TAHUN
: 2010 - Kebaikan Coklat
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan makan coklat dan cara-cara memajukan industri
coklat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan
Sejak turun-temurun, coklat
telah digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan dan minuman yang
digemari oleh semua peringkat umur daripada segenap lapisan masyarakat di
seluruh dunia. Pada zaman dahulu hanya orang yang berada dapat menikmati
coklat. Pada masa itu, coklat ialah makanan yang dikhaskan untuk raja-raja,
perwira dan pembesar negara. Kini, coklat yang dihasilkan daripada buah koko
itu dapat dinikmati oleh semua orang. Hal ini menyebabkan industri berasaskan
koko semakin berkembang dan menjadi sumber
ekonomi kepada banyak negara.
Coklat mempunyai kandungan
serat yang tinggi, karbohidrat, antioksidan, kalsium, fosfat dan vitamin A, B,
C dan D. Mengikut kajian sains, pengambilan coklat dapat melegakan otot. Namun
demikian, sekiranya diambil secara berlebihan, coklat boleh menyebabkan otot
menjadi terlalu rehat sehingga asid perut mudah masuk ke dalam esofagus, iaitu
bahagian saluran makanan yang terletak di antara tekak dengan perut. Keadaan
ini boleh mengakibatkan kecederaan dalaman kepada manusia. Hasil penyelidikan
pula mendapati bahawa coklat dapat memberikan perasaan gembira yang amat sangat
kepada pemakannya. Perasaan gembira dapat dirasai ketika coklat mencair di dalam
mulut.
Hasil kajian mendapati
bahawa ketika makan coklat, aromanya mampu merehatkan minda seseorang. Di
samping itu, pengambilan coklat juga dapat menimbulkan perasaan relaks kerana
bahan kimia teobromina yang terdapat dalam coklat boleh memberikan rangsangan
psikologi seolah-olah diri sentiasa bertenaga. Walau bagaimanapun, bahan kimia
yang memberikan kesan relaks kepada manusia itu boleh menjadi racun kepada
banyak haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan kuda. Hal ini terjadi
kerana haiwan peliharaan tidak mempunyai sistem penghadaman yang dapat
melakukan proses penguraian terhadap bahan kimia tersebut.
Manfaat lainnya ialah
coklat mampu melanjutkan usia seseorang yang selalu memakannya. Kajian
mendapati bahawa sekiranya manusia mengunyah coklat tiga kali sebulan, mereka
diramalkan dapat hidup setahun lebih lama daripada orang yang tidak memakan
coklat langsung. Selain itu, coklat boleh mengurangkan risiko serangan strok
kerana fungsinya yang dapat mencairkan darah dan mengelakkan darah daripada
membeku di dalam jantung. Penghidap asma juga digalakkan supaya memakan coklat
untuk melegakan saluran pernafasan di dalam paru-paru. Kandungan bahan kimia
dalam coklat yang diambil juga sesuai untuk melegakan batuk. Namun begitu,
manusia perlu berhati-hati kerana pengambilan coklat yang berlebihan boleh
mengakibatkan obesiti.
(Dipetik
dan diubah suai daripada 'Sains di Sebalik Coklat'
Oleh
Saharil Hasril Sanin Dewan Kosmik, September 2007)
Soalan
2(a) - Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(i)Apakah maksud rangkai kata sumber ekonomi?
[2 markah]
(ii)Pengarang mengemukakan beberapa
keburukan pengambilan coklat.
Nyatakan keburukan-keburukan tersebut.
[3
markah]
(iii)Masih terdapat sebilangan rakyat
negara kita yang gemar membeli coklat import walaupun harganya mahal. Pada
pendapat anda. mengapakah keadaan ini berlaku? Berikan tiga sebab.
[4 markah]
=====================================================
SKEMA RUMUSAN SPM 2010
Pendahuluan
Petikan membincangkan faedah / manfaat/keistimewaan
makan coklat kepada kesihatan manusia.
Isi-isi Tersurat
(Kebaikan makan coklat)
1. Mengandungi
pelbagai jenis zat makanan seperti serat dan vitamin.
2. Pengambilan
coklat boleh melegakan otot.
3. Pemakan
coklat akan berasa gembira.
4. Aroma coklat
mampu merehatkan minda pemakannya.
5. Pengambilan
coklat dapat menimbulkan perasaan yang relaks.
6. Memakan
coklat dikatakan boleh memanjangkan usia seseorang.
7. Coklat yang
boleh mencairkan darah mampu mengurangkan risiko serangan strok.
8. Mampu mengurangkan
asma kerana coklat boleh melegakan saluran pernafasan.
9. Kandungan
kiniia dalam coklat boleh melegakan batuk.
Isi-isi Tersirat (Cara-cara memajukan industri coklat)
1. Memberi
galakan kepada petani untuk mempertingkatkan hasil koko negara.
2. Membuka
kawasan penananam baharu bagi tanaman koko.
3.
Mempelbagaikan kegunaan coklat dalam industri makanan negara.
4. Memperluas
pasaran coklat kepada semua pengguna.
5. Mengkaji
harga bahan-bahan berasaskan coklat di negara kita.
6. Memberi
penjelasan kepada pengguna tentang diet coklat.
7. Peranan iklan
atau media untuk menghebahkan kepentingan dan keistimewaan coklat.
Kesimpulan
Kesimpulannya,
pelbagai pihak mesti menyokong industri coklat di negara kita supaya industri
ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Soalan 2 - Pemahaman Soalan
2(a)- Petikan Umum
i. Maksud
"sumber ekonomi"ialah hasil pendapatan/ hasil perolehan
ii. -
otot terlalu rehat sehingga asid perut masuk ke dalam esofagus
- boleh mengakibatkan kecederaan
organ dalaman manusia
- boleh menjadi racun kepada haiwan
peliharaan
- boleh menyebabkan obesiti jika diambil
secara berlebihan
iii. -
daya tarikan barangan berasaskan coklat dari luar negara kerana teknik
pembungkusan yang menarik
- menganggap coklat sebagai makanan
yang mempunyai status
- sikap rakyat Malaysia yang
berbangga dengan barangan makanan dari luar
No comments:
Post a Comment