Friday, 11 January 2019

SINOPSIS NOVEL BIMASAKTI MENARI (BAB 1 - 5)




SINOPSIS BAB 1 - BAB 5



BAB 1: JANJI SRIKANDI

Dalam bab Janji Srikandi, penulis bercerita tentang Nurul Hafsa yang melalui hari pertamanya bekerja sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor. Sekumpulan pengunjung yang terdiri daripada kumpulan murid dan guru pengiring dari Sekolah Rendah Kichihimahigashi, Hiroshima hadir ke balai cerap tersebut untuk melihat buruj Orion atau buruj Belantik dengan mata kasar, tanpa sebarang bantuan alat pencerap. Malangnya, Nurul Hafsa telah menghadapi masalah di luar jangkaannya apabila langit pada malam tersebut  yang sepatutnya telah benar-benar gelap tetap cerah. Nurul Hafsa yang pada mulanya runsing dengan situasi tersebut akhirnya telah mengambil langkah bijak bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung tersebut. Dia dengan berani telah mengakui kekurangan yang berlaku pada malam tersebut berpunca daripada kesan negatif akibat pembangunan pesat yang berlaku di Kuala Selangor. Pada malam tersebut, Nurul Hafsa telah menanam azam dalam jiwa seterusnya berjanji kepada para pengunjung bahawa dia akan memulihkan keadaan yang berlaku dengan sedaya upayanya. Pada mulanya, Puan Wickham mempersoalkan kemampuan manusia untuk menggerakkan bintang kembali ke kawasan pencerapan. Namun, Nurul Hafsa dengan hujah bijaknya menyatakan bahawa bintang-bintang sememangnya sedia ada di langit, hanya mata manusia sahaja yang tidak dapat melihat. Sedikit cahaya akan membuka deria manusia, manakala banyak cahaya pula akan menutup deria kita. Dia memaklumkan bahawa tuhan menciptakan deria manusia dengan penuh keterhadan agar kita tidak leka dengan sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh deria.

BAB 2: WICHAM

Dalam bab ini, penulis mendedahkan bahawa Puan Wickham yang hadir sebagai pengiring kumpulan pelajar dari Hiroshima, Jepun merupakan ibu kepada salah seorang Pegawai Cerap Sultan Salahuddin yang bernama Muhammad Taufik. Muhammad Taufik berasa kesal dengan janji yang dibuat oleh Nurul Hafsa terhadap pengunjung tersebut kerana dia benar-benar kenal dengan ibunya, Puan Wickham yang akan datang lagi bersama kumpulan pengunjung tersebut untuk menuntut janji yang dilafazkan oleh Nurul Hafsa. Walaupun Puan Wickham dan anaknya, Muhammad taufik tinggal berjauhan namun kekerapan mereka berkomunikasi melalui rangkaian sosial menyebabkan mereka tidak kekok untuk berbual setiap kali bersua muka. Mereka mempunyai minat dalam bidang yang sama. Pada malam tersebut Muhammad Taufik menjemput ibunya untuk bermalam di rumah prototaip Ikhtiar TeknoAlam yang diusahakan olehnya. Hal ini bagi membolehkan Puan Wickham memberikan pendapat beliau tentang projek pembinaan rumah mesra alam komersial yang sedang diusahakan oleh anaknya, Muhamad Taufik. Muhammad Taufik bersyukur atas kepulangan ibunya walaupun dia tahu apabila subuh menjelang, ibunya akan pergi kembali meneruskan tugas beliau.

BAB 3: SUNGAI RAHSIA

Nurul Hafsa memutuskan untuk melakukan kajian terlebih dahulu tentang kebenaran kata-kata kumpulan pengunjung dari Hiroshima yang kecewa kerana tidak dapat melihat kelip-kelip di Kuala Selangor sebelum dia bertanyakan hal tersebut kepada abangnya, Budiman. Nurul Hafsa telah pergi ke tempat orang melihat kelip-kelip dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayahnya, Haji Yassir. Sesampai di sana, Haji Yassir tidak berminat untuk bersama-sama Nurul Hafsa menaiki bot untuk melihat kelip-kelip. Hal ini disebabkan seumur hidupnya Haji Yassir tinggal di Kampung Kuantan dan tidak pernah ke mana-mana selain ke Tanah Suci Mekah. Dalam imaginasi Nurul Hafsa, dia nampak kelip-kelip terbang dalam satu gerombolan dengan jumlah berjuta-juta ekor dan melakukan kerlipan secara serentak. Malangnya, pemandangan hebat tersebut hanyalah khayalan semata-mata. Realitinya, menunggu kehadiran serangga tersebut bagaikan mereka menunggu kehadiran tetamu yang sangat pemalu. Akhirnya, Nurul Hafsa menerima kanyataan bahawa perkara inilah yang dialami oleh kumpulan pengunjung dari Jepun yang terbang beribu-ribu batu jauhnya tetapi hanya dapat menyaksikan kelip-kelip yang cahayanya separuh mati kerana bilangannya yang sedikit. Nurul Hafsa turut mengajak pengemudi bot yang dinaikinya untuk melalui suatu kawasan cabang sungai milik persendirian yang dikatakan menjadi tempat kumpulan kelip-kelip berkelip serentak seperti lampu-lampu hiasan. Namun demikian, dia begitu kecewa kerana kawasan persendirian tersebut tidak dapat dilalui oleh mereka. Sepanjang perjalanan pulang, Nurul hafsa melayan perasaan sambil memikirkan sudut hujahan yang bakal dibentangkan dalam satu persidangan kemuncak fantasi. Kuala Selangor yang berubah menjadi bandar pelancongan telah dicemari oleh pencemaran cahaya dengan senyap.

BAB 4: BUDIMAN

Budiman kembali ke rumah dengan menaiki sebuah kereta jenis hibrid seperti yang diimpikan oleh Nurul Hafsa. Budiman dan adiknya makan tengah hari bersama ayah mereka, Haji Yassir. Seusai solat Zohor berjemaah, Budiman bertanyakan khabar Nurul Hafsah tentang hari pertama dia bekerja di balai cerap. Setelah mendapat jawapan yang mengecewakan daripada adiknya, Budiman yang merupakan seorang guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaaan Tanjung Keramat sejak tiga tahun yang lalu membaca laporan menggunakan Skala Langit Gelap Bortle yang ditaip adiknya, Nurul Hafsah. Skala ini dicipta oleh John E Bortle untuk membantu peminat-peminat kaji falak amatur membandingkan tahap kegelapan langit di sesuatu tempat pencerapan dengan tempat pencerapan lain. Berdasarkan skala ini, Kuala Selangor yang pernah diklasifikasikan sebagai kelas 1 sebelum ini, kini berada di kelas 8, iaitu langit terbias dengan warna putih atau oren disebabkan cahaya lampu. Nurul Hafsah mengeluh apabila Kuala Selangor yang baru empat tahun ditinggalkannya telah berubah. Budiman mengakui penduduk Kuala Selangor belum menyedari bahawa pembangunan dan kemudahan yang dinikmati jika tidak dirancang dengan teliti akan membawa kesan buruk terhadap alam sekitar. Nurul Hafsa terkejut namun gembira  apabila menyedari bahawa Budiman turut menyokong usahanya untuk menyelamatkan Kuala Selangor daripada terus tercemar akibat pembangunan yang tidak terancang. 

BAB 5: JIWA AYAHANDA

Tan Sri Muhaimin mengambil tempat pemandunya yang keletihan menunggu kepulangan beliau di lapangan terbang dan memandu laju ke sebuah kawasan kampung tempat projek rumah Ikhtiar TeknoAlam yang didiami anaknya Muhammad Taufik. Sepanjang pemanduannya, beliau mengimbas kembali kenangan perpisahan antara beliau dengan isterinya Maryam Wickham Abdullah kerana Muhammad Taufik telah menghantar pesanan ringkas tentang kehadiran bekas isterinya untuk bermalam di situ. Beliau berasa puas dapat membuktikan kepada bekas isterinya bahawa beliau telah melakukan yang terbaik untuk anak mereka. Sesampai beliau di rumah Muhamamad Taufik, air muka beliau berubah apabila dimaklumkan anaknya bahawa Puan Maryam telah pulang. Beliau tetap bertanyakan khabar Puan Maryam kepada anaknya ketika mereka bersama dengan pemandunya Sobirin menghadap hidangan yang dimasak Puan Maryam sebelum bekas isterinya itu pergi. Walaupun Tan Sri Muhaimin terpaksa melepaskan isterinya kerana perbezaan pendapat dan membawa haluan masing-masing, namun mereka tidak pernah bermusuh dan zuriat menjadi penyambung silaturahim mereka berdua.



No comments:

Post a Comment