Sunday, 29 March 2015

SINTAKSIS : AYAT AKTIF DAN AYAT PASIF



Tajuk : Menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif

LATIHAN SPM 1
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Puan Azizah telah memarahi Azmi kerana memecahkan pasu bunga.
2. Ibu bapa harus mengawasi tingkah laku anak-anak supaya mereka tidak tersalah langkah.
3. Puan Sarah menghadiahi Atiqah sebuah kereta Kancil setelah lulus dalam ujian memandu.
4. Ayah saya menyambut kedatangan birasnya yang baru tiba dari Sabah.
5. Dia mendayung sampan itu dengan laju dengan harapan untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

LATIHAN SPM 2
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Saya membeli rumah mewah di atas bukit itu dengan duit titik peluh saya sendiri.
2. Ibu Anita membuat kuih bahulu yang sedap itu sempena hari lahir Kalsom.
3. Mereka menyusun kerusi-kerusi itu di padang sebelum acara sukan bermula.
4. Semua pelajar sudah membaca buku cerita yang terdapat di perpustakaan.
5. Saya selalu memasang lampu di hadapan rumah sebelum tidur.

LATIHAN SPM 3
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Kamu perlu membereskan kerja yang diberikan oleh guru sebelum pulang nanti.
2. Ali telah mengambil buku itu semalam.
3. Saya sudah menyelesaikan tugasan itu semalam.
4. Ayah memarahi Kamal kerana pulang jauh malam.
5. Kakak mencuci pakaian kotor di bilik air.

LATIHAN SPM 4
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Saya telah mengirimi adik wang saku untuk keperluannya belajar di luar negara.
2. Ayah menghadiahi emak seutas rantai emas sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
3. Anda patut menyelesaikan tugas itu sekarang juga.
4. Beliau menyandang jawatan yang sangat penting dalam organisasi tersebut.
5. Kakak memasukkan sedikit garam ke dalam gulai yang sangat saya gemari.

LATIHAN SPM 5
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Pengetua mengarahkan guru-guru memantau aktiviti pelajar pada waktu petang.
2. Saya mengangkat beg besar itu masuk ke bilik hotel dengan segera.
3. Anda mesti menghadiri kursus itu untuk meningkatkan kemahiran anda.
4. Ali menemui buku itu di dalam beg pakaian.
5. Anda perlu mengelakkan perbuatan mencuri kerana perbuatan itu berdosa.

LATIHAN SPM 6
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Kebanyakan negara hari ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi.
2. Pasukan petugas Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan bagi Pembangunan Struktur Informasi menggariskan beberapa langkah untuk membangunkan komputer peribadi buatan Malaysia sepenuhnya.
3. Ayah telah berjaya menangkap seekor rusa jantan sewaktu memburu di hutan.
4. Adlin telah memetik buah rambutan di belakang rumah untuk diberi kepada Siva.
5. Adik terpaksa menyapu halaman rumah kami setiap hari kerana banyak daun yang gugur.

LATIHAN SPM 7
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Menteri Pelajaran telah mengingatkan pelajar agar tidak bergantung pada kerajaan untuk menyediakan segala kemudahan.
2. Semua orang menentang kadar baru tol kerana membebankan orang ramai.
3. Jabatan Perkhidmatan Awam tidak akan menuntut bayaran balik pinjaman daripada pelajar yang cemerlang.
4. Awak telah menjalankan eksperimen itu dengan baik.
5. Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormat dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

LATIHAN SPM 8
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Guru disiplin menahan pelajar itu selepas pehimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.
2. Ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni kepada anak sejak kecil lagi.
3. Guru Bahasa Melayu menghadiahi pelajar itu sebatang pen setelah berjaya memperoleh A dalam peperiksaan percubaan SPM.
4. Polis telah menangkap penculik kanak-kanak itu pada pagi tadi.
5. Kamu mestilah mematuhi undang-undang negara agar hidup kita aman.

LATIHAN SPM 9
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Mereka ke sekolah dengan menaiki bas.
2. Pihak berkuasa telah berjaya membanteras aktiviti pembalakan haram itu.
3. Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membantu pengusaha industri kecil itu.
4. Ketua kampung menegur sikap Karim dan Derus yang suka menghabiskan masa di warung.
5. Penduduk setempat mempertikaikan keputusan untuk membina tapak pelupusan sampah.

LATIHAN SPM 10
Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Ahmad menendang bola itu ke pintu gol.
2. Hanis membaca buku cerita kanak-kanak itu di kantin.
3. Saya melukis gambar itu kelmarin setelah diminta oleh Farah.
4. Kamu perlu menyiapkan tugasan yang diberi pada hari ini juga.
5. Tuan hamba perlu menemui Panglima Garang segera.


Jawapan

LATIHAN SPM 1
1. Azmi telah dimarahi oleh Puan Azizah kerana memecahkan pasu bunga.
2. Tingkah laku anak-anak harus diawasi oleh ibu bapa supaya mereka tidak tersalah langkah.
3. Setelah lulus dalam ujian memandu, Atiqah dihadiahi oleh Puan Sarah sebuah kereta Kancil. Atau Atiqah dihadiahi oleh Puan Sarah sebuah kereta Kancil setelah lulus dalam ujian memandu.
4. Kedatangan biras ayah saya yang baru tiba dari Sabah disambut oleh ayah.
5. Sampan itu didayung olehnya dengan laju dengan harapan untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

LATIHAN SPM 2
1. Rumah mewah di atas bukit itu saya beli dengan duit titik peluh saya sendiri.
2. Kuih bahulu yang sedap itu dibuat oleh ibu Anita sempena hari hari lahir Kalsom.
3. Kerusi-kerusi di padang itu disusun oleh mereka sebelum acara sukan bermula. Atau Kerusi-kerusi itu disusun oleh mereka di padang sebelum acara sukan bermula.
4. Buku cerita yang terdapat di perpustakaan sudah dibaca oleh semua pelajar.
5. Lampu di hadapan rumah selalu saya pasang sebelum tidur.

LATIHAN SPM 3
1. Kerja yang diberikan oleh guru perlu kamu bereskan sebelum pulang nanti.
2. Buku itu telah diambil oleh Ali semalam.
3. Tugasan itu sudah saya selesaikan semalam.
4. Kamal dimarahi oleh ayah kerana pulang jauh malam.
5. Pakaian kotor dicuci oleh kakak di bilik air.

LATIHAN SPM 4
1. Wang saku adik telah saya kirim untuk keperluannya belajar di luar negara. Atau Adik telah saya kirimi wang saku untuk keperluannya belajar di luar negara.
2. Emak dihadiahi oleh ayah seutas rantai emas sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
3. Tugas itu patut anda selesaikan sekarang juga.
4. Jawatan yang sangat penting dalam organisasi tersebut disandang oleh beliau. Atau Jawatan yang sangat penting disandang oleh beliau dalam organisasi tersebut
5. Sedikit garam dimasukkan oleh kakak ke dalam gulai yang sangat saya gemari.

LATIHAN SPM 5
1. Guru-guru diarahkan oleh pengetua memantau aktiviti pelajar pada waktu petang.
2. Beg besar itu saya angkat masuk ke bilik hotel dengan segera.
3. Kursus itu mesti anda hadiri untuk meningkatkan kemahiran anda.
4. Buku itu ditemui oleh Ali di dalam beg pakaian.
5. Perbuatan mencuri perlu anda elakkan kerana perbuatan itu berdosa.

LATIHAN SPM 6
1. Sistem pemerintahan demokrasi diamalkan oleh kebanyakan negara hari ini.
2. Beberapa langkah digariskan oleh pasukan petugas Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan bagi Pembangunan Struktur Informasi untuk membangunkan komputer peribadi buatan Malaysia sepenuhnya.
3. Seekor rusa jantan telah berjaya ditangkap oleh ayah sewaktu memburu di hutan.
4. Buah rambutan di belakang rumah telah dipetik oleh Adlin untuk diberikan kepada Siva.
5. Halaman rumah kami terpaksa disapu setiap hari oleh adik kerana banyak daun yang gugur. Atau Halaman rumah kami terpaksa disapu oleh adik setiap hari kerana banyak daun yang gugur.

LATIHAN SPM 7
1. Pelajar telah diingatkan oleh Menteri Pelajaran agar tidak bergantung pada kerajaan untuk menyediakan segala kemudahan.
2. Kadar baru tol ditentang oleh semua orang kerana membebankan orang ramai.
3. Bayaran balik pinjaman tidak akan dituntut oleh Jabatan Perkhidmataaan Awam daripada pelajar yang cemerlang.
4. Eksperimen itu telah awak jalankan dengan baik.
5. Pahlawan itu dianugerahi oleh baginda bintang kehormat dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

LATIHAN SPM 8
1. Pelajar itu ditahan oleh guru disiplin selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.
2. Nilai-nilai murni perlu diterapkan oleh ibu bapa kepada anak sejak kecil lagi.
3. Pelajar itu dihadiahi oleh guru Bahasa Melayu sebatang pen setelah berjaya memperoleh A dalam peperiksaan percubaan SPM.
4. Pendulik kanak-kanak itu telah ditangkap oleh polis pada pagi tadi.
5. Undang-undang negara mestilah kamu patuhi agar hidup kita aman.

LATIHAN SPM 9
1. Bas dinaiki oleh mereka ke sekolah.
2. Aktiviti pembalakan haram itu telah berjaya dibanteras oleh pihak berkuasa.
3. Beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan untuk membantu pengusaha industri kecil itu.
4. Sikap Karim dan Derus ditegur oleh ketua kampung yang suka menghabiskan masa di warung. Atau Sikap Karim dan Derus yang suka menghabiskan masa di warung ditegur oleh ketua kampung.
5. Keputusan untuk membina tapak pelupusan sampah dipertikaikan oleh penduduk setempat.

LATIHAN SPM 10
1. Bola itu ditendang oleh Ahmad ke pintu gol.
2. Buku cerita kanak-kanak itu dibaca oleh Hanis di kantin.
3. Gambar itu saya lukis kelmarin setelah diminta oleh Farah.
4. Tugasan yang diberi perlu kamu siapkan pada hari ini juga.
5. Panglima Garang perlu tuan hamba temui segera.

Kredit kepada: http://cikgurazak.blogspot.com

Saturday, 28 March 2015

SINTAKSIS: AYAT TUNGGAL DAN AYAT MAJMUK



TAJUK : AYAT TUNGGAL DAN AYAT MAJMUK

Sambungkan ayat-ayat tunggal di bawah ini supaya menjadi ayat majmuk.

  1. Kami suka akan rumah yang kecil. Kami suka akan rumah yang selesa. 
  2. Kanak-kanak itu menjerit. Kanak-kanak itu lari. 
  3. Dia bernyanyi. Dia menari dengan rancaknya. 
  4. Budak itu sedang berlari. Budak itu adik saya. 
  5. Nenek sedang memasak nasi. Dia baru sahaja datang dari kampung. 
  6. Guru itu baru berpindah ke sini. Dia mengajarkan Matematik kepada pelajar Tingkatan Lima. 
  7. Buku itu tebal. Buku itu buku revisi Bahasa Melayu SPM. 
  8. Kebun kelapa itu luas. Kebun kelapa itu terletak di sepanjang jalan raya itu. 
  9. Penduduk kampung itu sedar. Kampung mereka akan mengalami banjir kilat. 
  10. Keluarga itu berpindah ke dewan orang ramai. Keluarga itu ingin mengelakkan diri mereka daripada bencana banjir. 
  11. Pihak polis menyatakan sesuatu. Orang ramai perlu melaporkan diri kepada balai polis yang berhampiran ketika hendak pulang ke kampung. 
  12. Perkara itu amatlah mudah. Dia lulus ujian. 
  13. Hamzah melakukannya. Perkara itu amat mustahil. 
  14. Dia merayau-rayau ke sana ke sini. Dia tidak mempunyai tujuan. 
  15. Dia mengambil kesempatan atas kelemahan orang itu. Dia menangguk di air keruh. 
  16. Nasihat ibu kepada abang sia-sia sahaja. Ibu mencurahkan air ke daun keladi. 
  17. Kanak-kanak digalakkan minum susu. Susu menguatkan gigi. 
  18. Kita mengatasi masalah keracunan makanan. Kebersihan gerai perlu dititikberatkan


ANDA DIGALAKKAN MENJAWAB KESEMUA SOALAN DI ATAS KEMUDIAN BARULAH SEMAK JAWAPAN ANDA.


JAWAPAN:

  1. Kami suka akan rumah yang kecil tetapi selesa. 
  2. Kanak-kanak itu menjerit lalu lari. 
  3. Dia bernyanyi sambil dengan rancaknya. 
  4. Budak yang berlari adik saya. 
  5. Nenek yang sedang memasak nasi baru sahaja datang dari kampung. 
  6. Guru yang baru berpindah ke sini mengajarkan Matematik kepada pelajar Tingkatan Lima. 
  7. Buku yang tebal itu ialah buku revisi Bahasa Melayu SPM. 
  8. Kebun kelapa yang  luas itu terletak di sepanjang jalan raya itu. 
  9. Penduduk kampung itu sedar bahawa kampung mereka akan mengalami banjir kilat. 
  10. Keluarga itu berpindah ke dewan orang ramai untuk mengelakkan diri mereka daripada bencana banjir. 
  11.  Pihak polis menyatakan bahawa orang ramai perlu melaporkan diri kepada balai polis yang berhampiran ketika hendak pulang ke kampung. 
  12. Untuk dia lulus ujian itu amatlah mudah. 
  13. Untuk Hamzah melakukannya amat mustahil. 
  14. Dia merayau-rayau ke sana ke sini seolah-olah tidak mempunyai tujuan. 
  15. Dia mengambil kesempatan atas kelemahan orang itu bagaikan  menangguk di air keruh. 
  16. Nasihat ibu kepada abang sia-sia sahaja seperti mencurahkan air ke daun keladi. 
  17. Kanak-kanak digalakkan minum susu untuk menguatkan gigi. 
  18. Bagi mengatasi masalah keracunan makanan, kebersihan gerai perlu dititikberatkan.




Buku Rujukan Tatabahasa Melayu




Wednesday, 25 March 2015

KARANGAN : PANDUAN MENULIS PENDAHULUAN




Pendahuluan perlu ditulis mengikut jenis karangan. Pendahuluan haruslah menarik dan boleh menggambarkan kandungan keseluruhan karangan. Ada beberapa jenis menulis pendahuluan karangan yang mampu menajadikan karangan anda menarik dan bermutu. Antara jenis-jenis pendahuluan karangan yang boleh dicuba dan dipraktikkan oleh pelajar adalah seperti berikut:

Pendahuluan jenis peribahasa
Pendahuluan jenis suasana
Pendahuluan jenis definisi
Pendahuluan jenis sejarah
Pendahuluan jenis persoalan
Pendahuluan jenis pendapat
Pendahuluan jenis puisi

Contoh Soalan

Tsunami yang pernah melanda persisiran pantai Asia pada 26 Disember 2004 merupakan detik hitam yang paling diingati oleh masyarakat dunia. (Aceh paling teruk merasai kesannya)

Pendahuluan jenis peribahasa

        “Malang tidak berbau”, itulah kata bidalan yang paling tepat untuk mengungkapkan kejadian ombak besar tsunami yang melanda persisiran pantai berdekatan dengan Lautan Hindi.  Tiada sesiapa menjangka bahawa gegaran yang dirasai di negeri-negeri pantai Barat negara membawa bersama-sama ombak setinggi sepuluh meter yang lajunya antara 700 hingga 800 kilometer sejam.  Kelajuan ombak ini mencecah kelajuan kereta Formula Satu sehingga menjadikan Banda Aceh seperti padang jarak padang tekukur. Aceh yang berdekatan dengan pusat gegaran di Lautan Hindi itu menerima kesan yang lebih parah ibarat dilanggar geroda telah mengejutkan manusia sedunia yang fana ini.

Pendahuluan jenis suasana

          Mayat-mayat bergelimpangan. Bau busuk di merata-rata tempat.  Sisa-sisa bangunan bersepahan dan anak-anak kecil berwajah sayu merupakan antara fenomena terbaru yang melanda utara Aceh.  Suasana itu amat berbeza sekali berbanding dengan keadaan sebelum tsunami melanda. Banda Aceh yang sebelum ini rancak dengan aktiviti harian, tetapi kini Banda Aceh seperti sudah berkubur dengan lumpur yang hitam pekat. Kehadiran tentera-tentera luar Indonesia bukan sesuatu yang pelik di Aceh tatkala ini.  Bantuan trus datang mencurah-curah untuk Aceh, tanda keprihatinan masyarakat dunia terhadap kesengsaraan Aceh.

Pendahuluan jenis definisi

          Baru-baru ini dunia digemparkan dengan kejadian ombak tsunami yang melanda kebanyakan negara Asia.  Tsunami berasal daripada bahasa Jepun yang membawa erti ombak pelabuhan.  Nama ini diberi rentetan ombak besar yang sering melanda pelabuhan Jepun akibat gempa di dasar bumi.  Gempa itu berlaku rentetan pergerakan plat tektonik bumi sehingga menghasilkan ombak besar di kawasan persisiran pantai. Kedatangan tsunami membawa bersama-sama seribu kekalutan, manakala pemergiannya meninggalkan seribu kesayuan dan kepedihan buat mereka yang dilanda ujian itu.

Pendahuluan jenis sejarah

          Tanggal 26 Disember 2004, satu tragedi baru telah tercatat dalam sejarah dunia dan kotak memori kebanyakan manusia.  Tsunami melanda Asia kembali pada abad kini setelah bumi digegarkan dengan ombak ini pada tahun 1946.  Kedatangan tiga ombak besar yang dipanggil ombak tiga beradik tersebut telah membawa pelbagai impak kepada kebanyakan negara dunia.

Pendahuluan jenis persoalan

          Apakah itu tsunami yang telah kita dengar sejak kebelakangan ini?  Bagaimanakah tsunami terjadi? Adakah tsunami membawa ombak dahsyat itu akan berulang kembali?  Inilah antara persoalan yang melanda kotak fikiran kebanyakan penduduk di negara kita yang nyata masih jahil dalam mengenali dan mendalami fenomena tsunami itu sendiri sekali gus jauh ketinggalan daripada penduduk Barat dan Asia Timur.

Pendahuluan jenis pendapat

          Tsunami yang melanda perairan pantai kebanyakan negara Asia baru-baru ini dikatakan bencana yang paling buruk pernah melanda kawasan-kawasan tertentu tidak lama dahulu.  Aceh merupakan kawasan yang paling teruk terjejas akibat dilanda tsunami.  Rata-rata masyarakat duni berpendapat bahawa bencana alam yang melanda Aceh baru-baru ini adalah untuk melenyapkan sebahagian besar penduduk yang menderita di sana selama ini.  Seluruh kerajaan duni turut menyatakan bahawa Aceh memerlukan beberapa dekad untuk pulih dan membangun daripada kelukaan lama, yang juga diakui oleh pemimpin Indonesia sendiri.

Pendahuluan jenis puisi

                                      Tikar pandan tikar mengkuang,
                                           Alas nikah raja Melayu;
                                      Tsunami menggunung insan terbuang,
                                           Nyawa dilambung terkujur layu.

Pantun ini menerangkan kepada kita betapa kerdilnya manusia di sisi Tuhan.  Nyawa manusia pula dijelaskan sebagai begitu rapuh.  Dalam sekelip mata sahaja, beratus ribu manusia terkorban akibat dihempas badai.

Pendahuluan jenis gabungan

          Tsunami telah menggegarkan penduduk persisiran pantai Asia.  Tanggal 26 Disember 2004 merupakan detik hitam yang paling diingati oleh masyarakat dunia lantaran kesedihan dan raungan yang melanda negara-negara terbabit termasuklah Indonesia, Malaysia, Thailand, Sri Langka, dan India.  Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Secara keseluruhannya, Indonesia merupakan negara yang paling teruk terjejas akibat dilanda bencana alam tsunami.  Rata-rata ramai yang berpendapat bahawa kedatangan tsunami adalah untuk menghilangkan penderitaan kebanyakan penduduk tersebut, lebih-lebih lagi penduduk Aceh di Indonesia.

SEMOGA BERMANFAAT...