Friday, 18 January 2019

RUMUSAN SPM 2009


TAHUN : 2009 – Kepentingan Tidur

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pernahkah sekali-sekala anda berasa otak lebih lembap dan sukar untuk berfikir? Pernahkah anda mengalami keadaan yang merimaskan terutama apabila sukar memberikan tumpuan kepada kerja ataupun pelajaran? Kajian menunjukkan bahawa masalah sukar menumpukan perhatian dan kelembapan otak ini ada kaitannya dengan faktor tidur.

Setiap orang memerlukan masa tidur yang berbeza mengikut umur, tahap kesihatan dan aktiviti hariannya. Misalnya, golongan remaja memerlukan tidur antara enam hingga lapan jam sehari. Tidur yang paling berkualiti ialah tidur pada waktu malam. Tidur amat penting bagi melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan. Melalui proses ini, badan seseorang mengeluarkan hormon pertumbuhan yang berfungsi untuk membaiki sel-sel yang rosak. Kajian mendapati bahawa tidur yang cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk belajar dan membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang. Selain itu, proses penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Oleh itu, mereka yang sering tidur lewat, seperti murid yang mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam, akan menyebabkan proses penyimpanan maklumat terganggu. Kurang tidur juga mengakibatkan tumpuan seseorang dalam membuat keputusan dan perancangan terjejas. Menurut kajian, kebanyakan kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan di jalan raya ada kaitannya dengan tumpuan yang terganggu akibat faktor kurang tidur.

Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang. Hal ini demikian kerana seseorang yang tidur kurang daripada kadar biasa akan mengalami tekanan dan melemahkan ketahanan badan sehingga menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Menurut pakar, badan kita mempunyai pusingan biologi yang tetap. Pusingan biologi ini aktif pada waktu siang dan kurang aktif pada waktu malam. Oleh itu, bagi memulihkan pusingan biologi dalam badan, kita perlu tidur secukupnya. Tidur yang tidak mencukupi akan menjejaskan pusingan biologi seseorang.

Selain tidur pada waktu malam, amalan tidur seketika pada waktu tengah hari dapat menyegarkan tubuh badan sekali gus meningkatkan produktiviti. Kajian juga menunjukkan bahawa tidur secara rutin selama 30 minit pada waktu tengah hari dapat mengurangkan risiko sakit jantung. Walau bagaimanapun, seseorang tidak digalakkan tidur selepas matahari terbit dan pada waktu lewat petang. Hal ini demikian kerana menurut pakar, tidur pada waktu-waktu tersebut boleh menjejaskan kesihatan. Tidur yang cukup pada waktu yang sesuai merupakan komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik.

(Dipetik dan diubah suai daripada Tidur dari Segi Saintifik
Oleh Danial Zainal Abidin Dewan Kosmik, Februari 2007)


Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2(a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 Jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)  Berikan maksud rangkai kata keadaan yang merimaskan.                         (2m)                                          
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kesan yang dialami jika seseorang tidak mendapat tidur yang secukupnya. Nyatakan tiga daripada kesan tersebut.     (3m)
                                                                                                                                          (iii) Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan seseorang menghadapi masalah sukar tidur?  Kemukakan empat punca.                                              (4m)                                                                                                                                                                  

---------------------------------------------------------------------------------------------------
JAWAPAN :

Pendahuluan
1.Petikan membincangkan faedah / kebaikan / keperluan tidur dari segi saintifik bagi menjamin kecerdasan seseorang.
2.Rumusan membincangkan faedah / kebaikan / keperluan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur.

Isi-isi Tersurat (Kepentingan tidur dari segi saintifik)
1. Melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan seseorang.
2. Meningkatkan keupayaan untuk belajar.
3. Memelihara daya ingatan seseorang.
4. Berlakunya proses penyimpanan maklumat di dalam otak.
5. Memantapkan sistem ketahanan di dalam badan seseorang.
6. Memulihkan sistem pusingan biologi di dalam badan seseorang.
7. Menyegarkan tubuh badan seseorang dan meningkatkan produktiviti.
8. Dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.

Isi-isi Tersirat (Cara-cara mengatasi masalah sukar tidur)
1. Mengamalkan gaya hidup sihat pada waktu siang.
2. Membersihkan badan/mandi sebelum tidur.
3. Mengikut jadual tidur dan bangun seperti yang telah ditetapkan mengikut peringkat umur.
4. Mendengar muzik atau membaca sebelum tidur.
5. Makan makanan yang seimbang atau menjaga tabiat pemakanan.

Kesimpulan
Kesimpulannya, setiap orang mestilah mendapatkan tidur yang secukupnya dan berkualiti agar dapat menikmati hidup yang sempurna.

Soalan 2 - Pemahaman Soalan 2(a) – Petikan Umum

i.              Maksud "keadaan yang merimaskan" ialah keadaan/situasi/suasana yang tidak selesa/ merimaskan/gelisah

ii.             - proses penyimpanan maklumat terganggu
                - tumpuan membuat keputusan dan perancangan terjejas
                - kemalangan yang ecrlaku di tempat kerja dan jalan raya

iii.            - menghidapi penyakit
                - suasana bilik tidur yang tidak selesa dan tidak bersih
                - gangguan persekitaran seperti bunyi bising

                - memikirkan masalah/perkara-perkara yang merunsingkan fikiran

1 comment: