Thursday, 17 January 2019

SINOPSIS NOVEL BIMASAKTI MENARI ( BAB 12- 22)





SINOPSIS NOVEL BAB  12 - 22





 BAB 12: STRATEGI

Muhammad Taufik akan mengambil masa seminggu untuk meminta bapanya menggunakan pengaruh beliau agar dia dan Nurul Hafsa dapat bertemu dengan pegawai daerah dan panel penasihatnya. Di hadapan dua insan penting tersebut, Nurul Hafsa memulakan pembentangan dengan membaca surah al-A,raaf, ayat 56.  Setelah dia dan Muhammad Taufik selesai membuat pembentangan dan menjelaskan segala kekeliruan Dato’ Haji Mustofa , pegawai daerah Kuala Selangor, mereka meminta Beliaumeneliti cadangan mereka untuk mewartakan Kuala Selangor sebagai kawasan simpan langit gelap yang pertama di negara ini.

BAB 13: DENDAM KEMBALI MEKAR

Dalam bab ini, Dato’ Haji Mustafa telah mengunjungi individu bernama Johann Arlington- Majid. Beliau memaklumkan minat mendalam menteri besar terhadap idea projek Kawasan Simpan Langit Gelap. Johann marah dengan berita tersebut kerana hal itu bermakna dia tidak dapat meneruskan penguasaan tender membekalkan lampu-lampu daripada syarikat miliknya. Johann merupakan ahli perniagaan yang hanya mementingkan kekayaan. Dia merupakan  musuh lama Tan Sri Muhaimin apabila Marion Wickham wanita yang dicintainya memilih Tan Sri Muhaimin sebagai suami. Dato’ Mustafa memaklumkan bahawa Muhammad Taufik akan  membuat pembentangan terbuka tentang projek tersebut di hadapan menteri besar, ahli akademik, ahli perniagaan dan orang awam di  bangunan SUK Shah Alam. Beliau meminta Johann untuk belajar dan memberikan tempoh selama seminggu untuk berfikir bagi mendapatkan tender projek tersebut jika mahu. Namun Johann tetap berkeras dengan pendiriannya, dan rasa tamaknya.

BAB 14: GELAP DALAM TERANG

Johan Arlington-Majid tetap hadir dalam sesi pembentangan terbuka projek yang diusahakan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik. Namun kehadirannya bukan untuk memberi sokongan malah untuk mengganggu dan membuat kecoh pada hari itu.  Nurul Hafsa dengan ditemani Muhammad Haimin disisinya telah membentangkan projek tersebut kepada yang hadir. Segala sanggahan daripada Johann telah berjaya dibidas dan Menteri Besar sentiasa menyokong pandangan dan hujahannya. Pembentangan pada hari tersebut banyak berkisar tentang jenis penggunaan lampu dan pencahayaan yang sesuai. Menteri Besar turut menegur sikap buruk Johann dalam majlis tersebut. Pada akhir pembentangan Menteri Besar mengumumkan bahawa pihak kerajaan negeri akan mengiklankan tender dalam masa terdekat. Johann yang sentiasa bergelumang dengan dendam kesumat dalam diam mengatur rancangan  untuk mengupah tiga orang tonto bagi menyiasat pergeragan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik dan memastikan mereka tidak dapat melaksanakan projek tersebut.

BAB 15: KHIANAT

Nurul Hafsa memerhatikan lampu-lampu jalan yang terdapat di lorong menuju ke rumahnya sambil memandu. Walaupun lorong tersebut sepi tetapi dia tidak pernah berasa terancam. Lorong ke rumahnya memang tiada berorang melainkan dua tiga hari kebelakangan terdapat tiga orang lelaki memotong rumput di tepi-tepi jalan. Namun demikian, dia hairan walaupun tiga orang pemotong rumput bekerja tetapi lalang masih meninggi. Ketika dia menghentikan kenderaannya di sisi motosikal Budiman, dia menerima berita Taufik ditimpa kemalangan. Mereka terus pergi mencari Taufik dan bertemu dengannya dalam rimbunan lalang dengan bajunya dibasahi darah di bahagian rusuk. Nurul Hafsa segera menelefon ambulans dan Taufik dibawa ke Hospital Besar Tanjung Karang. Menerut siasatan awal, polis memberitahu walaupun penyerang mengambil barang-barang berharga milik Taufik, namun mereka meninggalkan telefon bimbitnya sebagai suatu mesej peribadi penjenayah kepada mangsa. Pihak hospital memaklumkan bahawa Muhammad Taufik berada dalam keadaan stabil.

BAB 16: DUA KELIP-KELIP TERAKHIR DI DUNIA

Nurul Hafsa bersama dengan ayah dan abangnya menuju ke hospital untuk melawat Muhammad Taufik. Setibanya mereka di sana, Nurul Hafsa melihat ibu dan bapa Muhammad Taufik sedang berbual dan sedikit bertelagah tentang kejadian yang menimpa anak mereka. Nurul Hafsa meminta izain untuk berbual dengan mereka berdua dan menceritakan keazaman Muhammad Taufik. Selepas itu mereka solat subuh berjemaah di surau hospital. Kemudian, mereka mendapat khabar tentang keadaan Muhammad Taufik yang semakin baik walaupun belum sedar. Nurul Hafsa melawat Muhammad Taufik dua hari kemudian sambal ditemani abangnya, Budiman. Dia memohon maaf kepada rakan seperjuangannya itu atas segala yang terjadi. Dia bersedia jika Muhammad Taufik ingin mengundurkan diri. Namun begitu, temannya itu masih berkobar-kobar untuk meneruskan perjuang mereka bersama. Dalam pertemuan tersebut, Muhammad Taufik sempat bertanyakan Nurul Hafsa tentang sebab dia tidak memakai selendang hitam bermanik Kristal.

BAB 17: JALAN YANG DITINGGALKAN

Tan Sri Muhaimin memberitahu Muhammad Taufik ketika beliau dan bekas isterinya berada di hospital bersama Muhammad Taufik bahawa Ketua Inspektor Lim menasihati beliau agar memberitahu pihak media bahawa kejadian yang menimpa anaknya merupakan kejadian jenayah biasa bagi memudahkan pihak polis menjalankan siasatan. Namun begitu, Muhammad Taufik tidak bersetuju dan meminta ayahnya memberitahu perkara sebenar bahawa serangan tersebut bermotifkan khianat kerana dia yakin motif serangan tersebut adalah untuk membuktikan kegelapan sebagai punca jenayah seterusnya menghalang projek kawasan Simpanan Langit Gelap akan dihentikan. Setelah Menteri Besar berbincang dengan Tan Sri Muhaimin melalui perbualan telefon, keesokan harinya akhbar mengeluarkan berita bahawa Kuala Selangor Akan Diwartakan Sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap.

BAB 18: KERASUKAN

Sejak Muhammad Taufik dimasukkan ke hospital, sudah hampir seminggu kerja mencerap populasi kelip-kelip terhenti. Sebagai menunaikan janji mereka terhadap Muhammad Taufik, Nurul Hafsa dan Budiman meneruskan kerja tersebut dengan menggunakan peralatan pencerapan yang telah disampaikan oleh Tan Sri Muhaimin kepada mereka berdua. Ketika meranduk semak samun untuk balik ke kereta mereka selepas melakukan aktiviti pencerapan, tiba-tiba Nurul Hafsa terdengar suatu bunyi dan ternampak Budiman tergelimpang di tanah. Sepantas kilat, dia dicapai oleh tangan-tangan ganas. Dia ternampak susuk tiga orang lelaki sebelum mulutnya dibalut dengan pita pelekat bersaiz lebar dan kepalnya disarung dengan kain gelap.

BAB 19: SELENDANG HITAM MANIK KRISTAL

Muhammad Taufik bersiap-siap untuk keluar dari Hospital dan mengikut ibunya pulang ke Otago apabila dia kejutkan dengan jambangan bunga berbalut selendang hitam bermanik kristal. Dia menjumpai sekeping nota dalam jambangan tersebut yang memintanya berada di stesen petronas pada jam 8.30 pagi hari tersebut. Hatinya bertambah bibang apabila melihat kerongsang yang yakininya milik Nurul Hafsa. Muhammad Taufik meminta Tan Sri Muhaimin menghentikan kereta di stesen petronas ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang dengan alasan ingin ke tandas. Tanpa disedari kedua-dua orang tuanya, dia pergi ke tempat van putih seperti yang tercatat dalam nota yang diterimanya. Ketika itu, dia diarahkan masuk ke dalam van tersebut sebelum disarung sebelumnya tangannya diikat dan dimasukkan ke dalam but kereta. Kepanya disarung dengan kain hitam sepanjang perjalanan. Muhammad Taufik dibawa ke lokasi yang sama dengan tempat Nurul Hafsa ditahan. Menyedari situasi tersebut, dia cuba menenagkan Nurul Hafsa walaupun tidak dapat melihat apa-apa sebelum dia dipukul di rusuknya sehingga tidak sedarkan diri.

BAB 20: NYAWA UNTUK NYAWA

Nurul Hafsa telah dibebaskan oleh penculik. Dia bimbang dengan keadaan Muhammad Taufik yang belum dibebaskan. Dalam keadaan tersebut, Nurul Hafsa berasa bertuah kerana tidak dicederakan. Dia pasti bahawa perancang jenayah ini sebenarnya ingin mencapai sesuatu yang boleh diukur dengan wang. Jika rancangan tersebut gagal sekalipun, mereka masih boleh melepaskan diri daripada tuduhan mencederakan, merogol atau membunuh mangsa.  Dengan bantuan pemandu van sekolah yang ditahannya ketika dia berjalan seorang diri, dia telah membuat laporan polis. Haji Yassir dan Budiman bersyukur keran Nurul Hafsa selamat. Haji Yassir menenangkan Tan Sri Muhaimin dengan meminta beliau bersabar, berdoa dan menyerahkan segalnya kapada Allah. Kehilangan Muhammad Taufik disiarkan dalam berita setiap jam di semua stesen televisyen tempatan.

BAB 21: LEGASI BAJU BIRU

Bab ini menceritakan kronologi penculikan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik. Dengan bantuan CCTV, pihak polis cuba mengecam van putih ang digunakan oleh penculik tersebut. Malangnya, nombor pendaftaran kenderaan tersebut sukar dikesan kerana kabur. Tan Sri Muhaimin telah memaklumkan kepada Ketua Inspektor Lim tentang pesanan ringkas yang dihantar ke telefon bimbitnya yang memintanya menarik balik sebut harga Dedaun Emas jika tidak mahu menerima padah. Berita tengah hari yang membawa khabar tentang penculikan sensasi etrsebut secara besar-besaran telah membuahkan hasil. Seorang penduduk tempatan telah membuat aduan tentang aktiviti bukan perladangan di sebuah ladang kelapa sawit yang terletak jauh di pedalaman Bestari Jaya. Pasukan Gerak Khas telah diarahkan ke lokasi tersebut untuk mengadakan serbuan dan tangkapan. Selepas berbalas tembakan, Muhammad taufik berjaya diselamatkan.


BAB 22: CINTA PEJUANG

Nurul Hafsa, Haji Yassir dan Budiman berada di Masjid Jamik Sultan Ibrahim Kuala Selangor untuk menghadiri kenduri kesyukuran bagi meraikan pernikahan kali kedua Tan Sri Muhaimin dan bekas isterinya. Tan Sri Muhaimin menyampaikan ucapan ringkas menyatakan rasa syukur beliau ke hadrat Ilahi dengan kembalinya anak dan isteri ke pangkuan beliau. Musuh perniagaannya pula bakan menghadapi pengadilan. Dalam majlis tersebut, Muhammad Taufik meluahkan isi hatinya terhadap Nurul Hafsa. Dia telah mengembalikan selendang hitam manik kristal yang disimpannya semenjak hari pertama dia mengetahui Nurul Hafsa diculik.  Muhammad Taufik menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan lamaran ke kediaman orang tau Nurul Hafsa. Dalam keadaan malu dan meminta diri untuk membantu mengemaskan kenduri yang baru selesai, dia menerima pesanan ringkas daripada Muhammad Taufik bertulis kita ialah dua kelip-kelip terakhir di dunia.

No comments:

Post a Comment