Thursday 30 April 2015

KOMSAS TINGKATAN 4 : DRAMA

Tajuk : BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Buku Komsas Tingkatan 4


SINOPSIS

Drama ini mengisahkan Aiman, seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Oleh sebab berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa hidup dalam kemewahan, Aiman beranggapan bahawa PLKN mungkin akan menggugat zon keselesaannya.

Walaupun ibu Aiman, Masnah memihak kepada Aiman agar tidak menyertai PLKN, namun ayahnya Khir Ghazali memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada Aiman untuk menyertainya. Selain Khir Ghazali, watak posmen, Nora, Sundarani, Ah Tiau, Syuhada dan Cikgu Dahari turut memberikan dorongan kepada Aiman untuk menyertai Khidmat Negara.

Akhirnya, setelah melayari laman sesawang yang memaparkan kejayaan pelajar senior yang menyertai dan menerima anugerah PLKN, hati Aiman terbuka untuk menyertai PLKN dan dia bertekad untuk membuktikan sikap berdikari dan semangat cinta akan tanah air.

TEMA

Sikap remaja yang mempunyai tanggapan negeatif tentang PLKN.
Contohnya; Aiman berusaha untuk menggelakkan diri daripada menyertai PLKN.

PERSOALAN 
  • Sikap positif golongan remaja yang berminat untuk menyertai PLKN dan memberikan sumbangan kepada negara. Contoh: Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada berasa seronok apabila mereka terpilih sebagai peserta PLKN dan nama mereka terpamp[ang di papan kenyataan sekolah.
  • Kesibukan dalam kalangan ahli keluarga yang merenggangkan hubungan kekeluargaan. Contoh:  Aiman sentiasa berasa kesunyian kerana ayahnya sibuk bekerja manakala ibunya Datin Masnah sibuk dengan urusan di luar dan kakaknya Dapnia sibuk dengan tugasnnya di universiti.
  • Sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak. Contoh: Datin Masnah menyokong hasrat Aiman yang ingin mengecualikan diri daripada menyertai PLKN. Sebagai seorang ibu dan juga isteri kepada seseorang yang terpengaruh, beliau sepatutnya mendorong dan memberi motivasi kepada anaknya untuk berkhidmat kepada negara.
  • Peranan seorang guru dalam memberikan kesedaran dan mewujudkan semangat patriotrisme dalam kalangan pelajar. Contoh: Cikgu Dahari memberikan penerangan yang jelas kepada murid-muridnya agar mereka faham akan objektif dan pelaksanaan PLKN.


WATAK DAN PERWATAKAN

Watak utama

Aiman

  • Seorang remaja berusia kira-kira 16 tahun
  • Berasal daripada keluarga yang berada
  • Seorang yang agresif. Contoh: bersifat kasar terhadap pembantu rumah yang melayannya dengan baik dan mesra
  • Seorang yang pemalas. Contoh: segala kerjanya di rumah dibantu oleh orang gaji dan apabila berdepan dengan sesuatu masalah , dia akan tidur.
  • Seorang yang mengagungkan nilai-nilai barat. Contoh: ketika bermimpi tentang PLKN, Aiman meluahkan keinginannya untuk menikmati masakan Barat. Dia juga tahu lokasi Jempol dengan alasan selalu bercuti di luar negara.


Watak sampingan

Khir Ghazali 
  • Ayah kepada Aiman
  • Seorang yang bertanggungjawab. Contoh: walaupun sibuk bekerja beliau mengambil berat terhadap Aiman. Apabila Aiman berdepan dengan masalah beliau mendengarnya dengan sabar dan cuba menyelesaikannya.
  • Seorang yang tegas. Contoh: Apabila Aiman meminta Khir Ghazali membantunya mendapatkan pengecualian daripada PLKN, beliau bertegas untuk tidak membantunya. Hal ini adalah kerana beliau tahu bahawa PLKN akan banyak memanfaatkan Aiman.
  • Seorang yang sensitif. Contoh: apabila isterinya bertegang leher dengannya ubntuk tidak menghantar Aiman ke PLKN, beliau berasa tersinggung lalu beredar meninggalkan tempat perbincangan mereka.


Masnah 
  • Ibu kepada Aiman
  • Berpangkat datin.
  • Seorang yang suka berfikiran negatif. Contoh: Beranggapan bahawa PLKN membahayakan nyawa anaknya dan turut menyokong hasrat anaknya untuk menghadiri PLKN.
  • Seorang yang sanggup menyalahgunakan pengaruh untuk kepentingan sendiri. Contoh: Datin Masnah meminta suaminya menggunakan kedududkan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian untuk anaknya daripada menghadiri PLKN.


Cikgu Dahari
 
  • Seorang guru
  • Terlibat dengan PLKN dalam penghasilan modul program Penghayaran Sastera dan budaya.
  • Seorang yang berfikiran positif. Contoh apabila Aiman menyatakan bahawa keselamatan peserta di dalam kem latihan tidak terjamin dan sastera dan budaya tidak penting dalam kehidupan zaman moden, Cikgu Dahari menafikan pendapat tersebut dengan menerangkan bahawa keselamatan peserta sentiasa terjamin. Beliau juga menerangkan peranan sastera dan budaya dalam kalangan masyarakat.
  • Seorang yang sentiasa memberi galakan kepada anak murid. Contoh: Apabila Nora memberitahu bahawa ramai pelajar terpilih sebagai peserta PLKN, Cikgu Dahari berasa teruja dan menyatakan bahawa Malaysia bertuah kerana mendapat remaja mereka yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara.


Posmen 
  • Seorang yang berfikiran positif. Contoh: Apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat Jabatan Latihan Khidmat Negara, posmen telah memberi nasihat kepada Aiman agar fikir tentang kemahiran dan pengalaman yang bakal diperoleh oleh Aiman melalui PLKN.
  • Seorang yang amanah. Contoh: selepas memberi kata-kata perangsang kepada Aiman tentang kebaikan PLKN. Posmen meminta diri untuk meneruskan tugasnya menghantar surat kerana dia menganggap surat-surat tersebut adalah amanah yang diberikan kepadanya.


PLOT

Permulaan
Aiman menerima sepucuk surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara. Posmen yang menyampaikannya cuba member penenrangan kepada Aiman tentang manfaat PLKN apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat tersebut. Aiman berkelakuan biadap terhadap pembantu rumahnya, Nek Sinah yang melayannya seperti anak sendiri. Nek Sinah tersinggung dan kesal akan sikap Aiman dan layanan keluarganya yang mementingkan wang ringgit sahaja

Perkembangan
Perbualan antara Aiman dan rakan-rakannya di sekolah tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan sekolah. Cikgu Dahari memberi penerangan yang jelas tentang PLKN kepada anak-anak muridnya. Beliau menjelaskan setiap pertanyaan murid dengan memberikan jawapan yang positrif agar mereka berasa seronok untuk menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara

Perumitan
Konflik antara ahli keluarga berlaku apabila Aiman dan Datin Masnah menyuruh Khir Ghazali menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian agar Aiman tidak menyertai PLKN. Khir Ghazali berasa marah dan kesal dengamn sikap isteri dan anaknya yang mempunyai tanggapan dan negative tentang PLKN

Peleraian
Aiman melayari internet di biliknya dan ketika melayari beberapa sesawang, dia terbaca berita mengenai kejayaan pelajar-pelajar seniornya di PLKN. Syufia yang dikenali sebagai kera sumbang di sekolah berjaya memperoleh anugerah pelatih terbaik WIRAWATI untuk Kem Gerakkas di Desaru Johor. Manakala Ziman yang kuat makan dan tidur juga berjaya menyertai PLKN. Aiman sedar akan PLKN dan bertekad untuk menyertainya.

TEKNIK PLOT
  • Monolog Dalaman.  Aiman : Patutkah aku simpan surat ini atau aku buang saja? Hmm, kalau aku buang, nanti ada orang lain jumpa pula. Hah, baik aku bakar!. Tak ada kesannya nanti. Baik aku simpan dulu, cukup masa kalau aku tak berminat, baru aku bakar.
  • Pemerian.  Pada permula cerita pengarang menggambarkan keadaan keluarga Aiman yang hidup mewah dan kemewahan tersebut yang telah mengubah dirinya menjadi seorang remaja yang manja dan malas.
  • Imbas Muka. Aiman bermimpi menyertai PLKN. Dalam program tersebut Aiman mendapati keadaan kem yang panas, makanan yang tidak menyelerakan, mandi air kolam sejuk dan membotakkan kepala. Hanya perkara yang negatif yang terlintas dalam fikirannya ketika bermimpi.

LATAR
  • Latar masa.
  • Alaf baru (Program PLKN – bermula tahun 2004).
  • Waktu tengah hari. Contoh: Nek Sinah menjemput Aiman menikmati makan tengah hari.
  • Waktu pagi. Contoh: Aiman berdialog bersama-sama rakan-rakan di sekolah tentang PLKN yang bakal dihadiri mereka.
  • Waktu petang. Contoh: Selepas balik dari sekolah Aiman berbual bersama-sama dengan ayah dan ibunya di rumah.


Latar tempat
  • Rumah Aiman. Contoh: Peristiwa Aiman menerima surat daripada Jabatan latihan Khidmat Negara.
  • Sekolah Menengah. Contoh: dialog antara Aiman, Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan..

Latar masyarakat
  • Masyarakat bandar yang sibuk bekerja . contoh: Khir Ghazali iaitu ayah Aiman digambarkan sebagai hartawan yang sibuk bekerja. Ibunya, Datin Masnah juga selalu tidak berada di rumah manakala kakaknya, Dapnia sibuk dengan tugasan di universiti.
  • Masyarakat yang penyayang. Contoh: Walaupun Nek Sinah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Khir Ghazali namun dia amat menyayangi Aiman dan memasak makanan kegemarannya serta melayannya seperti cucu sendiri.
  • Masyarakat yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab. Contoh: Posmen dalam drama ini mengedarkan surat kepada penerima dengan penuh tanggungjawab kerana dia berpendapat bahawa surat itu adalah amanah masyarakat terhadapnya.
  • Masyarakat yang sombong dan mementingkan kekayaan. Contoh: Aiman berkelakuan biadap terhadap pembantu rumahnya yang sentiasa bersikap lemah lembut. Nek Sinah berasa kesal dengan tingkah laku Aiman dan ahli keluarganya yang hanya mementingkan wang ringgit.
  • Masyarakat yang berfikiran positif. Contoh: Walaupun Khir Johari mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk membantu Aiman mengecualikan diri daripada menyertai PLKN, namun Khir Ghazali mahu anaknya menyertai program tersebut kerana beliau tahu bahawa anaknya akan memperoleh banyak manfaat daripada PLKN. Selain itu, Cikgu Dahari menerangkan tentang kebaikan PLKN kepada pelajar-pelajarnya agar dapat mengikiskan tanggapan negative mereka terhadap program tersebut dan memberikan sumbangan mereka kepada negara.


GAYA BAHASA 
  • Sinkope. Contoh: kata singkatan ‘tak’ dalam ayat. Saya tak berminat langsung (m.s 3)
  • Inversi. Contoh: amanah orang semua surat ini (m.s 4).
  • Peribahasa. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. (m.s 7).
  • Bahasa asing. Contoh: penggunaan perkataan bahasa Inggeris daddy, mummy (m.s 14).
  • Simile. Contoh: perkataan ‘macam’ dalam ayat, Nak angan-angan macam Mat Jenin


NILAI
  • Nilai amanah. Contoh: Posmen amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya menghantar surat.
  • Nilai kasih sayang. Contoh: Nek Sinah melayan Aiman seperti cucunya sendiri dan masak makanan kegemarannya.
  • Nilai bertanggungjawab. Contoh: walaupun sibuk bekerja, Khir Ghazali meluangkan masa mendengar masalah Aiman.
  • Nilai cinta akan tanah air. Contoh: apabila Aiman menyatakan bahawa dia tidak tahu di mana terletaknya Jempol kerana selalu bercuti di luar negara, kawannya Sundarani menegurnya bahawa kita perlu menghargai tanah air kita


PENGAJARAN
  • Kita haruslah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Contoh: Aiman biadap terhadap pembantu rumahnya yang menganggapnya sebagai cucu sendiri.
  • Kita mestilah bersikap amanah dalam menjalankan tugas. Contoh: Posmen menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang posmen dengan penuh amanah.
  • Kita perlulah memberi sokongan kepada program kerajaan. Contoh: Masnah tidak memberi galakan kepada anaknya untuk menyertai PLKN malah memberitahu suaminya bahawa program tersebut mungkin membahayakan nyawa anaknya. Contoh: Cikgu Dahari memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada anak-anak muridnya agar menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara.

Wednesday 29 April 2015

Komsas Tingkatan 4 : Prosa Tradisional

Tajuk : Kepimpinan Melalui Teladan


Buku Komsas Tingkatan 4

SINOPSIS

Kisah bermula apabila Seri Betara Majapahit berbincang dengan Patih Gajah Mada untuk menewaskan Melaka setelah kematian penjurit tujuh bersaudara. Ketujuh-tujuh penjurit dibunuh oleh laksamana di Bukit Cina. Justeru, Patih Gajah Mada merancang untuk mengarahkan Kertala Sari membunuh Sultan Melaka dan laksamananya. Kertala Sari bersetuju dengan permintaan Patih Gajah kerana ingin membalas dendam atas kematian ayahnya yang dibunuh oleh laksamana Melaka.
  
Patih Gajah membawa Kertala Sari mengadap Seri Betara dan menerangkan bahawa Kertala Sari merupakan penjurit yang sangat handal. Kehebatan Kertala Sari mengalahkan negeri Daha seorang diri menyebabkan Seri Betara menitahkan Kertala Sari segera ke Melaka untuk membunuh Sultan Melaka dan laksamana Melaka dan menjanjikan jawatan penggawa agung kepadanya.

Ketika berada di Melaka Kertala Sari menyamar sebagai pengikut Patih Kerma Wijaya. Di Melaka, Kertala Sari mencuri harta saudagar-saudagar dan orang-orang kaya serta mencabuli isteri-isteri mereka. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada Sultan Melaka dan menitahkan agar Temenggung serta orangnya menjaga keselamatan dan mengawal keadaan negeri Melaka dari kejadian kecurian. Namun kecurian masih tetap berlaku sehingga melibatkan rumah Bendahara. Hal ini kerana Kertala Sari menggunakan ilmu kesaktian untuk menggelakkan diri daripada ditangkap. Melihat pada keadaan tersebut laksamana menawarkan diri kepada Sultan untuk mengawal istana kerana mengikut firasatnya penjurit akan masuk ke istana pula.

Dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta ilmu yang dimiliki oleh laksamana berjaya mengagalkan rancangan Kertala Sari untuk mencuri harta raja, membakar dan mengamuk serta mengambil isteri-isteri sultan. Kertala Sari berjaya dibunuh oleh laksamana di tengah pasar, manakala kemaluan Kertala Sari dipotong sebagai bukti laksamana membunuhnya. Mayat Kertala Sari telah dikerat-kerat anggota badanya oleh penduduk yang menjumpai mayat tersebut untuk dibuktikan kepada sultan bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari. Namun laksamana telah menunjukkan bukti yang lebih kukuh kepada sultan bahawa beliaulah yang telah berjaya membunuh Kertala Sari. Baginda sultan telah memberi anugerah kepada laksamana atas kejayaan membunuh Kertala Sari

Segala hasil curian yang telah disimpan oleh Kertala Sari di Bukit Cina berjaya ditemui dan Sultan telah mengarahkan semua empunya barang untuk menuntut barang-barang tersebut. Baginda sultan telah meminta supaya empunya barang-barang tersebut memberikan dua pertiga bahagian dari barang-barang tersebut kepada laksamana. Namun laksamana hanya bersetuju untuk mengambil satu bahagian sahaja dan barang-barang tersebut kesemuanya telah diagihkan oleh laksamana kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun dari harta tersebut. Akhirnya berita kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh laksamana telah sampai ke pengetahuan Patih Gajah Mada di Majapahit. Patih Gajah Mada tidak putus asa terus mencari orang yang dapat membunuh Sultan dan Laksamana Melaka.

TEMA

Kepahlawanan seorang laksamana mempertahankan negara.
Keberanian dan kegagahanan Laksamana mempertahankan negeri Melaka dari ancaman penjurit tujuh bersaudara serta Kertala Sari dari Majapahit yang membuat hura hara.

PERSOALAN
  • Persoalan keberanian dalam menegakkan keadilan.
  • Persoalan pemimpin mestilah seorang yang bijaksana.
  • Persoalan pemimpin yang mengambil berat kesusahan rakyat.
  • Persoalan penggunaan ilmu kesaktian dalam kehidupan seseorang.
  • Persoalan perasaan dendam membawa akibat buruk.


WATAK DAN PERWATAKAN   

Laksamana
  • Seorang yang berani
  • Seorang yang pemurah
  • Seorang yang bijaksana
  • Cinta akan keamanan negara
  • Taat setia kepada pemerintah
  • Pandai dalam ilmu kesaktian
  • Memiliki sifat kepahlawanan

Kertala Sari
  • Anak kepada Petala Bumi
  • Berasal dari Majapahit
  • Seorang pencuri yang handal
  • Seorang yang tamak dan angkuh
  • Seorang pendendam
  • Pandai dalam ilmu kesaktian
  • Suka membuat huru hara
  • Taat kepada pemerintah

Sultan Melaka
  • Seorang yang prihatin
  • Seorang pemimpin yang adil
  • Seorang yang mengenang budi

Patih Gajah Mada
  • Berasal dari Majapahit
  • Seorang pendendam

  
LATAR

Latar Masa 
  • Malam : Contoh: Kertala Sari masuk mencuri ke rumah saudagar dan orang-orang kaya pada sebelah malam.
  • Siang. Contoh: Bendahara melaporkan kepada Sultan bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri dan habis segala harta-hartanya.


Latar Tempat 
  • Negeri Melaka. Contoh: Kartala Sari membuat huru hara dengan mencuri harta sudagar dan orang-orang kaya di Melaka.
  • Majapahit. Contoh: Patih Gajah Mada dan Seri Bentara merancang untuk membalas dendam atas kematian penjurit tujuh bersaudara di Bukit Cina.
  • Di tengah pasar. Contoh : Tempat Kertala Sari mati dibunuh oleh Laksamana.

Latar Masyarakat 
  • Masyarakat feudal. Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
  • Masyarakat yang bertanggungjawab. Contoh: Laksamana menawarkan diri untuk menangkap penjurit yang menyebabkan masalah kecurian di negeri Melaka.
  • Masyarakat yang mengenang budi. Contoh : Saudagar dan orang-orang kaya yang kehilangan hartanya akibat dicuri oleh Kertala Sari telah memberikan sebahagian harta mereka kepada Laksamana dengan ikhlas serta harta mereka ditemui.
  • Masyarakat yang taat pada pemerintah. Contoh : Ketaatan Laksamana terhadap Sultan dan negerinya.


GAYA BAHASA 
  • Bahasa istana. Contoh: sultan, patik, tuanku,
  • Bahasa pinjaman bahasa Jawa. Contoh: manira,kula,pakanira
  • Kata ganda. Contoh: kaya-kaya, sekuasa-kuasa, menampar-nampar,tikam-menikam,radak-meradak


NILAI
  • Nilai keberanian. Contoh:Laksamana berani untuk menentang dan membunuh Kertala Sari.
  • Nilai tolong-menolong. Contoh: Laksamana menawarkan diri untuk mengawal keselamatan negeri Melaka.
  • Nilai kebijaksanaan. Contoh: Laksamana menggunakan tipu helah untuk mengalahkan Kertala Sari degan berpura-pura tidur di tengah-tengah pasar pada waktu malam.
  • Nilai pemurah. Contoh: Laksamana membahagi-bahagikan harta yang dihadiahkan oleh saudagar dan orang-orang kaya kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun harta itu.

PENGAJARAN
  • Kita hendaklah berani menghadapi musuh supaya keselamatan negara akan terjamin.
  • Kita hendaklah rasional membuat keputusan agar tidak menyesal pada masa akan datang.
  • Janganlah kita mempunyai perasaan dendam supaya hidup kita sentiasa bahagia. 
  • Kita hendalah mengamalkan sikap pemurah agar kehidupan kata sentiasa dirahmati tuhan

Friday 24 April 2015

Komsas Tingkatan 4 : Cerpen

Tajuk : Munsyi  (Husna Nazri)


Buku KOMSAS Tingkatan 4

Sinopsis
            Cerpen ini mengisahkan hasrat ‘saya’, seorang anak muda, untuk berhijrah ke kota dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar.  Pada bondanya, ‘saya’ masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya.  Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.  Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum.  Oleh itu, bonda menasihatkan ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.  Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik, bonda memiliki banyak buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.  Buku-buku tersebut selalu ‘saya’ baca. Menurut bonda, asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu dan kesetiaan pada pemerintah yang adil.
            Setelah ‘saya’ berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.  Namun bonda berpesan agar menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.  Bonda juga mengirimkan sejumlah buku untuk kawan lamanya yang bernama Munsyi melalui ‘saya’.  Apabila tiba di bandar, ‘saya’ menyerahkan buku-buku tersebut pada kawannya itu yang pada pengamatan ‘saya, Munsyi’ merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.  Dia tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan tradisi di pinggir bandar.  Di bandar, ‘saya’ melihat kaum mudanya telah hilang identiti dan jati diri.  Akibat sibuk bekerja, ‘saya’ tidak bertemu Munsyi.  Suatu hari, ‘saya’ mendapat khabar bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel.  Apabila ‘saya’ mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  ‘Saya’ sedih melihat buku-buku lama yang telah ‘saya’ bawa, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.

Za'ba antara tokoh pejuang bahasa Melayu
Tema
Semangat cinta akan bahasa, agama, bangsa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warga negara. 
Contohnya, ibu kerap menasihati ‘saya’ agar memelihara dan cinta akan agama, budaya dan bahasa agar dihormati oleh orang.

Persoalan
Keinginan anak muda berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan
Contohnya, ‘saya’ memohon keizinan ibunya untuk berhijrah ke bandar bagi membina kehidupannya seperti kebanyakan remaja yang lain.

Peranan penjajah dalam usaha memecahbelahkan rakyat sesebuah negara.
Contohnya,  pihak penjajah telah menjalankan sistem pecah dan perintah agar agihan kekayaan negara tidak berlaku secara adil hingga menimbulkan
rusuhan kaum akibat rasa tidak puas hati rakyat.

Kegigihan anak muda mempelajari segala ilmu untuk meneruskan kehidupannya.
Contohnya, ‘Saya’ tekun belajar pelbagai ilmu yang berkaitan dengan kehidupan sebelum berhijrah ke bandar.
Ketaatan seorang anak terhadap nasihat ibunya.
‘Saya’ mentaati nasihat ibunya yang tidak membenarkannya berhijrah ke bandar kerana pada pendapat ibunya ‘saya’ masih belum cukup kuat jati diri untuk tinggal di bandar.

Kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya.
Contohnya, ibu keberatan untuk melepaskan ‘saya’ ke bandar kerana bimbang ‘saya’ terpengaruh akan budaya negatif yang terdapat pada remaja di bandar.

Plot

Permulaan
Cerpen dimulakan dengan kisah ‘saya’ tidak diizinkan oleh bondanya berhijrah ke kota kerana bimbang anaknya itu akan hanyut oleh arus hedonism dan modenisme yang melanda anak-anak muda di kota.

Perkembangan
Bonda pernah bercerita pada ‘saya tentang system pemerintahan penjajah yang memecah-belahkan perpaduan rakyat negara ini.
Setelah Negara merdeka, perpecahan tersebut mencetuskan huru-hara kepada negara ini.
Ibu menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa , bangsa dan Negara ini.  ‘Saya’ juga membaca membaca pelbagai buku simpanan bonda untuk memantapkan jati diri dan bahasa ‘saya’
Setelah bonda yakin dengan kemantapan diri ‘saya’ baharulah ‘saya’ dibenarkan berhijrah ke kota untuk membaiki taraf hidup saya.  ‘Saya ‘ dikirimkan buku-buku lama untuk disampaikan kepada sahabat lama bonda iaitu Munsyi.
Di Bandar ,’saya’ dapati anak-anak muda telah hanyut oleh keseronokan hidup dan melupakan nilai-nilai murni dan batas kehidupan.
‘Saya’ mendengar berita kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi akan didirikan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.

Klimaks
Aku sampai di perkampungan tradisi itu dan mendapati jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  Buku-buku pemberian bonda juga turut musnah dalam peristiwa itu tetapi Munsyi tidak ada di situ.

Peleraian
Berhari-hari aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.

Teknik Penceritaan
Dialog
“Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya.”

Imbas kembali
Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam empat dekad lampau.
Imbas muka.
Di kota nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi.

Pemerian.
Salam saya akhirnya dijawab oleh seorang lelaki di usia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka yang putih bersih.  Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan melayu.  Di jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik. 

Kejutan.
Saya mendengar khabar bahawa syarikat perumahan akan mengambil alih kampung tradiri yang didiami oleh Munsyi dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.

Saspens.
Aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.

Watak dan Perwatakan

Watak utama:
 ‘Saya’

  •  Seorang yang taat 
  • ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar. 
  • Seorang yang amanah: ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang sepatutnya diserahkan kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar. 
  • Seorang yang gemar membaca : ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya. 
  • Seorang yang tidak mudah putus asa : ‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.


Watak sampingan:

Bonda ‘saya’

  • Seorang yang berpengetahuan luas. 
  • Bonda bercerita kepada ‘saya’ tentang sejarah pahit tanah air. 
  • Seorang yang bersifat patriotik. 
  • Bonda menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa ibunda dan negara. 
  • Seorang yang amat memahami 
  • Bonda mengizinkan ‘saya’ berhijrah apabila didapati anaknya itu sudah mantap ilmu dan jati dirinya.

 Munsyi

  • Kawan lama bonda. 
  • Seorang yang cinta akan budaya Melayu 
  • Munsyi berpakaian tradisi Melayu yang lengkap dengan keris ketika menyambut kedatangan ‘saya’. 
  • Seorang yang mengalu-alukan tetamu : Munsyi tersenyum dan menjemput ‘saya’ masuk ke rumahnya.

Latar
Latar masa

  • Zaman pemerintahan penjajah 
  • Penjajah telah memerintah negara menggunakan system pecah dan perintah. 
  • Zaman selepas merdeka : Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas dijajah.

Latar tempat

  • Di kampung 
  • Pada mulanya, bonda tidak membenarkan ‘saya’ meninggalkan kampung untuk berhijrah ke kota 
  • Di kota    ‘Saya’ berhijrah ke kota untuk membina kehidupan yang lebih sempurna. 
  • Di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota : Munsyi tinggal di sebuah rumah yang terletak di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota.

Latar masyarakat

  • Masyarakat kampung. : ‘Saya’ dan bonda tinggal di kampung. 
  • Masyarakat remaja yang tinggal di bandar : ‘Saya’ dapati masyarakat remaja yang tinggal di bandar kebanyakannya telah hanyut oleh keseronokan hidup. 
  • Masyarakat yang mengamalkan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan: Penduduk kampung tradisi mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap pencerobohan tanah milik mereka oleh pihak berkuasa. 
  • Masyarakat yang cekal dan berani: Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.

Gaya bahasa

  • Kata ganda :Zaman- berzaman 
  • Metafora : Pagar-pagar perkauman, pohon kebenaran, racun perkauman 
  • Peribahasa : Bahasa jiwa bangsa
  • Simile :Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu. 
  • Hiperbola : Namun kerana hasad dengki, khianat, kronisme serta rasuah yang bermaharajalela, kegemilangan yang dibina musnah sekelip mata.
Nilai
  1. Patriotik :Bonda menasihati ‘saya’ agar sentiasa memelihara bahasa ibunda dan agama. 
  2. Ketaatan : ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar. 
  3. Kegigihan : Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal. 
  4. Amanah : ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu menyerahkan buku-buku kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.
 Pengajaran.
  1. Kita hendaklah taat pada perintah dan larangan ayah dan ibu. Contohnya: ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar 
  2. Kita hendaklah gigih apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Contohnya : Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal. 
  3. Kita hendaklah rajin membaca untuk meningkatkan pengetahuan. Contohnya : ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya. 
  4. Kita tidak boleh mudah putus asa apabila menemui kegagalan. Contohnya: ‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.

Thursday 23 April 2015

Komsas Tingkatan 4 : Cerpen

Tajuk : Kaduk, Ayam dan Raja (Zurinah Hassan)


Buku KOMSAS Tingkatan 4

Sinopsis
            Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk iaitu Hakim yang berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil oleh Raja.  Hakim yang merupakan lulusan universiti telah meminta bantuan sahabatnya iaitu Azam seorang lulusan bidang undang-undang untuk memfailkan kes tuntutan tanah seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan Azam, beliau telah berjaya menyakinkan mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam Kunani kepada raja tanpa kerelaannya hatinya.  Hal ini  menyebabkan kemenangan berpihak kepada Hakim. Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara pertanian kontrak dengan syarikat besar yang menubuhkan cawangan di Malaysia dengan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau singkatannya RAJA. Hakim menternak ayam bagi menyahut seruan kerajaan yang banyak memberi insentif kepada penternak.  Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank melebihi dua ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya beberapa kali dan  hasil bantuan seorang Yang Berhormat telah menyebabkan bank meluluskan pinjaman tersebut untuk membina sebuah reban ayam tertutup yang dilengkapi sistem penyaman udara serta peralatan memberi makanan secara semi automatik. Setelah kelulusan bank diperoleh, satu perjanjian kontrak di meterai antara Hakim dan syarikat RAJA, maka projek penternakan ayam pun bermula.
            Konflik mula timbul setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam.  Sahabat karibnya Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan terus berjumpa dengan Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya sepanjang dia menjadi penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung terhadap lorinya yang telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk. Selain itu, hakim menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang dengan menunjukkan penyata hasil  jualan ayam dari rebannya yang bernilai lapan puluh lima ribu ringgit. Namun begitu hanya tiga belas ribu ringgit sahaja yang diterimanya kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat RAJA.  Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa digunakan untuk membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang bank dan sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan kontrak yang dianggapnya situasi menang menang tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya  telah dieksploitasi oleh Syarikat RAJA melalui harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga hutangnya meningkat. Hakim menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti nasib datuk yang tertipu oleh orang yang memiliki kuasa.

 
Kerjaya sebagai Penternak Ayam

Tema
Tema cerpen ini ialah kesungguhan seorang anak muda menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ternakan ayam walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Persoalan
  • Persoalan keberanian menuntut hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam. 
  • Persoalan memahami selok belok bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya. 
  • Persoalan ketaatan terhadap pemerintah. Sebagai contoh Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam. 
  • Persoalan penindasan golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lemah. Sebagai contoh, syarikat RAJA mengambil kesempatan dengan menentukan harga dedak dan ubat ayam ternakan sehingga menyebabkan Hakim menanggung beban hutang.


Plot
Permulaan

  • Pembaca diperkenalkan dengan watak Kaduk yang dianggap bodoh kerana bertukar ayam dengan raja.  Akhirnya Kaduk, isteri dan anaknya hidup menumpang di atas tanah yang sebenarnya miliknya sendiri.

Perkembangan

  • Hassan menamakan anaknya Hakim yang bererti  bijaksana yang berbeza nama-nama orang lain yang primitif dan jelik seperti Si Bulat, Si Labi dan sebagainya. 
  • Hakim seorang yang pandai dan melanjutkan pelajaran  ke universiti.  Hakim semakin sedar akan ketidakadilan dan penganiayaan yang telah berlaku dalam kehidupan datuknya.  Hakim mendapatkan bantuan Azam, sahabatnya untuk menyelasaikan kemelut keluarganya itu.  Usaha Hakim berjaya. 
  • Hakim berhasrat mengusahakan projek penternakan ayam di atas tanah milik datuknya itu walaupun memakan belanja yang besar melebihi dua ratus ribu ringgit.  Untuk melialisasikan hasratnya itu, Hakim memohon pinjaman bank. Masalah yang timbul ialah  pihak bank pula memerlukan cagaran dan dia tidak ada harta yang lain untuk dicagarkan. Mujurlah seorang Yang Berhormat campur tangan dan pinjaman hakim diluluskan. 
  • Hakim memeterai perjanjian dengan Syarikat RAJA untuk membekalkan makanan dan ubat ayam dan projek pun bermula. 
  • Orang kampung merungut bahawa jalan kampung mereka rosak disebabkan lori-lori yang membawa ayam melalui jalan.  Hakim berusaha meminta bantuan pihak yang berkenaan untuk membaiki masalah ini tetapi jawapan mereka ialah tiada peruntukan.

Klimaks

  • Setelah setahun, Hakim bercerita kepada Azam yang baharu pulang dari luar negara bahawa dia berasa kecewa terhadap projek penternakan ayamnya kerana walaupun mendapat pulangan yang besar tetapi hakikatnya keuntungan yang diperolehnya amat kecil. Dia berasa dirinya telah dieksploitasi oleh syarikat RAJA yang membekalkan makanan dan ubat ayam kepadanya.  Harga makanan dan ubat ayam Syarikat RAJA amat mahal.


Peleraian

  • Hakim menganggap dirinya mengalami nasib yang malang sama seperti datuknya  yang terpaksa akur pada golongan yang berkuasa.


Teknik Plot

Pemerian
Pengarang menggambarkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Hakim untuk membina reban ayam tertutup. Sebagai contoh dia memulakan segala kerja, menebang pokok dan meratakan tanah, berlori-lori tanah telah diangkat untuk menambak kawasan yang memang rendah dan berair itu.

Dialog
“Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam

Imbas muka
Hakim pernah berseloroh, “Kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, aku nak dirikan sebuah memorial.”

Imbas kembali
“Kau ingat kan , tanah inilah yang kita tuntut di mahkamah dengan susah payah.”

Kejutan
Nilai jualan dari rebanku ialah lapan puluh lima ribu ringgit. Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu sahaja yang masuk ke kantungku.Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan.Dari tiga belas ribu itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil elektrik dan bil air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama:
Hakim

  • Anak kepada Hassan dan cucu kepada Kaduk. 
  • Seorang yang berani memperjuangkan hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam. 
  • Seorang yang gigih menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya. 
  • Seorang yang tabah menghadapi masalah. Sebagai contoh Hakim tabah mengharungi cabaran akibat kegagalannya dalam bidang keusahawanan. 
  • Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh Hakim berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Watak Sampingan: 
Azam.

  • Sahabat baik Hakim semasa di universiti. 
  • Seorang yang suka membantu orang lain.  Sebagai contoh Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya dalam kes tuntutan tanah milik datuknya. 
  • Seorang yang rajin menuntut ilmu.  Sebagai contoh walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam bidang undang-undang namun dia sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar negara untuk menambah pengetahuannya. 
  • Seorang yang prihatin. Sebagai contoh Azam sanggup mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh Hakim dalam usaha penternakan ayamnya kerana dia prihatin terhadap sahabatnya itu.
Kaduk.
  • Datuk kepada Hakim dan ayah kepada Hassan. 
  • Seorang yang suka bersabung ayam. Sebagai contoh Kaduk bersabung ayam dengan raja. 
  • Seorang yang mentaati raja. Sebagai contoh Kaduk sanggup menyerahkan ayam Kunani apabila diminta oleh raja.
Raja
  • Seorang yang suka bersabung ayam.  Sebagai contoh raja bersabung ayam dengan Kaduk. 
  • Seorang yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.  Sebagai contoh raja telah menukarkan ayamnya dengan ayam kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.

Latar
Latar masa
  • Zaman lampau. Sebagai contoh Kaduk pernah bersabung ayam dengan ayam raja. 
  • Zaman selepas merdeka. Sebagai contoh Hakim didedahkan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap projek penternakan ayam secara kontrak dengan syarikat RAJA. 
  • Dalam masa setahun.  Sebagai contoh Hakim mengalami kerugian dalam masa setahun dia menjalankan perternakan ayamnya.
Latar tempat.
  • Mahkamah. Sebagai contoh kes tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah. 
  • Tanah Kaduk. Sebagai contoh Hakim menjalankan projek ternakan ayamnya di tanah Kaduk. 
  • Kampung. Sebagai contoh penduduk kampung mendakwa lori-lori Hakim telah merosakkan jalan kampung mereka. 
  • Universiti. Sebagai contoh Hakim dan Azam melanjutkan pelajaran di universiti  yang sama.
Latar masyarakat
  • Masyarakat yang mementingkan bidang keusahawanan. Sebagai contoh para menteri menyeru rakyat menceburi bidang keusahawan melalui pertanian yang mengeluarkan lebih banyak makanan. 
  • Masyarakat yang sensitif terhadap keadaan sekeliling. Sebagai contoh penduduk kampung merungut apabila mendapati jalan di kampung mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim. 
  • Masyarakat yang bekerja untuk mencari rezeki. Sebagai contoh Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk bekerja di projek penternakan ayamnya. 
  • Masyarakat yang mengamalkan sistem feudal. Sebagai contoh wujud dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan rakyat semasa hayat Kaduk.

Gaya Bahasa
  • Sinkope. Sebagai contoh: kau, ku 
  • Pengulangan kata. Sebagai contohnya: Kami sama-sama membela ayam dan kami sama-sama menggadai tanah. Kami sama-sama berada di bawah cengkaman orang berkuasa. 
  • Kata ganda. Sebagai contonya: bangunan-bangunan, sama-sama dan tanah –tanah. 
  • Bahasa Arab. Sebagai contoh: Assalamualaikum, Alhamdulillah 
  • Bahasa Inggeris. Sebagai contoh Global Chiken 
  • Simile. Sebagai contoh : Bank akan merampas tanahku tak ubah seperti raja merampas tanah datukku dahulu. 
  • Personifikasi. Sebagai contoh; Setiap musim syarikat payung akan mengatur lori-lori untuk mengangkut ayam-ayam yang sudah besar.
Nilai
  1. Nilai keadilan. Sebagai contoh hakim menuntut keadilan di mahkamah bagi pihak datuknya yang telah ditipu. 
  2. Nilai keberanian. Sebagai contoh hakim berani menceburi bidang keusahawan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. 
  3. Nilai kegigihan.Sebagai contoh Hakim gigih menjadi penternak ayam walaupun dirinya terpaksa menanggung hutang yang banyak. 
  4. Nilai keprihatian. Sebagai contoh Azam sangat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh hakim dengan memberi semangat kepadanya untuk terus berjaya menjadi penternak moden sebelum dia berangkat ke luar negara untuk berkursus. 
  5. Nilai tolong-menolong. Sebagai contoh Azam sanggup menjadi peguam Hakim untuk menolongnya mendapatkan hak tanah seluas empat ekar  milik datuk hakim.
Pengajaran
  1. Kita hendaklah menuntut hak kita yang dirampas oleh orang lain.  Sebagai contoh Hakim menuntut hak milik tanah datuknya yang diambil raja di mahkamah. 
  2. Kita hendaklah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh Hakim gigih berusaha untuk mendapatkan kelulusan bank bagi menjayakan projek penternakan ayam walaupun terpaksa meminda kertas projeknya beberapa kali sebelum bank meluluskan permohonannya dengan bantuan Yang Berhormat. 
  3. Kita hendaklah berani menceburi bidang perniagaan. Sebagai contoh hakim berani mengusahakan tanah peninggalan datuknya dengan menjalankan penternakan ayam untuk dijual. 
  4. Kita hendaklah menolong  golongan yang memerlukan bantuan. Sebagai contoh Azam membantu sahabatnya dengan menjadi peguam bagi mendapatkan hak milik tanah datuk Hakim. 
  5. Kita janganlah mengambil kesempatan terhadap golongan yang lemah.  Sebagai contoh Syarikat RAJA mengenakan bayaran yang tinggi terhadap makanan dan ubat ayam yang dibeli oleh Hakim untuk mengaut keuntungan yang lebih.

Sumber :
http://www.bmspm.my/v1/index.php/my/nota-antologi-tingkatan-4-2015-2020/cerpen-ayam-kaduk-dan-raja