Hutan Rimba |
Sinopsis:
Pak Tua sebagai pemandu traktor menyesali
pekerjaannya yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Harapannya agar
kawasan hutan kembali merimbun. Hasil pekerjaannya dia berjaya membesarkan
anak-anaknya dengan kerjaya masing-masing. Atas nasihat anaknya Pak Tua dapat
dipujuk agar reda dengan pekerjaannya yang banyak membantu menyara keluarga dan
pendidikan anak-anaknya. Akhirnya Pak Tua dan anak-anaknya berjaya menceburi
bidang pelancongan dengan membuat resort keluarga di hutan simpan miliknya.
Tema:
Kemusnahan alam semulajadi untuk
pembangunan. Kawasan bekas aktiviti pembalakan akhirnya telah menjadi kawasan
perladangan. Estet-estet kelapa sawit luas saujana mata memandang.
Persoalan:
- Persoalan kemusnahan flora dan fauna alam. Aktiviti pembalakan yang dilakukan telah memusnahkan kehidupan flora dan fauna.
- Persoalan kekesalan atas kemusnahan khazanah alam. Pak Tua menyesal kerana pekerjaannya sebagai pemandu jentolak dengan syarikat pembalakan menyebabkan khazanah hutan musnah.
- Persoalan kepentingan pendidikan anak-anak. Empat orang anak Pak Tua telah berjaya dalam bidang pendidikan dan kerjaya masing-masing.
- Persoalan kepentingan pembangunan dalam memajukan negara. Pembangunan dalam bidang pertanian dapat memberi sumber pendapatan kepada negara.
Plot:
Secara keseluruhan cerpen ini digarap
mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
Permulaan
Pada peringkat ini watak Pak Tua digambarkan
sedang memandu jentolak Caterpillar yang mengeluarkan asap hitam dan bunyi
bising di dalam hutan dara. Jentolak tersebut menumbangkan pokok-pokok dan
mengakibatkan binatang-binatang hilang habitat semulajadi. Kawasan hutan dara
menjadi gondol dalam sekelip mata.
Perkembangan
Pada bahagian ini watak Pak Tua dipenuhi
perasaan kesal sehingga menitiskan air mata ketika mengimbas kembali
pekerjaannya selaku pemandu jentolak 30 tahun yang lalu telah mengakibatkan
kemusnahan alam sekitar. Pak Tua berazam untuk mengembalikan kehijauan hutan
dara dan flora serta faunanya. Mak Tua pula cuba memujuk Pak Tua dengan
menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia lakukan dahulu telah membuahkan hasil
kerana keempat-empat orang anaknya telah bekerjaya. Sepanjang membesarkan
anak-anak juga dia tidak membuat sebarang pinjaman untuk anak-anaknya
melanjutkan pelajaran di universiti. Pak Tua terkenangkan zaman mudanya sewaktu
dia meninggalkan kampung halamannya untuk mencari pekerjaan. Semasa di
kampungnya dia menggunakan bom buatan sendiri untuk menangkap ikan walaupun
perbuatan tersebut memusnahkan terumbu karang. Mak Tua terus memujuk Pak Tua
agar jangan terlalu menyesali kemusnahan hutan kerana mereka bertemu jodoh dan
hidup bahagia sehingga kini kerana dia bekerja di dalam hutan.
Konflik
Peringkat ini bermula setelah Pak Tua
mewarisi tanah pusaka ibu bapa mentuanya. Pada waktu ini Pak Tua masih lagi
dengan rutinnya pada setiap malam Jumaat menghantar juadah ke masjid sambil
terus melakukan solat fardhu dan membaca surah Yasin. Tanah pusaka itu dipenuhi
buah-buahan tempatan dan buah-buah itu dipungut oleh oleh Pak Tua untuk anak
cucunya, namun begitu untuk mendapatkan buah-buahan hutan dia terpaksa meredah
hutan belantara. Digambarkan juga dusun Pak Tua didatangi pelawat yang menaiki
bas mini dan kereta kerana jalan sudah berturap. Konflik timbul apabila Ajam
mempersoalkan tindakan bapanya yang menjadikan tanah dusun itu menjadi hutan
simpan di samping ada tanah untuk tapak rumah dan dusun buah-buahan. Melati
pula mempertahankan tindakan bapanya yang sebenarnya menolong negara melaksanakan
pembangunan dan hal ini disokong oleh Budi.
Klimaks
Apabila Bakar mencari pekerja untuk menjaga
dusun dan hutan daripada pencuri kayu balak yang semakin menjadi-jadi. Melati
menyatakan rancangan mereka adik-beradik untuk menjadikan dusun dan hutan itu sebagai
kawasan pelancongan.
Peleraian
Pak Tua tidur di ruang utama dengan
dikelilingi cucu-cucunya sambil bercerita tentang kehidupan sebuah hutan rimba
yang indah dan damai. Pada ketika itu juga dia sudah bergelar haji dan berasa
lega dengan keputusannya melestarikan harta warisan alam.
Watak
dan Perwatakan:
Watak Utama
Pak Tua
- Pemandu jentolak jenama Caterpillar.
- Seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga, dan bertanggungjawab membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anaknya.
- Berjaya membesarkan anak-anak dengan pendidikan tinggi. Anaknya yang sulung Ajam berjaya dalam bidang perniagaan pengangkutan bas antarkota. Anaknya yang kedua, Bakar bekerja sebagai pengurus ladang sebuah estet kelapa sawit. Anaknya yang ketiga, Melati menjadi seorang pensyarah di sebuah IPT dan anaknya yang bongsu seorang guru yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
- Bangga dengan kejayaan anak-anak. Dia bangga kerana kesemua anaknya sudah berjaya dalam bidang akademik dan mempunyai kerja yang baik.
- Bersyukur dengan pembangunan. Pembangunan yang telah dilakukan telah menyebabkan anak-anaknya dapat menikmati kehidupan yang sempurna.
- Kesal atas pencerobohan hutan. Pak Tua kesal kerana ketika mudanya dia telah terlibat dengan aktiviti pembalakan.
Watak Sampingan:
Mak Tua - Isteri Pak Tua.
- Tinggal di tepi sungai berdekatan hutan dara.
- Pandai memasak. Menyediakan makanan yang enak untuk keluarganya.
- Pandai mendidik anak-anak. Anak-anaknya saling menyayangi dan mengormati kedua orang tua mereka.
Ajam
- Anak sulung Pak Tua.
- Seorang pengusaha pengangkutan bas antarkota.
- Mahir dalam selok-belok dunia perniagaan.
- Seorang yang gigih. Kegigihannya menyebabkan dia telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya.
- Seorang yang berfikiran terbuka. Menerima cadangan adik-adiknya yang mahu membuka kawasan pelancongan.
Bakar
- Anak Pak Tua.
- Berkelulusan Sarjana Pertanian.
- Pengurus ladang estet kelapa sawit.
Melati
- Anak ketiga Pak Tua.
- Pensyarah IPT.
Budi
- Anak bongsu Pak Tua.
- Seorang guru ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
Latar:
Latar Masa:
- 3o tahun yang lalu sepanjang usia Pak Tua membesarkan anak-anak.
- Malam jumaat. Majlis bacaan Yasin diadakan.
Latar Tempat:
- Hutan tempat diteroka oleh Pak Tua.
- Sungai tempat Mak Tua mencari ikan.
- Sungai Kinabatangan, Sabah.
Latar Masyarakat:
- Masyarakat penyayang keluarga masing-masing. Contohnya Pak Tua menyayangi semua ahli keluarga.
- Masyarakat beriman ..., Contohnya Pak Tua yang rajin bersolat di masjid.
- Masyarakat inginkan pendidikan bagi mencorakkan pendidikan baru. Contohnya anak-anak Pak Tua yang semuanya berpendidikan tinggi.
- Masyarakat yang inginkan pembangunan bagi memajukan kawasan penempatan. Contohnya Pak Tua yang tidak menghalang hasrat anak-anaknya yang ingin menjadikan kawasan dusun mereka sebagai kawasan pelancongan.
Teknik
Penulisan:
1. Pemerian :
Contohnya:
Kera dan monyet melompat bergayutan lari
meninggalkan habitatnya. Begitu juga dengan gajah, babi hutan, payau, dan
kijang. Namun ada yang tidak sempat menyelamatkan diri.
2. Dialog :
Contohnya:
"Bapa telah melestarikan harta warisan
alam." Bakar mencelah kagum.
"Hanya dengan cara inilah bapa dapat
menebus kesalahan bapa kerana pernah terlibat dalam pemusnahan hutan suatu masa
dahulu."...
3. Imbas Kembali:
Contohnya:
Pak Tua cuba meraih kembali ingatannya
sewaktu tiga puluh tahun yang lalu. Jari jemarinya terketar-ketar mengurut
kerut di dahinya yang menyimpan begitu banyak memori ...
4. Suspen:
Contohnya:
"Tapi kenapa semua kesenangan ini harus
terhasil dari sebuah kehancuran. Kehancuran hutan rimba." Akhirnya
kesesakan di dada Pak Tua ikut terluah bersama linangan air matanya. Dia
menangis kini. Dia menangis setelah menyedari bahawa tanpa sedar, dia sekali
lagi ikut terlibat dalam pemusnahan alam...
Gaya
Bahasa:
- Kata ganda. Contohnya: pohon-pohon
- Metafora. Contohnya: hutan dara, busana hijau.
- Hiperbola. Contohnya: ... jentolak yang dipandu oleh Pak Tua telah merobek dan mengoyak hasil busana hutan.
- Personifikasi. Contohnya: bunyi mengaum keras mendengung, membingitkan suasana.
- Repitisi. Contohnya: Dia menangis kini. Dia menangis setelah..
- Paradoks. Contohnya: ... kesenangan ini harus terhasil dari sebuah kehancuran.
Nilai:
- Nilai tanggungjawab. Contonya Pak Tua yang bertanggungjawab membesarkan keempat-empat orang anaknya sehingga mereka berjaya dengan kerjaya masing-masing.
- Nilai kasih sayang sesama ahli keluarga. Contohnya anak-anak Pak Tua yang saling menyayangi antara satu sama lain dan berbincang dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
- Nilai kegigihan. Contohnya Pak Tua yang gigih mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga.
- Nilai kerajinan. Contohnya Pak Tua rajin berusaha untuk meningkatkan diri dengan berhijrah meninggalkan kampung halamannya.
Pengajaran:
- Kita hendaklah menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab. Pak Tua bertanggungjawab untuk membesarkan dan memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anaknya.
- Kita hendaklah saling berkasih sayang antara adik -beradik. Contohnya anak-anak Pak Tua sama-sama berbincang sebelum mengambil keputusan untuk menjadikan dusun buah-buahan bapa mereka sebagai kawasan pelancongan.
- Kita mestilah menjadi ketua keluarga yang memiliki sifat gigih bekerja. Contohnya Pak Tua begitu gigih bekerja untuk menyara anak-anak dan isterinya.
- Kita hendaklah rajin berusaha untuk membaiki taraf hidup. Contohnya Pak Tua sangat rajin bekerja sejak zaman mudanya lagi.
No comments:
Post a Comment