Pendahuluan perlu ditulis mengikut jenis karangan. Pendahuluan haruslah menarik dan boleh menggambarkan kandungan keseluruhan karangan. Ada beberapa jenis menulis pendahuluan karangan yang mampu menajadikan karangan anda menarik dan bermutu. Antara jenis-jenis pendahuluan karangan yang boleh dicuba dan dipraktikkan oleh pelajar adalah seperti berikut:
Pendahuluan jenis
peribahasa
Pendahuluan jenis
suasana
Pendahuluan jenis
definisi
Pendahuluan jenis
sejarah
Pendahuluan jenis
persoalan
Pendahuluan jenis
pendapat
Pendahuluan jenis
puisi
Contoh Soalan
Tsunami yang pernah melanda persisiran pantai Asia pada
26 Disember 2004 merupakan detik hitam yang paling diingati oleh masyarakat
dunia. (Aceh paling teruk merasai kesannya)
Pendahuluan jenis peribahasa
“Malang tidak berbau”, itulah kata bidalan yang paling tepat untuk
mengungkapkan kejadian ombak besar tsunami yang melanda persisiran pantai
berdekatan dengan Lautan Hindi. Tiada
sesiapa menjangka bahawa gegaran yang dirasai di negeri-negeri pantai Barat
negara membawa bersama-sama ombak setinggi sepuluh meter yang lajunya antara
700 hingga 800 kilometer sejam. Kelajuan
ombak ini mencecah kelajuan kereta Formula Satu sehingga menjadikan Banda Aceh
seperti padang jarak padang tekukur. Aceh yang berdekatan dengan pusat gegaran
di Lautan Hindi itu menerima kesan yang lebih parah ibarat dilanggar geroda telah mengejutkan manusia sedunia yang fana
ini.
Pendahuluan jenis suasana
Mayat-mayat bergelimpangan. Bau busuk
di merata-rata tempat. Sisa-sisa
bangunan bersepahan dan anak-anak kecil berwajah sayu merupakan antara fenomena
terbaru yang melanda utara Aceh. Suasana
itu amat berbeza sekali berbanding dengan keadaan sebelum tsunami melanda.
Banda Aceh yang sebelum ini rancak dengan aktiviti harian, tetapi kini Banda
Aceh seperti sudah berkubur dengan lumpur yang hitam pekat. Kehadiran
tentera-tentera luar Indonesia bukan sesuatu yang pelik di Aceh tatkala
ini. Bantuan trus datang mencurah-curah
untuk Aceh, tanda keprihatinan masyarakat dunia terhadap kesengsaraan Aceh.
Pendahuluan jenis definisi
Baru-baru ini dunia digemparkan dengan
kejadian ombak tsunami yang melanda kebanyakan negara Asia. Tsunami berasal daripada bahasa Jepun yang
membawa erti ombak pelabuhan. Nama ini
diberi rentetan ombak besar yang sering melanda pelabuhan Jepun akibat gempa di
dasar bumi. Gempa itu berlaku rentetan
pergerakan plat tektonik bumi sehingga menghasilkan ombak besar di kawasan
persisiran pantai. Kedatangan tsunami membawa bersama-sama seribu kekalutan,
manakala pemergiannya meninggalkan seribu kesayuan dan kepedihan buat mereka
yang dilanda ujian itu.
Pendahuluan jenis sejarah
Tanggal 26 Disember 2004, satu tragedi
baru telah tercatat dalam sejarah dunia dan kotak memori kebanyakan
manusia. Tsunami melanda Asia kembali
pada abad kini setelah bumi digegarkan dengan ombak ini pada tahun 1946. Kedatangan tiga ombak besar yang dipanggil
ombak tiga beradik tersebut telah membawa pelbagai impak kepada kebanyakan
negara dunia.
Pendahuluan jenis persoalan
Apakah itu tsunami yang telah kita
dengar sejak kebelakangan ini?
Bagaimanakah tsunami terjadi? Adakah tsunami membawa ombak dahsyat itu
akan berulang kembali? Inilah antara persoalan
yang melanda kotak fikiran kebanyakan penduduk di negara kita yang nyata masih
jahil dalam mengenali dan mendalami fenomena tsunami itu sendiri sekali gus
jauh ketinggalan daripada penduduk Barat dan Asia Timur.
Pendahuluan jenis pendapat
Tsunami yang melanda perairan pantai
kebanyakan negara Asia baru-baru ini dikatakan bencana yang paling buruk pernah
melanda kawasan-kawasan tertentu tidak lama dahulu. Aceh merupakan kawasan yang paling teruk
terjejas akibat dilanda tsunami.
Rata-rata masyarakat duni berpendapat bahawa bencana alam yang melanda
Aceh baru-baru ini adalah untuk melenyapkan sebahagian besar penduduk yang
menderita di sana selama ini. Seluruh
kerajaan duni turut menyatakan bahawa Aceh memerlukan beberapa dekad untuk
pulih dan membangun daripada kelukaan lama, yang juga diakui oleh pemimpin
Indonesia sendiri.
Pendahuluan jenis puisi
Tikar
pandan tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Tsunami
menggunung insan terbuang,
Nyawa dilambung terkujur layu.
Pantun ini menerangkan
kepada kita betapa kerdilnya manusia di sisi Tuhan. Nyawa manusia pula dijelaskan sebagai begitu
rapuh. Dalam sekelip mata sahaja,
beratus ribu manusia terkorban akibat dihempas badai.
Pendahuluan jenis gabungan
Tsunami telah menggegarkan penduduk
persisiran pantai Asia. Tanggal 26
Disember 2004 merupakan detik hitam yang paling diingati oleh masyarakat dunia
lantaran kesedihan dan raungan yang melanda negara-negara terbabit termasuklah
Indonesia, Malaysia, Thailand, Sri Langka, dan India. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Secara keseluruhannya, Indonesia merupakan
negara yang paling teruk terjejas akibat dilanda bencana alam tsunami. Rata-rata ramai yang berpendapat bahawa
kedatangan tsunami adalah untuk menghilangkan penderitaan kebanyakan penduduk
tersebut, lebih-lebih lagi penduduk Aceh di Indonesia.
SEMOGA BERMANFAAT...
excelent thank you very much.....
ReplyDelete