CARA
MENULIS PENDAHULUAN
Ayat untuk Pendahuluan perlu ada
:
AK = AYAT
KETERANGAN
AH = AYAT
HURAIAN
AA = AYAT
ARAH
Pendahuluan boleh ditulis mengikut cita rasa pelajar
dan boleh dipelbagaikan supaya segar dan menarik. Terdapat pelbagai bentuk pendahuluan
yang boleh diaplikasikan dalam penulisan karangan seperti yang berikut:
Bentuk Pendapat / Pandangan
Tokoh
Contoh soalan:
Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin
bertambah sejak belakangan ini.
Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab
untuk menangani masalah ini?
Kita semakin kerap didedahkan dengan kejadian
jenayah yang membabitkan golongan remaja pada masa ini (AK). Demikian dinyatakan
oleh Ketua Polis Negara dalam satu sidang akhbar di ibu kota baru-baru ini (AH). Beliau berpendapat bahawa perkara
ini perlu diberikan perhatian oleh semua pihak sebelum perkara ini menjadi
lebih serius (AH). Beliau berkata
demikian ketika diminta mengulas kejadian pembunuhan kejam yang dilakukan oleh
seorang remaja terhadap seorang kanak-kanak baru-baru ini (AH). Bagi menangani masalah ini daripada berterusan, pelbagai
pihak perlu memainkan peranan aktif bagi mencegahnya sebelum perkara ini
bertambah rumit atau menjadi masalah yang sukar diselesaikan (AA).
Bentuk
Persoalan
Contoh
soalan:
Sejak beberapan tahun kebelakangan ini,
pencapaian ahli sukan negara kita seolah-olah mengundur. Pada pendapat anda,
bagaimanakah cara terbaik untuk meningkatkan mutu sukan negara kita supaya
bertaraf dunia?
Kita
tidak dapat menafikan bahawa pencapaian ahli sukan kita semakin merosot sejak
kebelakangan ini walhal negara lain telah maju selangkah di hadapan kita (AK). Mengapakah hal ini terus berlaku
walaupun pelbagai cara telah dilakukan untuk meningkatkan pencapaiannya? (AH) Di manakah silapnya, sehingga
pencapaian ahli sukan kita terus merosot? (AH)
Siapakah yang harus disalahkan dan boleh dipertanggungjawabkan dalam hal ini? (AH) Kesemua persoalan ini tidak akan
terjawab selagi prestasi ahli sukan kita terus menjunam setiap kali menyertai
pertandingan di peringkat antarabangsa (AH).
Persoalannya kini ialah apakah cara terbaik bagi meningkatkan prestasi ahli
sukan negara kita supaya bertaraf dunia? (AA)
Bentuk
Isu Semasa
Contoh
Soalan:
Ketika kemelesetan ekonomi melanda negara
kita, kerajaan menggalakkan rakyat berjimat cermat dalam perbelanjaan.
Berikan pendapat anda tentang kepentingan
berjimat cermat dalam kalangan penduduk negara ini.
Tidak lama dahulu negara kita digegarkan
dengan kemelesetan ekonomi yang turut melanda seluruh dunia akibat kejatuhan
nilai mata wang beberapa buah negara maju (AK).
Perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi negara kita walaupun negara
kita bukanlah sebuah negara maju yang menentukan aliran ekonomi dunia (AH). Keadaaan ini menuntut kerajaan
melaksanakan langkah-langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan untuk mengawal
aliran wang negara dan mengawal inflasi (AH).
Sejajar dengan langkah kerajaan itu, rakyat turut tidak terkecuali daripada
mengamalkan sekap sedemikian dalam perbelanjaan seharian (AH). Hal ini disebabkan
sikap berjimat cermat mempunyai pelbagai kepentingan kepada setiap penduduk di
negara ini seperti yang terungkap dalam pepatah “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” (AA).
Bentuk
Puisi Tradisional
Contoh
Soalan:
Gejala lari dari rumah dalam kalangan remaja
kerap diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini
berlaku?
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Pantun bukanlah sesuatu yang asing dalam
masyarakat Melayu yang menggunakannya untuk menggambarkan sesuatu peristiwa
ataupun sesuatu perkara dalam kehidupan masyarakat (AK). Pantun di atas menggambarkan seseorang sanggup
meninggalkan keluarga dan sanak saudara kerana kekasih (AH). Kejadian seumpama ini kerap berlaku dalam
kalangan remaja yang masih mentah pemikiran dan kerap bertindak tanpa
menggunakan pemikiran yang waras (AH).
Perkara ini dikenal pasti sebagai satu daripada sebab-sebab utama gejala
lari dari rumah yang berlaku dalam kalangan remaja (AH). Namun demikian, terdapat beberapa faktor lain yang
menyebabkan gejala ini berlaku (AA).
Bentuk
Berita
Contoh
Soalan:
Saban hari boleh dikatakan bahawa ada-ada
sahaja kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita walaupun pelbagai
kempen mencegahnya dilakukan oleh kerajaan.
Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini
terus berlaku?
Nahas van – lori : 5 maut”
“Sekeluarga maut dalam nahas ngeri”
“Penunggang dan pembonceng motosikal maut di
simpang tiga”
Berita-berita seumpama ini yang merupakan
suatu tragedi bukanlah sesuatu yang mengejutkan kepada kita kerana kekerapannya
tersiar di dada-dada akhbar (AK).
Hampir saban hari kita membaca berita tentang kemalangan jalan raya yang
berlaku di negara kita (AH).
Kadangkala berita ini menjadi tajuk utama akhbar tempatan terutamanya apabila
membabitkan kemalangan maut yang meragut nyawa pengguna jalan raya dalam jumlah
yang banyak (AH). Walaupun pelbagai usaha dan kempen dilakukan
oleh pihak kerajaan untuk mengurangkannya, namun tragedi ini tetap berlaku (AH).
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kadar kemalangan jalan raya di
negara ini terus meningat (AA).
Bentuk Perbandingan
Contoh Soalan:
Kebanyakkan pendatang asing menjadikan Malaysia
sebagai destinasi untuk memulakan kehidupan baru mereka.
Bincangkan kesan-kesan yang wujud sebagai hasil
daripada kedatangan pendatang asing ke negara ini.
Sebenarnya sejak sebelum merdeka lagi,
Malaysia telah menjadi tumpuan pendatang
asing untuk memulakan kehidupan baru mereka (AK). Dahulu, kehadiran
mereka hanya tertumpu dalam bidang
perladangan dan perlombongan (AH). Walaupun pada asalnya mereka dibawa oleh
penjajah dan tidak berniat untuk menjadikan negara ini sebagai tempat bermastautin,
namun peredaran masa menyebabkan mereka terus beranak-pinak dan menetap di
negara ini (AH). Bezanya kini,
mereka datang secara haram ataupun sebaliknya dan memenuhi pelbagai sektor
pekerjaan di negara kita seperti perkhidmatan, perkilangan, dan pembinaan (AH).
Kebanjiran pendatang asing yang datang dari pelbagai negara ke negara
kita telah meninggalkan pelbagai kesan positif dan negatif terhadap negara kita
(AA).
Bentuk Fakta Sejarah
Contoh Soalan:
Kebanyakkan
pendatang asing menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk memulakan kehidupan
baru mereka.
Huraikan
punca-punca yang menyebabkan keadaan ini berlaku.
Sejarah telah membuktikan bahawa kedatangan
pendatang asing ke negara ini sebenarnya bermula sejak zaman Kesultanan Melayu
Melaka lagi (AK). Pada masa itu, kebanyakkan pendatang asing
yang berasal daripada Benua India, Benua China, Kepulauan Melayu dan Tanah Arab
datang ke Tanah Melayu untuk berniaga (AH). Sehingga ke hari ini, negara kita terus
dibanjiri oleh pendatang asing yang berhijrah untuk mencari kehidupan baru (AH).
Pepatah Melayu mengatakan bahawa di mana ada gula, di situ ada semut (AH).
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kemasukan mereka ke negara ini
secara berterusan (AA).
Bentuk Peribahasa
Contoh Soalan:
Semangat bergotong-royong dalam kalangan anggota
masyarakat pada hari ini semakin pudar.
Jelaskan kepentingan semangat bergotong-royong dalam
kalangan penduduk yang hidup dalam masyarakat berblang kaum.
Terdapat pelbagai peribahasa Melayu yang boleh
dikaitkkan dengan semangat bergotong-royong dalam kehidupan bermasyarakat (AK). Antara peribahasa tersebut
termasuklah ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat’, ‘berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing, dan ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’(AH).
Kesemua peribahasa tersebut bermaksud bekerjasama dan bersatu padu dalam
melaksanakan setiap pekerjaan (AH). Tambahan pula amalan mulia ini sangat
dituntut dalam agama (AH). Semangat
bergotong-royong seumpama ini amat penting dalam kehidupan bermasyarakat yang
berbilang kaum seperti di negara Malaysia (AA).
Bentuk Definisi
Contoh Soalan
Budaya lepak seolah-olah sudah menjadi budaya dalam
kalangan remaja. Pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif untuk mengatasi
gejala yang merugikan ini.
Bincangkan cara-cara yang berkesan bagi mengatasi
gejala ini daripada berterusan.
‘Lepak’ dapat ditakrifkan sebagai duduk-duduk
ataupun berpeleseran tanpa sebarang tujuan (AK). Gejala ini dikatakan semakin membudaya dalam
kalangan remaja pada masa kini (AH). Gejala ini berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira remaja lelaki ataupun perempuan
(AH). Kebanyakkannya menjadikan pusat beli belah
ataupun kaki-kaki lima jalan sebagai tempat mereka melepak (AH). Langkah-langkah yang drastik perlu perlu dilakukan sebelum
gejala ini bertambah parah dan merosakkan generasi muda kita (AA).
Bentuk Gabungan Idea
Contoh Soalan
Masyarakat Melayu dikatakan terkenal sebagai
masyarakat yang suka mengamalkan gotong-royong dalam pelbagai perkara. Namun demikian, sejak belakangan ini nilai
berkenaan semakin luntur.
Bincangkan pernyataan di atas.
Amalan bergotong-royong sememangnya sudah
sinonim dan sebati dengan jiwa masyarakat Melayu (AK). Amalan ini telah dijadikan pusaka turun-temurun sejak dahulu (AH). Namun, akhir-akhir ini amalan
yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ itu sedemikian seolah-olah
kian terhakis dan dilupakan (AH). Walaupun banyak pihak cuba menghidupkan
amalan ini kembali, percubaan ini terus dipandang sepi (AH). Hal ini berpunca daripada beberapa perkara
dan masyarakat perlu sentiasa diingatkan tentang kepentingan nilai murni yang
terdapat dalam amalan ini (AA).
No comments:
Post a Comment