pada masanya kerana jalan raya ditenggelami air, “kata Erra. 
  4. Kata Azan, “Pokok kelapa di belakang rumah Aliff tumbang dan menimpa rumahnya.” 
  5. “Saya berjanji tidak akan buat jahat lagi,” kata Muiz. “Saya akan mematuhi semua peraturan projek ini, “sambungnya lagi. 
  6. “Ular! Ular!” Mak Minah menjerit. “Ada ular dekat pasu bunga besar itu,”katanya lagi. 
  7. Kata Julia, “Kami akan bertolak ke Kuala Lumpur sebentar lagi.” 
  8. “Kalau tak tahu jangan buat,” kata Cikgu Siti. “Biar orang yang tahu saja yang membuatnya,”sambungnya lagi. 
  9. Kata Erik, “Rumah yang cantik memang menjadi idaman semua orang.” 
  10. “Jangan lupa membeli tepung apabila awak ke kedai nanti,” kata emak Rosyam. “Emak hendak buat karipap,” sambungnya lagi. 
  11. Kata Farid, “Banjir teruk di Filipina mengakibatkan lima belas orang mati lemas.” 
  12. Kata Perdana Menteri, “Semua kemudahan yang disediakan adalah untuk kegunaan semua orang.

 Jawab latihan dahulu kemudian barulah rujuk jawaban anda.....



Jawapan:

  1. Yusri memberitahu Salleh bahawa ketika dia sedang berjoging, dia terserempak dengan seorang gelandangan yang sedang tidur di tengah jalan. 
  2. Normah menasihati Sarah supaya jangan makan makanan yang mengandungi banyak lemak untuk mengelakkan penyakit. 
  3. Erra mengatakan bahawa dia tidak sempat sampai pada waktunya keranan jalan raya ditengelami air. 
  4. Azan memberitahu bahawa pokok kelapa di belakang rumah Alif telah tumbang dan menimpa rumahnya. 
  5. Muis memberitahu bahawa dia berjanji tidak akan berbuat jahat  dan akan mematuhi peraturan projek tersebut. 
  6. Mak Minah menjerit-jerit apabila melihat ular sambil memberitahu bahawa terdapat ular berhampiran pasu bunga yang besar itu. 
  7. Julia mengatakan bahawa dia akan bertolak ke Kuala Lumpur selepas itu. 
  8. Cikgu Siti mengatakan bahawa jangan melakukan perkara yang tidak diketahui tetapi mintalah orang yang tahu sahaja melakukannya. 
  9. Erik mengatakan bahawa rumah yang cantik menjadi idaman semua orang. 
  10. Emak Rosyam mengingatkan Rosyam supaya membeli tepung apabila dia ke kedai kerana emaknya hendak membuat kuih karipap. 
  11. Farid melaporkan bahawa banjir besar di Filipina mengakibatkan lima belas orang mati lemas. 
  12. Perdana Menteri menerangkan bahawa kemudahan yang disediakan adalah untuk kegunaan semua orang.


Rujukan:
Mohd Dahalan Mohd Ramli dan rakan-rakan, 2005, Siri Referens Bahasa Melayu SPM, Pearson Longman.

No comments:

Post a Comment